_ 41 - DIA PENDURHAKA -

130 21 0
                                    

Faris menarik nafas panjang sebelum berbicara.

"Aku nak masuk ke istana malam ini. Dan untuk itu, aku perlukan bantuan kau orang. Untuk ke bahagian penjara istana pula, pandai-pandailah aku urus sendiri nanti."

Setiap pasang mata yang ada di situ bersabung sesama sendiri dengan satu pandangan keliru.

"Kau sudah cukup tidak siuman, Ikram! Bagaimana mungkin kau mahu berkelakuan segila ini?" Lantang suara Ghani membelah bayu petang yang sepoi bahasa. Anginannya seakan tidak mengerti ketegangan yang menghuni jasad setiap insan yang berkumpul membentuk bulatan di halaman yang luas itu.

"Ini saja caranya. Buat masa sekarang, aku tak ada pilihan lain."

"Apa tujuannya, Ikram? Tiada keberatan hati kami untuk menghulur tangan menolong kau jika kami jelas apa adanya tujuan permintaan kau yang mustahil ini. Kerana menceroboh istana dengan kawalan ketat itu amatlah mustahil."

Faris terdiam. Akalnya sedang menimbang tara sesuatu. Matanya redup menatap satu persatu wajah keliru sahabatnya. Tiada terpalit senyuman pada wajahnya seperti biasa tetapi hanya bibir yang bergaris dingin.

"Ikram. Lihat sahajalah kau. Kau sendiri berjeda mahu memberi jawapan. Kemudian bagaimana kau mahu meraih kepercayaan kami?" Ghani mengasak lagi. Nada suaranya sedikit bergetar memandangkan dia sedang berbicara dengan sisi lain pemuda aneh itu yang tidak seceria selalu.

"Benar, Ikram. Luahkan kepada kami. Lagipun, kau sendiri tahu ... gadis yang kau mahu temui itu ... pendurhaka kerajaan Indera Kara," tambah Ali.

"Siapa? Apakah si pengkhianat yang diarak di pekan pagi ini yang kau maksudkan, Ali? Cempaka namanya. Apa benar?" Cerlungan tajam Ghani menyambar seakan helang ke arah Faris yang masih mempamerkan riak kosong dan beku.

Ali pula hanya mengangguk perlahan. Anak matanya langsung tidak lepas ditalakan ke arah Faris. Risau pula jika balasannya pada pertanyaan Ghani tadi menimbulkan ketidakpuasan hati Faris.

Tanpa sedar, Faris menghela dengusan kasar. Entah mengapa hatinya cepat panas mendengar gadis yang berlegaran di dalam ruangan hatinya itu digelar pengkhianat.

"Jadi apa masalahnya? Dia pengkhianat atau pendurhaka atau apa pun yang kau gelarkan dia, dia tetap hanya seorang Cempaka bagi aku. Cempaka yang ditindas sahabatnya sendiri. Cempaka yang hanya menerima hukuman apa adanya walaupun dia sebenarnya tidak bersalah. Dan sekarang? Timbul plot bunuh-bunuh pula." Faris bersuara keras.

Badai sudah menghentam jiwa juga akalnya.

Dan saat itu, pantas Ghani bangkit.

"Lupakan sahajalah, Ikram. Jikalau engkau mahu menemuinya semata kau sudah jatuh hati padanya, lupakan sahaja niat kau yang mahu meminta pertolongan kami."

Tanpa sepatah dua kata, Ghani mengangkat kaki berlalu pergi. Lelah dia apabila menyertai perbincangan yang entah ke mana penghujungnya.

"Kita ke sini bukan kerana mahu melanggar undang-undang juga aturan kerajaan ini, Ikram. Lebih-lebih lagi kami orang baru di sini. Dan meskipun kau berasalnya dari sini, tidak menjadi syarat untuk kau berbuat sesuka hati."

Jemari yang bertaut diramas perlahan. Dia menekur lantai tanah dengan juraian rambut yang dikusutkan tadi. Dada Faris turun naik menahan sebak yang sudah cuba diusir namun tetap jua bertandang. Kata-kata si Bulan di sebelah kanannya seperti bergema dalam fikirannya.

Dari mana asal-usulku?

Ekoran kata-kata Bulan, terbit pula satu persoalan di minda Faris.

Lama dia berkeadaan begitu sehingga cuping telinga disapa derapan orang sekelilingnya yang semakin menjauh dan kedengaran perlahan.

Aku tiada asal-usul. Aku tak layak untuk berada di mana-mana sekalipun. Di mana-mana tempat aku hanyalah sebagai ... pendatang asing.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now