_ 17 - TIRAI CERITERA -

234 35 66
                                    

"Syukurlah diri suamimu ini tatkala wanita bangsawan lagi disegani sepertimu mahu mengahwini lelaki yang sudah punya seorang puteri," tutur Sultan Aminuddin perlahan.

Bibirnya tidak lekang mengukir senyuman manis.

"Adindalah yang selayaknya mengucap syukur apabila seorang sultan yang masyhur orangnya menerima wanita yang hina dina ini," ujar Permaisuri Marlia sambil menundukkan wajahnya.

Tanpa berkata apa-apa, Sultan Aminuddin pantas mengucup dahi isterinya yang dinikahi hampir seminggu yang lalu. Sepanjang tempoh itu, mereka berdua tidak pernah lupa untuk saling berterima kasih. Seolah-olah tiada lagi hari esok untuk berbalas kata.

Namun, rengekan si bayi di luar bilik segera menarik perhatian mereka berdua.

"Ampun, Tuanku. Dayang Suria datang menghadap bersama Puteri Azalea, Tuanku."

"Bawalah mereka masuk ke dalam," titah Sultan Aminuddin seraya meleraikan lingkaran di pinggang isterinya.

Tirai keemasan diselak. Pintu kayu jati ditolak. Seorang wanita yang sudah berusia melangkah masuk lalu menunduk sembah. Dalam dukungannya ada bayi kecil yang berbalut dengan kain emas.

Wajah bayi itu pucat tidak berdarah. Mulutnya ternganga luas dan mata dikejip rapat sehingga menampakkan kedutan di birai mata. Ada mutiara jernih yang mengalir sayu. Bahagian rahangnya timbul urat berwarna biru. Dia menangis. Tanpa mengeluarkan sebarang suara.

"Apakah yang sudah menimpa puteri kecil Beta, Dayang Suria? Bagaimanakah hal sebegini bisa berlaku?" soal Sultan Aminuddin tatkala dia menerpa si bayi dalam dukungan Dayang Suria.

Puteri Azalea diambil ke dalam pelukan eratnya. Belakang tubuh si bayi digosok penuh kasih. Namun, masih tiada tanda urut anak itu berhenti menangis.

"Taji! Bersegeralah kau panggilkan tabib diraja ke mari. Khabarkan kepadanya akan keperluan kami di sini. Lekas!" arah Permasuri Marlia kepada salah seorang pengawal yang bernama Taji.

"Baiklah, Tuan Permaisuri," Taji menyahut lalu segera beredar.

"Mujurlah adinda ada di sini. Jikalau tidak, tiada apalah yang dapat kakanda lakukan," ujar Sultan Aminuddin dengan suaranya yang sedikit bergetar.

Puteri Azalea dibawa ke meja kayu berdekatan jendela yang terbuka. Bayi itu dibaringkan dengan hati-hati. Balutan kain emas pada tubuh si kecil dibuka. Dia mahu memberi ruang kepada Puteri Azalea untuk lebih senang bernafas.

Dahi yang ditumbuhi jambul itu dikucup beberapa kali. Hatinya berdetak kerisauan.

"Usahlah kakanda khawatir. Tabib Salehain bakalan tiba sebentar lagi."

Permaisuri Marlia menepuk bahu suaminya perlahan.

Tidak lama kemudian, tabib yang ditunggu akhirnya tiba bersama beg jerami yang disangkut menyilang di dada.

Denyutan nadi di pergelangan tangan dirasai.

"Ampun, Tuanku. Mengikut ilmu pengetahuan patik, telah patik mendapati bahawa degupan jantung Tuan Puteri begitu lemah," ucap Tabib Salehain sambil mengeluarkan seuncang daun herba yang telah ditumbuk halus.

"Bolehkah patik dapatkan semangkuk air?"

Sultan Aminuddin mengisyaratkan Dayang Suria untuk mendapatkannya. Wanita tua itu mengangguk sebelum melangkah pergi.

"Apakah tidak mengapa jika persalinannya ditanggalkan? Mungkin Tuan Puteri sudah kelemasan dan patik juga mahu memeriksa belakang tubuhnya," minta Tabib Salehain lagi.

Sultan Aminuddin menarik nafas dalam sebelum mengangguk perlahan.

"Lakukanlah apa sahaja yang terbaik daripada kemahiran kamu, wahai tabib. Diminta segunung emas pun sanggup Beta berikan kepadamu asalkan puteri kecil Beta sembuh."

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now