_ 31 - RUANG SEPI -

153 25 0
                                    

Lengan Awang dipeluknya erat. Meskipun sudah ditepis berkali-kali oleh si abang, dia tetap berkeras malah semakin mengeratkan dakapan. Dengusan kurang senang Awang itu diabaikan sahaja.

"Kau janganlah menghimpit aku sebegini," akhirnya Awang bersuara.

"Aku takut," ujar Eton separa berbisik.

Anak mata Eton sesekali melirik sembunyi ke arah seorang pengawal yang mengiringi perjalanan mereka. Wajahnya yang bengis dan berbadan sasa sedikit sebanyak menghadirkan rasa gerun dalam diri Eton.

"Apa sajalah yang hendak kau takutkan. Bukankah aku ada di sini? Tidak pula aku membiarkan kau berjauhan apatah lagi bersendirian," Awang merungut sambil menggeleng perlahan.

Telapak tangannya naik mengusap bahu Eton yang masih erat memeluk lengannya. Langkah dengan sengaja dia lambatkan sedikit agar seiring dengan hayunan kaki Eton yang perlahan.

"Awang, mengapa laluannya semakin gelap gelita?" bisik Eton sambil mengecilkan mata memandang lurus ke hujung lorong yang dilalui mereka.

"Usahlah bertanya kepadaku kerana aku juga tidaklah mengetahui tentangnya."

Sedang mereka saling berbisik, pengawal tadi lantas menghentikan langkahnya secara mendadak. Tidak menyedari akan hal itu menyebabkan hampir saja dua beradik itu merempuh kaki galah pengawal itu.

"Ke hujunglah kalian," pesannya sambil menunjukkan ke suatu arah di mana kawasannya hanya diterangi nyalaan obor yang malap.

"Apakah Cempaka berada di sana?" Eton memberanikan dirinya bertanya.

Pengawal itu sekadar mengangguk perlahan sebelum berundur beberapa tapak.

"Ayuhlah, Eton. Marilah kita ke sana bertemu sama Cempaka," Awang menggesa tidak sabar. Dia terlebih dahulu maju ke hadapan sekaligus mengheret adiknya untuk berjalan sama.

"Apakah kau kemudiannya akan pergi meninggalkan kami di sini?"

Eton bersusah payah berpaling ke belakang saat dirinya dilanda kegelisahan jika hilangnya kelibat yang mengiringi mereka tadi.

"Tidak. Tetap aku di sini sehinggalah kalian selesai dengan urusan kalian."

"Lekas, Eton."

Awang menarik tangan adiknya sehingga merapati sebuah ruang yang berada paling hujung. Mereka mengintai terlebih dahulu bagi memastikan benar-benar ada susuk tubuh yang dikenali.

"Cempaka? Apakah itu Cempaka?" Eton memanggil lembut di sebalik bahu Awang.

Mendung hati Eton tatkala melihat keadaan seorang gadis yang terkulai layu tubuhnya di sebalik jeriji kayu ruang yang agak sempit itu. Dia maju setapak lalu melabuhkan duduk di sebelah Awang.

"Mengapa kau berdua ke mari? Dan bagaimana kau berdua boleh masuk ke sini?" Serak basah suara Cempaka bertanya. Dia tertanya-tanya dengan keupayaan kehadiran dua insan itu di hadapannya kini.

Suara dingin milik Cempaka menyapa gegendang telinga Eton. Dia tersengih janggal mengingatkan betapa sulitnya untuk melepasi tembok kegarangan pengawal penjara.

"Eton hanya mahu menjenguk Cempaka. Orang-orang kampung bilang kau sudah menjadi pendurhaka. Kemudian kau diseksa oleh penghuni istana. Aku khuatir akan kau," ujarnya lirih seraya mengubah haluan perbicaraan tanpa mengulas perihal bagaimana dia dan Awang boleh masuk ke kawasan itu.

Eton laju memalingkan wajah ke sisi.

Awang yang hanya menayangkan muka kejung sedari tadi mengundang cubitan kecil Eton pada pahanya. Dia menarik muncung panjang sebelum dia menggosok paha kesan cubitan Eton.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now