_ 59 - B U N G A -

142 18 11
                                    

Dada bidang lelaki itu ditolak sekuat hati.

"Mengapa kau berlaku kejam sebegitu rupa? Apa salah kami terhadap kau?"

Buku lima laju melayang ke pipi lelaki itu tanpa ragu.

"Ikram dan Ali orang yang baik-baik. Mengapa diheret mereka dengan penyeksaan ini? Bukankah kau lebih lama mengenali mereka berdua berbanding aku? Kalian sudah bersahabat lama. Apakah ini ...."

Belum sempat meluahkan hingga ke noktah akhir luapan amarah di dalam dada, mulutnya sudah ditekup dengan telapak tangan asing. Belum sempat kepalan tangan menujah rahang tajam lelaki tegap itu, serangannya ditangkap cekap.

"Aku terpaksa, Daus. Keluargaku menjadi hamba keluarga si durjana itu," ujar Ghani seraya menumbuk dadanya sendiri lalu berundur beberapa langkah. "Andai aku ingkar, kepala mereka menjadi taruhan. Aku tidak bisa berbuat apa. Lagipula, Ikram juga yang berkeras mahu ke Indera Kara. Dia yang menggali kuburnya sendiri."

Serangan yang terbantut segera dilaksanakan sepenuh hati. Giginya diketap rapat.

"Apakah itu bermaksud sedari awal kau menjadi mata dan telinganya?"

Ghani hanya membisu. Dia membuang pandang jauh ke sisi menghindari pandangan tajam Daus.

"Sebelum gerangannya ditabal menjadi sultan, aku dimaklumkan bahawa dia pernah mengarahkan dua pemuda untuk meragut nyawanya. Namun seorang tumpas di tangan baginda dan seorang lagi dihumban ke penjara kerana gagal melaksana tugas tersebut. Apabila mendengar khabar intipan orang suruhan bahawa Ikram ke Kepulauan Melaka, saat itulah aku mula terikat padanya. Aku ditugaskan untuk mengawasi Ikram dan memastikan tidak dia menjejak Indera Kara."

Tawa kecil dilepaskan oleh Ghani sebelum dia menyambung, "tetapi si Ikram itu benar-benar keras kepala. Jikalau putih yang dipilih, putihlah ia. Dan akhirnya, aku tetap akan menjalankan apa yang dimahukan oleh baginda."

Tubir mata Daus merembeskan cecair jernih. Perbualan bersama Ghani sebelum berpecah membawa haluan sendiri daripada kawasan istana diusir menjauh. Usai bertelingkah dengan lelaki itu, dia dihalau kasar oleh pengawal yang menggamit Ghani untuk masuk ke istana.

Terbayang kembali setiap saat yang diluangkan bersama Faris sedari awal perkenalan di layar mata. Hatinya perit. Dia menekur lama kain putih yang mengalaskan silaan duduknya. Bibir mula menuturkan wirid.

"Selesai saja urusan kita di istana, kita pergi makan. Aku belanja. Tapi Ali, kalau kita orang lambat, kau pergi makan dulu. Jangan berlapar. Malam nanti, macam biasa. Kita solat Maghrib dan Isyak sama-sama. Harapnya tak makan banyak masa. Kan, Daus?"

Ingatan perihal Faris kembali menjengah. Bahu mula terhinjut bersama esakan halus.

"Kau telah berjanji, Ikram. Harus kau menjadi imam. Harus ada Ali menemaniku di saf belakangmu."

Daus meraup wajahnya sebelum menadah tangan manjatkan doa.

"Ya Allah, apa sahaja nasib mereka, aku berserah pada-MU. Hanya Kau Yang Maha Mengetahui."

* * *

Beberapa jam berlalu dan hari bertukar nama. Pagi yang masih larut dalam hitam pekat di dada langit ditemani lebat hujan yang setia memayungi bumi. Arena itu lengang tanpa sesiapa kecuali mereka. Mereka yang diasak jiwa dengan terbangnya nafas seorang sahabat yang tiada ganti.

"Cempaka."

Mata yang memberat dengan hentaman butiran hujan dicelik sepet. Cempaka diintainya di sebalik tirai tangisan langit. Tiada respon gadis itu, dia memanggil lagi.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now