_ 13 - TANPA TAJUK -

221 37 16
                                    

Tangannya diramas-ramas sekuat hati. Sedari tadi dia asyik mundar-mandir di dalam biliknya. Tanpa dia sedar, jemarinya naik menyentuh bibir dan kukunya yang panjang digigit.

Seketika kemudian, seorang pengawal mampir ke pintu biliknya sebelum tunduk sembah.

"Ampun, Tuanku. Tuan Jamil sudah datang bertandang ke Teratak Mahligai, Tuanku. Apakah Tuanku Permaisuri berhajat untuk menemuinya?"

"Tuan Jamil? Kau panggilkan dia segera. Sampaikan hajat aku yang ingin bertemu empat mata dengannya segera. Lekas," gesa Permaisuri Marlia.

"Menjunjung titah, Tuanku." Pengawal itu segera menapak ke belakang sebelum hilang daripada pandangan.

Permaisuri Marlia berjalan ke arah jendela biliknya. Dia menghirup udara segar daripada luar. Dia cuba menenangkan hatinya yang gundah gulana. Sejak kehilangan anak tirinya, Puteri Azalea, dia sudah tidak senang duduk.

"Kakanda Marlia. Mengapakah kakanda berhajat untuk berjumpa?"

Permaisuri Marlia menoleh ke belakang. Dilihatnya Tuan Jamil melangkah ke meja kayu yang diletakkan berdekatan jendela. Seraya dengan itu, dia turut mengambil tempat berhadapan dengan Tuan Jamil.

"Sudah tentulah aku mahu berbicara perihal bakal isterimu, Jamil. Pengawal! Tutuplah pintunya lekas. Dan jangan pula kau membuka pintu itu jikalau tidak berolah keizinan daripada aku."

Pengawal tadi segera menurut perintah. Dia kemudiannya melabuhkan tirai yang berwarna kuning keemasan sebaik sahaja pintu ditutup.

"Kakanda, katakanlah apa yang kakanda mahu katakan." Tuan Jamil merenung wajah kakak sepupunya yang kelihatan begitu gusar.

"Jamil, orang bawahan kau masih belum menjumpai Azaleakah? Bukankah perkahwinan kau berdua bakal dilangsungkan tidak lama sahaja lagi? Apakah tidak kau khawatir jikalau Azalea tidak kembali sehingga tibanya majlis perkahwinan itu nanti?" soal Permaisuri Marlia panjang lebar.

Tuan Jamil menghela nafas kecil. Pandangan dilemparkan ke luar jendela. Bumbung langit biru yang terbentang disajikan indah di depan mata. Lantas dia mengulum senyuman penuh makna.

"Tidak usahlah kakanda gundah akan perihal Tuan Puteri. Sudah aku kerah ratusan anak buahku untuk mencarinya. Kelak pasti bakal isteriku ditemui."

"Kau pasti, Jamil? Kerana jikalau tiada dijumpai si Azalea itu, musnahlah percaturan yang sudah aku rangka buat sekian lamanya."

"Seandainya aku berhajatkan sepuluh, datangnya seratus. Sekiranya aku berhajatkan si gadis rupawan, datang bertindan para gadis yang jelitawan. Lihatlah, kakanda. Aku bisa perolehi apa saja mengikut kemahuanku."

Berdekah Tuan Jamil ketawa mengenangkan kehidupannya yang serba mewah. Dengan kuasa dan darjatnya, sangat mudah untuk dia memonopoli bidang yang dia ceburi tanpa bersusah-payah.

"Huh! Jikalau bukan kerana aku yang memujuk rayu Sultan Aminuddin, belum tentu kau dapat menjejakkan kaki ke dalam istana, Jamil," ujar Permaisuri Marlia sinis.

Hujung bibirnya terjungkit mengukir senyum. Mengenangkan usahanya yang memakan belasan tahun, dia tidak mahu semua itu berakhir dengan sia-sia. Terbit rasa bangga dalam dirinya apabila salah satu rahsia besar yang dijalankan olehnya sedang berjalan dengan lancar. Jerat yang dipasang lebih awal yang sudah pasti menjanjikan seribu satu kemenangan bagi pihaknya.

* * *


Teka-teki yang masih menari-nari di segenap ruangan otaknya belum dapat dia rungkaikan. Namun, tidak boleh pula dia mengajukan persoalan tersebut dengan laju seperti roket. Kerana bagi dirinya, setiap hal perlu ada bermula dan berakhir dengan adab sopan lagi santun.

"Oh, ya. Boleh tak aku panggil kau Lea je? Sebab panggilan kau tu panjang sangatlah. Berbelit lidah aku nak menyebutnya," Faris memulakan perbicaraan.

Puteri Azalea sekadar mengangguk membenarkan.

"Kalau Cempaka marahkan aku sebab cara aku panggil kau kedengaran kasar, kau kena berada di pihak aku, tau. Sokong aku," ujar Faris lagi.

Tanpa jaminan yang berkualiti, mungkin sukar untuk dia dapat melepasi gawang kebengisan Cempaka. Melihat Puteri Azalea yang sekali lagi mengangguk, Faris meraup wajahnya berkali-kali. Dadanya benar-benar dirasakan lapang.

"Alhamdulillah. Selamat ... aku." Faris bersyukur kepada Allah Swt.

Dihantar kepadanya insan sebaik Puteri Azalea untuk menjadi tembok hadapan saat dia perlu menghadapi Cempaka.

Puteri Azalea pula hanya tergelak kecil melihat tingkah laku Faris. Kali ini senyumannya semakin lebar. Bibir yang kering lagi merekah tadi sudah hilang. Malah diganti dengan bibir yang nipis dan kelihatan merah seperti buah delima. Rasa loya yang bertakung dalam tekaknya kini juga semakin berkurangan.

"Lea. Kalau kau bukan bunian, kenapa kau tinggal dalam hutan? Tak ada rumah ke? Mak ayah kau mana?" soal Faris dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam dirinya.

"Aku bukanlah menetap di dalam hutan, Faris. Aku juga mempunyai rumah. Besar. Malah terlalulah besar untuk aku diami. Kerana ... terlalu banyak penjuru yang akan menghentam aku tanpa aku ketahui. Lelah aku dibuatnya," luah Puteri Azalea.

"Maksud kau? Kau tak payah nak berkias sangatlah. Markah subjek Bahasa Melayu aku cukup makan je dulu. Kalau bukan dapat cicak, aku dapat dadu." Faris menggeleng kesedihan.

"Sejarah hidup yang pahit itu tidak mahu aku telusuri lagi. Penatlah aku hendak membuka lembaran lama yang sudah aku tutup rapi. Perit dan pedihnya biarlah aku sahaja yang menanggungnya. Biarlah hanya aku yang tahu betapa seksanya hari-hari yang berlalu."

Puteri Azalea membuang pandangannya ke sisi lain. Bibirnya bergetar menahan sebak. Tangan dikepal kemas. Dada berombak perlahan. Dia cuba untuk bertenang. Lantas jemarinya yang runcing naik menyeka takungan air di birai mata.

"Tak apa. Aku faham. Mata kau mesti tengah masuk habuk, kan? Lepas tu mata kau nampak buruk. Perempuan memang alah dengan benda macam ni. Tak apa. Aku keluar sekejap. Sementara itu, kau bersihkan apa yang patut. Okey?"

Faris bingkas berdiri lalu menapak keluar meninggalkan Puteri Azalea berseorangan. Dia kemudiannya bersandar pada dinding buluh sambil mendongak ke langit kelam. Tangan diseluk ke dalam poket. Entah mengapa dia merasakan malam itu merupakan malam yang terlalu panjang untuk dia tempuhi.

Mata dipejam rapat. Fikirannya melayang dan kembali ke rumah. Mencari-cari kelibat umi dan abah. Dia teringin hendak tahu apakah tidur mereka berdua tidak lena setelah menerima berita kehilangannya. Walhal dia tidak mahu umi mahupun abah bersengkang mata semata-mata memikirkan dirinya.

'Faris okey je umi, abah. Jangan risau. Faris pandai jaga diri. Umi jangan menangis. Faris okey. Ya Allah ... sampaikan rasa rindu yang bertamu ddi hati ini kepada orang tuaku. Jemputlah mereka ke dalam mimpi yang indah belaka, Ya Allah. Lemparkanlah rasa tenang dalam diri mereka setenang air di kali. Hadirkan kelapangan dada untuk mereka saat dirasakan dunia ini begitu sempit. Lancarkanlah urusan mereka meskipun begitu banyak penjuru yang akan menghentam tanpa mereka ketahui. Semoga titipan doaku ini dimakbulkan oleh-MU, Ya Allah.'

Faris menumbuk dada kirinya berkali-kali. Dia perlu tetap teguh berdiri kerana sudah tiada tempat untuk dia bergantung harap.

Esakan halus dari dalam gudang tiba-tiba menyapa pendengaran Faris. Beranggapan bahawa sesi menyepi itu akan berlarutan, tubuh Faris melorot jatuh. Punggung dilabuhkan atas tanah lalu duduk bersila. Kepala disandarkan ke dinding dan masih mendongak memandang kanvas hitam yang diwarnai warna kuning malap sang bulan.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now