_ 38 - K E M B A L I ? -

154 22 6
                                    

"Ayah ...," panggil Daus perlahan. Dia mendongak memandang ayahnya. Kaki tua itu dirangkulnya.

Bungkusan pakaian yang dilemparkan oleh si ayah saat ketegangan di pasar tadi dibawa ke dalam dakapannya. Erat. Melihat akan ayahnya yang hanya memekakkan telinga, Daus menyeru lagi lelaki tua itu.

"Ayah."

"Berambus sahajalah kau dari sini. Tiada aku punya anak yang memalukan orang tua seperti kau!"

Darah yang memenuhi suku besen daging yang diletakkan daging pada awalnya dicurahkan ke sisi. Tiada dia peduli saat cecairan itu terpercik ke wajah Daus juga menyimbah kepala anak lelakinya itu.

"Usah dijaja kepada orang aku ini ayahnya kau. Jijik aku mendengarnya."

Kaki direntap kasar sebelum dia membuka langkah meninggalkan Daus yang sibuk meraup muka membersihkan wajah daripada cecair merah yang hanyir itu. Besen tadi menggawang di udara saat ia dibawa pergi bersamanya. Jauh di sudut hati berharap bibir besen itu menghentak kepala Daus. Dan apabila tidak berlaku sepertimana kehendaknya, keluhan kasar dilepaskan.

Dengan hati yang memberat, Daus bangkit. Ibu jari naik menyeka tubir yang sudah berkolam. Liur yang berpasir ditelan paksa melalui kerongkongnya.

"Ayah ... Daus pergi dulu, ya. Kelak Daus kembali menolong ayah di sini."

* * *

Jemaah surau masing-masing meraup muka mengaminkan doa yang dibaca oleh imam. Mereka kemudiannya bersalaman sesama sendiri sebelum melagakan pipi kiri kanan mesra. Pada masa yang sama, meniti selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW di bibir mereka.

Hening seketika seisi surau tatkala mereka berkumpul untuk mendengar tazkirah yang akan disampaikan sementara masuk waktu Isya'.

"Syed Abdullahkah?" Di sebalik tabir yang memisahkan jemaah lelaki dan perempuan, seorang wanita yang agak berusia bertanya memecah sunyi.

"Iya, Limah. Kata orang datangnya jauh daripada Indera Kara. Temannya si Tok Pandan, guru silat di kampung kita itu," balas rakan di sebelahnya.

Yang lain sekadar mengangguk mendengar sebelum sepi kembali membaluti zarah udara dalam surau itu.

Bunyi lantai berkeriuk dari belakang lantas mengundang kerlingan jemaah wanita untuk berpaling. Mereka serta-merta mengerutkan dahi. Mata terus tertancap pada susuk tubuh yang baru saja melangkah masuk ke dalam surau.

Tubuh tetamu itu sedikit membongkok dek segan dipandang sebegitu rupa. Langkahnya kaku. Kaki seakan dipaku pada lantai surau. Ditatap aneh jemaah wanita sedangkan hanya dia bergelar lelaki di situ, menambahkan rasa malu dalam diri. Mahu saja dia berpatah semula namun hati membantah keras.

Surau itu agak kecil dan hanya mempunyai satu pintu untuk keluar masuk. Dan tabir yang dipasang pada tali hanya ditarik apabila mahu bersolat bagi memisahkan jemaah lelaki dan perempuan. Dia tiada pilihan lain selain masuk ke surau dengan pintu belakang itu.

"Daus ... apa yang kau buat di sini?" Limah menyoal hairan.

"Mahu ... mahu bertemu ...," jeda Daus seketika. Terbayang wajah insan yang mahu ditemuinya namun tidaklah dia tahu empunya nama.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now