_ 11 - T E R S I M P U L M A T I -

251 38 42
                                    

"Dasar anak tidak berguna. Kerjanya aku membanting tulang empat kerat aku, mengerah peluh keringat aku,  bawah teriknya mentari tulang aku berpatah riuk, meredah hujan tidak aku kira siang atau malam untuk membesarkannya. Beginikah balasannya untuk bapanya yang sudah tua bangka ini?" Bergetar suara Pak Andak menuturkan kata.

Pak Andak menggeleng kesal. Keningnya yang tebal yang memutih bersatu. Amarah dalam dirinya sudah menggunung tinggi. Jikalau Cempaka sedang berdiri di hadapannya kini, sudah dia ambil parang yang diasah tajam untuk mengajar anaknya itu.

"Kau sudah tidak percayakan Cempaka, Andak? Aku sebagai ibunya sangat kenal akan Cempaka, anakku. Mana mungkin dia menconteng arang ke muka kita ini. Seorang anak yang aku didik dan aku asuh sejak kecil itu tidak akan memalukan keluarganya sendiri."

Mak Odah memukul bahu Pak Andak. Rasa sebak di dada apabila suaminya sanggup menganggap anak sendiri sebagai pembawa aib keluarga. Siapa lagi yang mahu mendukung hak keadilan Cempaka jikalau bukan mereka?

Pak Andak mengurut dadanya perlahan. Terasa begitu sempit di situ sehingga menyukarkan pernafasannya. Dia terpaksa mengiyakan kata-kata Mak Odah. Tetapi maruahnya telah diperkotak-katikkan di hadapan Sultan Aminuddin dan para pembesarnya dalam Balairong Istana sebentar tadi. Sedikit sebanyak seketul daging yang dipanggil hati itu berdarah bak ditusuk sembilu.

"Entah ke manalah aku hendak mencari budak itu. Entah sudah jauh entah tidak keberadaannya."

Pak Andak hanya nampak tujuh lagi adik kepada Cempaka yang kebanyakannya masih kecil. Kakak kepada Cempaka sudah berada di bawah jagaan suaminya. Anak bersama isteri pertamanya, Mak Odah hanyalah tiga orang. Enam yang kemudian ialah anaknya bersama isteri kedua Mak Teh. Namun, mereka dikhabarkan dengan kematian Mak Teh setelah melahirkan anak bongsu mereka. Takdir hidup yang begitu berliku perlu mereka tempuh dengan ketabahan.

"Jikalau nanti sudah aku dan kau tinggal jasad tidak bernyawa, bagaimanalah dengan nasib  anak-anak kita? Bolehkah melangsungkan  hidup mereka tanpa orang tua? Mahu dititipkan kepada Sulong aku amat keberatan. Anaknya juga sudah berjujukan lagikan yang sedang dikandungkannya," keluh Pak Andak lagi.

Empangan matanya ranap. Jiwa kental seorang tua yang berumur 70 tahun itu tergugah akhirnya. Mutiara jernih yang gugur di birai mata diseka perlahan.

Langkah diatur lemah melalui lorong kecil di antara beberapa rumah penduduk kampung. Hampir kesemua rumah sudah bergelap gelita. Mungkin sudah lama hanyut dalam mimpi lena.

Hanya bertemankan sinaran bulan purnama, Pak Andak menghayunkan kaki mara ke hadapan. Dia sekadar berkaki ayam. Segala lumpur dan debu tanah sudah menyelaputi tapak kaki dan masuk ke celahan kuku kakinya. Dia tidak endahkannya. Sudah terbiasa.

* * *

Kain sarung yang diikat pada pinggang dilonggarkan. Kemudian ia disarungkan ke atas kepala seperti kebiasaan wanita yang lain. Cempaka dengan laju menyusup masuk ke dalam pusuan orang ramai di tengah pasar. Matanya melilau ke sana sini mencari gerai yang menjual makanan ataupun buah-buahan.

"Mboh... kau jual berapa buah ini?" soal Cempaka kepada seorang gadis yang menjual beberapa jenis buah.

Nampaknya jualan mereka laku keras. Hal ini kerana sudah tidak banyak buah-buahan yang tinggal. Cempaka berharap agar saki-baki yang ada merupakan rezeki untuknya malam ini.

"Aku jual tiga tangkai rambutan untuk dua gangsa, Cempaka. Sudah murah untuk kau. Malam ini orang ramai sudah sapu semua," ucap Mboh senang. Senyuman manis tidak lekang daripada bibirnya.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now