_ 60 - AKHIRNYA BEGINI? -

166 21 4
                                    

Bacaan surah Yaasin ditamatkan dengan doa kudusnya yang terbit ikhlas daripada lubuk hati. Di dalam wad itu, hanya diisi bunyi pendingin hawa dan esakannya yang tidak menemui penghujung yang mungkin sesat dalam kegelisahan saban malam menantikan anak teruna mencelikkan mata.

Dalam rentak sepi, ada tarikan nafas mendadak seakan semput daripada belakang membuatkan dia lekas berpaling. Sekujur tubuh yang dadanya melonjak ke udara berkali menolak panik ke dalam diri.

"Doktor! Tolong anak saya, doktor!" Suaranya lantang memecah sunyi sedang dia masih bergelut dalam kain sembahyang yang buat lariannya ke katil hampir tersadung.

Pintu lantas dikuak daripada luar. Seorang lelaki berkaca mata dan seorang wanita dalam kot putih meluru masuk bersama dua jururawat di belakang mereka terus meluru masuk.

"Puan boleh tunggu di luar? Kami akan memeriksa anak puan. Apa-apa perkembangan akan kami khabarkan." Wanita itu berkata sejurus dia mengenakan stetoskop yang asalnya disangkut di leher.

Dia mengangguk sebelum langkah beratnya diseret keluar wad. Pintu wad tertutup kembali. Dan hanya melalui cermin pandang tembus pada daun pintu menjadi medan pemerhatiannya.

Telefon di tangan dihidupkan sebelum jari yang menggeletar menekan butang satu sebagai panggilan pantas. Nama si suami yang menjadi paparan skrin hilang tatkala telefon dilekapkan ke telinga.

"Abang, anak kita ...." Dia berjeda sebak. "Abang datanglah ke hospital. Sa ... saya takut."

Hati berdetak perit. Mata terpejam rapat mengusir segala sangkaan buruk. Doa dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Esa.

* * *

Pandangan dilemparkan ke luar jendela dan terbang jauh ke dada langit. Kadang dia tertanya. Sudah berapa banyak kejadian yang disaksikan olehnya. Alam yang tidak pernah tidur dan sentiasa murah hati dengan bunyian harmoni. Melihat akan hebatnya makhluk yang menemani manusia yang tidak lepas dipalit dosa membuatkan dia membenarkan hakikat yang satu.

Hakikat bahawa betapa hebat Yang Maha Mencipta. Dicipta langit yang meneduhkan bumi. Laut dibina luas merentangi permukaan bumi sehingga menjadi satu ibadah melihatnya dek menjadi bukti kehebatan-NYA.

Mendengar daun pintu dikuak mengalihkan perhatiannya. Namun tidak pula dia berpaling.

Gerangan yang baru masuk derapannya kedengaran seperti menuju ke katil.

"Mengapa tidak adinda bersuara di kala ayahanda bertanya perihal adinda dan lelaki itu?" Jamil menyoal.

Duduknya di birai katil tidak lama sebelum dia bangit mendekati Azalea yang duduk di atas kerusi di jendela. Hujung kaki menguis rantai besi yang berselirat.

Apabila isterinya masih membisu, dia melepaskan dengusan. Tubuh dipalingkan hanya untuk menghadap sisi Azalea yang langsung tidak berganjak. Wanita itu tetap dengan wajah yang tidak beriak. Meski bibir sedikit pucat, pesonanya sebagai permaisuri langsung tidak berkurang.

"Pantas sahaja adinda berteman dengannya."

Ibu jari Jamil naik berlari pada juntaian rambut isterinya di dahi. Ia kemudiannya menari di belakang leher Azalea yang terdedah dek rambut panjangnya sedia disanggul tinggi.

Bunyi rantai besi berlaga memenuhi ruang tatkala tangan Azalea diangkat berat menampung jisim alat itu bagi menepis sentuhan Jamil yang menjijikkan. Tiada pernah dia lupa akan setiap darah yang gugur ke bumi kerana tangan itu.

Jamil tergelak kecil.

"Rupanya kerana lelaki itu mengamalkan ilmu hitam. Apakah benar telahan beta, adinda cinta hatiku?"

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now