_ 5 - M A K H L U K -

381 46 21
                                    

Kedua-dua tangannya dikunci ke belakang. Leher pula dipaksa mendongak ke atas oleh lengan si penyerang. Badannya dikerah melutut ke tanah dek kerana silangan kaki Faris dan si penyerang.

Hendak melawan Faris tak mampu. Bukan. Dia tidak reti sebenarnya. Dalam dirinya tiada ilmu seni mempertahankan diri. Terima kasih kepada sikap malasnya ketika dalam kelas Taekwando dan Pencak Silat di zaman persekolahannya. Sudah lama tidak dipraktis, setiap langkah pasti akan menjadi kekok.

"Siapakah gerangan tuan hamba?" Tanya wanita yang bertindak mengunci pergerakannya. Ada nada marah dalam suara itu.

"A-Aku...." Faris panik.

'Apa yang patut aku jawab? Aku artis? Aku lelaki kacak? Atau pengembara yang sesat? Aaarrhh!' Faris mendesis dalam hatinya.

"A-Aku... Aku se-sesat! Uhuk! Uhuk!" Sesekali dia tercekik kerana kekasaran wanita itu pada lehernya.

"Berhenti. Berhentilah, Cempaka! Tak usah dikau berkasar dengannya!" Jerit seorang gadis yang entah daripada mana dan berlari anak mendekati mereka. Di tangannya membawa sebatang kayu yang dibalut oleh kain basahan minyak tanah. Ada nyalaan api di situ dan ia dipanggil sebagai obor.

"Tapi kita sama sekali tidak mengenalinya! Mungkin saja pemuda ini orang upahan Tuan Jamil. Lelaki yang Tuan Puteri katakan kejam itu!" Wanita itu menyeringai geram.

Tubuh lelaki dalam tahanannya tadi dipaksa meniarap atas tanah. Dan tangan lelaki itu ditarik kasar ke belakang dan digenggam kemas. Lutut kanannya menekan belakang badan lelaki itu tanpa belas kasihan. Erangan mangsa tidak diendahkan. Manusia yang jahat perlu dibalas dengan kejahatan. Jikalau dia tidak bertindak lebih awal, nyawa Tuan Puteri pasti dalam bahaya.

"Woi! Jangan! Dada aku sakit tau tak! Lepaslah! Aku bukan penjahat! Argh!" Faris meronta mahu meloloskan dirinya. Namun, tenaga luar biasa wanita itu membataskan pergerakannya. Dan kini, dia tahu bahawa usahanya itu hanyalah sia-sia.

"Cukup! Lepaskan dia. Dengarkan perintah beta. Beta mahu Cempaka lepaskan pemuda ini. Jangankan Tuan Jamil, Cempaka juga akan bergelar pembunuh jika terus mengasak pemuda ini."

Dengan perlahan, Cempaka melepaskan genggaman. Tapi dengan pantas dia mencekak rambut Faris dan kepala itu diangkat dengan ganas.

"Jangan fikir tuan hamba sudah terlepas," bisik Cempaka dengan giginya diketap. Setelah itu, dia bingkas berdiri dan merapati Tuan Puteri. Faris yang sudah lelah menelentang atas tanah dicerlung tajam.

"Dengarkan penjelasan pemuda ini terlebih dahulu. Beta tidak suka kamu menghukum tanpa sebarang usul periksa." Tuan Puteri hanya mampu menggeleng kepala. Dia sudah masak benar dengan sikap Cempaka yang selalu berlebihan melindunginya. Dengan semua orang dia menaruh syak wasangka.

"Haah. Betul tu. Bagi saya peluang untuk buktikan ketidakbersalahan saya. Atau... Awak memang memandai nak serang saya?" Provok Faris.

Dia kemudiannya bangun dan berdiri tegak sambil tangannya lincah membersihkan kotoran pada pakaiannya. Tanpa menghiraukan jelingan Cempaka, dia berpaling ke belakang. Dia berjalan ke arah kemeja putih yang berada atas tanah lalu tunduk untuk mengambilnya. Dia mengibaskan kemeja itu dengan sekuat hati sebagai tanda protes.

"Bolehkah beta tahu siapakah tuan empunya diri?" Tanya Tuan Puteri dengan lemah lembut.

Faris kelu sebentar. Dia meneguk liurnya kesat. Nafas ditarik panjang dan cuba bertenang. Dia mahu berfikir dengan lebih rasional.

'Ya Allah... aku tak tahu mereka ini siapa. Jin? Iblis? Syaitan? Hantu jelmaan? Orang bunian atau apa saja makhluk ciptaan Engkau. Ya Allah... lindungilah aku di mana saja aku berada. Aku berserah pada-Mu Ya Allah,' pohon Faris dalam hati dengan sepenuh hati.

Namun, tetap ada rasa aneh yang menjalar di segenap ruang fikirannya sejak dari tadi. Memandangkan dia berhadapan dengan makhluk misteri, dia perlu menjaga percakapan dan perbuatan. Tapi, mengingatkan kekasaran wanita bernama Cempaka tadi, terselit juga rasa sakit di hatinya.

"Ehem." Cempaka berdehem. "Tuan hamba, Tuan Puteri telah bertanyakan soalan kepada tuan hamba. Kelihatan biadap benar tingkah tuan hamba tidak mengendahkan Tuan Puteri!"

Faris mendecit menyampah. Pertamanya, apabila dia mendengar suara si Cempaka itu. Kedua, rasa agak meluat mendengar mereka membahasakan diri. Mengapa perlu ber-tuan hamba dan ber-Tuan Puteri? Dan satu lagi. Beta? Bagi Faris, dia juga boleh membahasakan dirinya 'beta.'

Tapi sayang, itu bukan stailnya untuk bergurau senda. Dia mempunyai cara yang tersendiri.

**"Err... maaflah. Ambo dok menung sakni. Dok mikir ko nasib ambo lepah sesat dale hutan nih. Tuan ambo... eh, silap. Demo tanyo gapo doh sakni?"** Dialek Kelantan yang dipelajari daripada neneknya diaplikasikan sebaik mungkin.

Faris ketawa besar dalam hati. Seronok sungguh jiwa mudanya melihat kerutan pada wajah dua perempuan di depannya.

'Korang kenakan aku, aku kenakan korang balik. Padan muka. Haha....'

"Tuan Puteri! Patik sudah katakan sebentar tadi. Lelaki ini penuh dengan muslihat! Pastinya orang upahan Tuan Jamil!" Cempaka mengasak Tuan Puteri bagi meraih kepercayaan gadis muda itu.

"Akan tetapi...." Belum sempat Tuan Puteri menghabiskan ayatnya, kedengaran suara beberapa lelaki memanggil-manggil namanya dari kejauhan.

Dia dan Cempaka sudah cuak. Faris pula hanya mampu tercengang.

'Dugaan apa lagi ni?'

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now