_ 28 - R E S T U -

180 25 2
                                    

"Bangunlah sayang. Bangunlah anak umi. Buka mata Faris, sayang. Umi ada di sini," teriak seorang wanita dengan deraian air mata tanpa henti.

"Um ... umi," bisik Faris perlahan.

Mata dibuka sepet. Berbalam sahaja wajah uminya di sebelah. Ratu hatinya itu menggenggam erat tangan Faris lantas dicium berkali-kali.

"Maaf, puan tidak dibenarkan masuk. Sila tunggu di luar. Nanti kami maklumkan semula status pesakit."

Suara lain menjengah pendengaran Faris. Wanita beruniform putih yang sedang menolak katil yang membawa Faris laju memberitahu umi berkenaan peraturan itu.

Sesaat kemudian barulah Faris sedar bahawa dia dikelilingi ahli keluarga dan sahabatnya, Rafeez. Dia mahu membuka mulut dan memanggil lelaki itu tetapi tidak mampu. Terlalu banyak yang ingin dia perkatakan. Dan hanya titisan air mata yang mengalir lesu.

Lantas, katil itu segera ditolak masuk ke ruangan Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit, ICU).

"Abang, anak kita. Allahuakbar," teriak umi lagi.

Sebelum pandangan Faris kembali gelap, hujung matanya sempat mengerling umi yang sudah rebah ke lantai. Esak tangis cinta dunia akhiratnya itu meruntun hati Faris.

"Tampan sekali orangnya. Tapi wajahnya terlihat begitu sedih, ibu Fatimah. Agaknya mengapa, ya?"

"Iya benar. Sungguh tampan. Ibu Fatimah juga kurang pasti mengapa. Sudahlah, Bunga. Mari kita ke dapur lekas. Tiada adablah kepada tetamu jikalau diganggu lenanya. Bapa kau juga pasti marah nanti sama kau."

"Baiklah. Mari."

Bunyi lantai papan berkeriuk memecah sunyi rumah kayu Pak Kenit. Tidur Faris yang sedari tadi terganggu dek suara-suara asing lantas mencelik matanya luas. Figura dua perempuan yang berlalu ke dapur ditangkap sekilas oleh anak matanya. Setahu Faris, di rumah itu hanya tinggal Pak Kenit dan isteri.

Fikir esok sahajalah Faris. Sambung tidur lagi bagus.

Suhu yang sejuk mencengkam itu menandakan hari masih awal untuk Faris berjaga. Kain yang menyelimutkan tubuh ditarik ke paras leher.

Pipi yang dirasakan basah dek air mata menghadirkan seribu kerutan di dahinya. Dia menyekanya dengan segera. Faris lantas bangkit dari pembaringan. Dinding kayu yang berhadapan dengannya ditenung lama sehingga mampu menebuk lubang pada dinding itu.

"Aku mimpi apa tadi?" keluh Faris hampa apabila sudah dikorek memori mimpinya tetapi hanya pulang dengan tangan kosong.

Memang tidak ramai yang mampu mengolah semula apa yang telah dimimpikan. Begitu juga dengannya. Sudah dikerah otak supaya mengingati tetapi sia-sia saja.

Kening Faris bertaut membentuk jambatan yang sedikit berkedut di tengahnya.

* * *

Seperti sudah berbelas purnama tidak bertemu, mereka bertatapan lama. Masing-masing melemparkan senyuman ikhlas yang paling manis. Seminggu tiada bersua bagaikan setahun tempoh perpisahan mereka.

"Mengapa tidak kembali ke istana dan tetap beradu sahaja, tuan puteri?" Cempaka terlebih dahulu meleraikan rantai kesunyian antara mereka. Lemah sekali bicaranya.

"Beta mahu bertemu sama Cempaka."

Melalui jeriji ruang kecil itu, Azalea memerhatikan Cempaka yang bersandar tidak bermaya. Kedua-dua tangan Cempaka dirantai dengan besi dan kakinya pula dipasung.

"Adakah Tuan Jamil mengapa-apakan tuan puteri?" soal Cempaka prihatin.

Bergenang birai mata Azalea lalu menggeleng perlahan. Bayangan si suami diusir dari fikiran kerana hanya akan menyakitkan hati sahaja.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now