_ 4 - S I A P A ? -

381 51 11
                                    

Rafeez mendongak memandang langit biru gelap. Cuba mencari kepulan asap daripada unggun api seperti yang diberitahu Syaf. Dalam kesamaran, dia melihat dan mencari. Dia terus berjalan dengan bantuan cahaya telefon. Kadang-kadang dia tersadung akar kayu pokok besar dan hampir tumbang ke tanah.

Sejujurnya, dia juga sudah tidak larat. Tubuhnya dehidrasi. Mampukah dia bertahan?

Senyuman perlahan-lahan terlakar. Melihat kepulan asap di udara seolah-olah memberi sinar harapan kepadanya. Moga hari esok masih ada. Dia mahu pulang sementara dia tidak menjumpai mana-mana binatang buas di dalam hutan.

Argh! Faris!

Nama yang tak pernah lekang dari fikiran. Doa dipanjatkan agar Faris selamat. Rafeez meneruskan langkah ke arah asap yang dilihatnya tadi. Agak sukar tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dia akan tetap usaha!

******

Bunyi aliran air singgah di pendengaran Faris. Dia meraba dari satu pokok besar ke pokok lain. Semakin lama semakin jelas bunyi air deras mengalir. Hanya Allah Swt saja yang tahu betapa lega hatinya. Nafas dihela saat mata memandang satu anak sungai di depannya.

Pantas dia berlari ke gigi air. Walaupun kawasan di situ agak berbatu, dia sanggup meredahnya. Ketika dia tersilap langkah, dia tergelincir dan kepalanya hampir terhantuk. Faris segera beristighfar dengan rasa berdebar. Nasib baik dia masih hidup.

Dia duduk bercangkung. Tapak tangan yang bercantum diselam ke dalam air bagi mengambil air. Dengan gelojoh, dia minum. Dan diulanginya beberapa kali.

"Alhamdulillah... ah~."

Setelah itu, dia mengambil wuduk. Dirinya masih perlu sujud kepada Allah Swt sebagai kewajipan dan tanda syukur. Faris kembali semula ke daratan yang agak jauh daripada gigi air. Kiblat dipastikan terlebih dahulu sebelum dia menunaikan solat. Kemeja putihnya ditanggalkan dan menampakkan t-shirt putih berlengan pendek yang dipakai daripada dalam. Kemeja itu dijadikan alas untuk solat kerana ketiadaan sejadah mahupun bantuan kain lain.

Usai solat dan berdoa, Faris termenung memandang langit. Air matanya jatuh membasahi pipi. Sesekali dia meliar memandang kawasan hutan yang gelap. Tipulah jika fikiran aneh tidak muncul saat itu. Segala hantu, bunian, binatang buas dan banyak lagi. Risau kalau dia mati dibaham...

Tak. Dia tak boleh celupar dalam hutan.

Kemudian, dia berjalan mengikut arus aliran sungai. Kemeja putih telah dikibas sehingga diyakini bersih lalu disangkut pada bahu. Sudah sedikit kotor tetapi dia tahu yang kemeja itu akan diperlukan lagi kelak.

Entah bagaimana, telinganya menangkap suara perempuan sedang bercakap. Namun kurang jelas kerana pendengarannya di dominasi oleh bunyi sungai yang mengalir. Dia yakin bahawa suara itu datang dari sebalik batu besar di depannya. Langkah serta-merta terhenti. Dia kaku. Dadanya berombak kencang. Lutut dirasakan lemah longlai. Liurnya diteguk kesat.

Segala bayangan aneh muncul dalam fikiran.

Seorang gadis berambut panjang menyeringai ke arahnya. Manis. Taring kanan gadis itu terkeluar dan menitiskan darah. Rambutnya diselak. Mata merahnya mencerlung ke arah Faris! Mulutnya dibuka dan gadis itu mengilai. Kaki yang tidak menjejak tanah itu terbang ke arah Faris dan mahu mencekiknya.

Faris lantas menggeleng. Imaginasi melampaunya segera dibuang. Ah! Mungkin saja bunian! Faris bingung. Hendak larikan diri ke tempat tadi dia sudah tidak berani. Kawasan hutan mulai gelap.

Dia cuba bertenang. Setelah segala fikiran buruk dinyah daripada kepala otaknya, dia maju ke depan. Bukan hendak bersemuka tetapi mahu menyorok di belakang batu agar makhluk itu tidak menemuinya. Tapi kalau mereka pontianak, pasti lebih mudah mereka menghidu darah Faris yang manis.

Gulp!

Entah ke berapa kali dia menelan air liur. Berdebar punya pasal. Dia sesak nafas. Nak sedut oksigen pun sukar. Dengan tidak semena, dia tersedak.

"Uhuk!"

Pantas Faris menekup mulut. Menyesal dengan perbuatannya.

Menyesal!

"Siapa di sana?" Suara seorang wanita menjengah pendengaran Faris. Kali ini jelas dan terang. Matanya terbuka luas dan debarannya menggila. Sungguh! Setiap degup jantung sendiri pun dia boleh dengar.

Faris menyandar rapat ke dinding batu besar. Hanya itu saja peluang untuknya menyorok.

"Apa yang tuan hamba buat di sini?" Tegur seorang gadis kepada Faris secara tiba-tiba.

"Argh!"

Faris lantas mengurut dadanya tanpa henti. Jantungnya gugur kerana disergah begitu.

*********

"Rafeez! Rafeez!"

Syaf memanggil nama Rafeez. Dia dan beberapa kru yang lain masuk ke dalam hutan. Mereka hanya mencari di sekitar kawasan penggambaran kerana hari sudah malam. Nanti ada pula yang dilaporkan hilang. Dia telah menelefon pihak polis lebih lima jam yang lalu tetapi entah kenapa bantuan begitu lambat sampai.

Panggilan kedua dan seterusnya dibuat setiap satu jam. Kata pihak polis, ada pokok besar telah tumbang menghalang laluan melambatkan perjalanan mereka. Lebih-lebih lagi balai polis terdekat berjarak 50 kilometer dari kawasan itu.

Sesekali Syaf menyalahkan dirinya kerana memilih hutan tebal untuk penggambaran filem kali ini. Semuanya bagi menghidupkan suasana untuk kelihatan lebih realistik.

Dalam masa yang sama, Rafeez mendengar sayup suara yang dikenali memanggilnya. Tetapi dia tidak berani menyahut. Bagaimana jikalau mereka bukan rakannya tetapi sebenarnya makhluk halus?

Dia memandang ke arah jam atas skrin telefon. 11.35 pm. Oleh itu, dia meningkatkan tahap cahaya telefon dan mengangkatnya setinggi yang mungkin. Mujurlah fizikal Rafeez yang tinggi lampai sedikit sebanyak membantu usahanya itu.

"Rafeez! Kau ke tu?"

Mata Rafeez silau apabila satu cahaya disuluh tepat ke wajahnya.

"Ya!" Jerit Rafeez kembali. Cahaya daripada telefonnya ditutup.

Lelaki itu mendekati Rafeez. Tidak sampai 24 jam Rafeez menghilangkan diri, wajahnya sudah pucat lesi. Dengan penglihatannya yang agak terbatas, dia dapat melihat kesan kotor pada siku dan lutut Rafeez. Kotoran tanah agaknya. Dia segera memapah Rafeez dengan berhati-hati ke kawasan utama.

"Terima kasih, Ajim," ujar Rafeez lemah.

"Sudah. Kau diam je. Nanti sampai sana kau rehat," Ajim memberitahu dengan nada perlahan. Namun, nada suara mencanak naik apabila dia menyambung, "Aku dah jumpa Rafeez! Sini!"

Ajim mengangkat tinggi lampu suluhnya dan digerak-gerakkan sumber cahaya itu untuk memberi isyarat kepada rakannya yang lain.

Agak kecoh suasana apabila Rafeez dibaringkan di atas tikar mengkuang yang dibawa khas dalam van mereka.

Rafeez pula hanya mampu memejamkan matanya. Penat. Dia bukannya seorang yang manja atau lemah. Tapi mentalnya rabak apabila dia mempersalahkan diri sendiri atas kehilangan Faris. Ya. Dia yang salah!

'Aku cuai. Maafkan aku, Faris....'

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now