_ 3 - S E S A T -

448 46 16
                                    

Kakinya yang putih melepak direndam ke dalam air sungai yang sejuk. Jernih sekali air itu sehingga dia mampu melihat hingga ke dasar sungai. Ada ikan-ikan kecil yang seronok berenang mengelilingi kakinya.

"Mengapa ditolak perkahwinannya? Jodoh sudah ada di depan mata." Kedengaran suara seorang gadis yang hampir sebaya dengannya di sebelah.

Dia berpaling dan tersenyum manis. Bibirnya nipis dan dagunya runcing. Matanya bulat dan bersinar berwarna hitam pekat. Alisnya tidak terlalu lebat dan bulu mata lentik. Sempurna. Sesiapa saja yang melihat pasti akan tertawan. Apatah lagi melihat senyumannya yang timbul lesung pipit di bahagian kiri.

Menjawab persoalan gadis tadi, dia menggeleng.

"Tidak mahu bersuamikan lelaki itu. Kejam dan tidak berhati perut!" Keningnya bertaut dan ada garisan pada dahi saat mengimbas kembali kekejaman calon suaminya. Darjat saja yang tinggi tetapi tidak punya akal.

"Sifatnya seperti binatang,"ucapnya tanpa sedar.

"Usahlah berbicara sebegitu. Jangan dikotori lisan dengan perkataan seperti itu,"nasihat gadis itu dan tangannya naik mengusap belakang badan perawan itu mahu menenangkan kemarahan.

"Maaf. Tidak sengaja." Dia menunduk. Keluhan berat dilepaskan.

Masakan dia mahu mempertaruhkan seluruh hidupnya bersama lelaki tak guna itu?

Pandangannya jauh memandang ke langit. Hari semakin gelap. Sudah seharian mereka di sini.

Tapi dia masih enggan untuk pulang.

***

Faris melonggarkan tali lehernya. Tiga butang kemeja dari atas ditanggalkan. Bajunya dikibas agar lebih sejuk dan nyaman. Sudah penat dia ke sana dan ke sini. Bayang batang hidung Rafeez pun tidak dijumpainya. Tubuh yang sudah lelah kepenatan disandarkan pada pokok sebesar dua pemeluk.

Lutut kanan dibawa rapat ke dada manakala kaki kiri melunjur. Siku ditongkatkan di atas lututnya dan tapak tangan naik meraup muka. Air liurnya ditelan kesat. Sudahlah dia dahaga. Ke mana dia mahu pergi untuk secedok air bagi membasahkan tekaknya yang kering?

Tetapi, kadang kala air sungai dalam hutan zaman moden ini telah dicemari oleh kencing tikus. Jikalau dia menemui sungai, dia berisiko besar mendapat penyakit itu. Dia pula masih tersesat dalam hutan. Hal ini bermakna dia akan mereput dalam hutan tanpa diketahui sesiapa.

Kemudian, bangkai mayatnya menjadi santapan binatang buas! Keluarganya pasti hiba kerana terpaksa solat jenazah ghaib untuk dirinya.

"Allahuakbar...." Dengan sayu bibirnya bertakbir. Mata Faris bertakung. Dirinya buntu. Hanya kepada Allah Swt tempat dia memohon pertolongan dan perlindungan.

Faris melilau ke sekeliling. Sudah tidak tahu ke mana arah tujunya selepas ini. Dia juga sudah lupa jalan pulang. Langkah diatur ikut suka hati. Mungkin dia telah jauh ke dalam hutan. Entah. Dia tak tahu.

Kali ini, Faris bingkas bangun. Dia tak boleh berdiam diri. Perjalanan perlu diteruskan. Mencari anak sungai menjadi keutamaan.

Saat itu jualah timbul perasaan menyesal yang teramat dalam dirinya. Tidak pernah mahu bergiat aktif dalam aktiviti perkhemahan unit badan beruniform. Oleh itu, dia tidak tahu tentang selok belok hutan waima pada ilmu paling asas.

Kaki kanan memulakan langkah serentak bibirnya mengucapkan basmallah.

"Bismillahirrahmanirrahim...."

"Dengan nama-Mu, Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."

***

Sekali lagi telefon Asus Rafeez berdering menyanyikan lagu Just One Day oleh BTS. Dengan tangan terketar, dia menekan ikon hijau.

"Hello? Syaf?" Rafeez memanggil si Syaf.

"Hah. Ya. Aku ni. Balik cepat. Dah nak Maghrib ni. Kau ke mana?" Suara Syaf kedengaran khuatir di hujung talian.

"A-aku tak tahu jalan balik. S-sesat. Far-Faris hi-hilang. Ak-aku takut." Sebak dada Rafeez mengenangkan sahabatnya itu.

"Raf, dengar sini. Ka ... nyalakan ungun api hingga marak. Kau ik ... datangnya api tu. Boleh? Dan ... cari kau di sekitar set. Ak...."

Sedang mendengar taklimat Syaf, talian putus lagi.

Rafeez cuba bawa bertenang. Poin penting Syaf sudah sampai ke pengetahuannya. Berjaya atau tidak, belakang kira.

Dia lantas mendongak ke langit gelap. Kawasan sekitar juga semakin kabur pada pandangannya. Cahaya daripada telefon diguna pakai untuk memudahkan dia melihat jalan yang ingin dilalui.

Entah bagaimana nasib Faris dalam keadaan gelap gelita sebegini. Mampukah anak manja dan lelaki acah hensem itu bertahan? Mata terpejam rapat. Dia berdoa agar keselamatan Faris terjamin.

Amin....

***

Semua staf penggambaran mula mencari sebanyak yang mungkin ranting kayu dan daun kering untuk menyalakan unggun api. Memandangkan sudah masuk waktu Maghrib, sesetengah daripada mereka menunaikan solat fardhu terlebih dahulu. Dan mereka bergiliran tugas. Sumber air yang sangat terhad menyebabkan ada yang perlu bertayammum.

Mereka juga tidak lupa untuk Solat Hajat kepada Rafeez dan Faris. Moga mereka di bawah lindungan Allah Swt senantiasa.

Eton si kecil hanya memerhatikan kekalutan semua orang. Dengan mata kuyu dia duduk di atas van dan menyelubungi tubuh dengan selimut tebal. Tunggu masa untuk melelapkan mata.

Sebaik saja mata terkatup rapat, dengkuran halus kedengaran.

"Dia selamat. Jangan risau. Seorang Faris Ikram akan selamat." Satu suara berbisik halus. Kedengaran sayup di pendengaran Eton.

"Siapa Faris?" Tanya Eton kembali kepada suara itu. Suasana gelap.

Senyap. Suara itu tidak lagi membalas.

Dan Eton pun mula hanyut ke dalam mimpi lenanya.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now