Bab 3

1.2K 149 4
                                    

8 tahun lalu...

Kehadiran guru disiplin mematikan semua perbualan kosong. Sangka kami, ada daripada kalangan kami yang membuat kacau lagi. Rupa-rupanya, tong sampah di luar kelas sudah penuh. Kepergian beliau mengundang keluhan lega daripada semua. Kecuali aku.

          "Mirul! Turn kau!" Laung ketua kelas 1A.

          "Debab." Mejaku diketuk. Aku mendongak perlahan. "Dengar tak?" Tanya Amirul.

           "Hah?"

           "Hari ni turn kau buang sampah."

           Pendengaranku masih jelas. Masih elok lagi. Terang lagi bersuluh namanya yang disebut. Kendatipun itu kenyataannya, aku terpaksa berdiam diri. Kalau aku membantah pun, bukannya aku boleh menang. Satu kelas belakangkan aku.

          "Tunggu apa lagi? Cepatlah!"

           Aku mengangguk lemah. Bingkas bangun dan bergerak ke luar kelas. Tong sampah hitam itu separuh daripada saiz badanku. Dengan mudah aku dapat mengangkatnya. Awal-awal memanglah bertenaga. Dua minit lagi, semputlah. Maklumlah, kena angkut lemak badan sekali.

          Selesai mengosongkan tong sampah di belakang bangunan sekolah, aku mengheret kaki. Malas mahu pulang secepatnya ke kelas.

          Bukk!

          Bunyi kuat di kawasan sunyi itu bergaung. Aku berpusing 360 darjah. Mencari sumber bunyi tadi apabila pandanganku jatuh pada budak lelaki berseragam sekolah terbaring pada lantai. Tiga lagi budak lelaki mengerumuninya. Mentertawakannya yang sedang mengadu sakit.

          "Ni last aku tanya. Kau nak bagi ke tak?" Tanya salah seorang daripada mereka.

          "Saya tak ada duit bang. Sumpah tak ada. Saya dah guna semua masa rehat tadi." Rengeknya.

          "Kau bawa duit pergi sekolah RM10 tapi semua dah habis? Kau nak aku percaya? Kau makan apa sampai RM10 boleh habis?"

         "S-saya makan mi goreng ayam, air pula milo—"

          "Eh, aku tak nak tahulah!" Cantasnya. "Patutlah badan gemuk macam badak! Entah-entah dengan pinggan sekali kau telan!"

          Dia melutut. Kepala ditundukkan. Lama berdiri di situ, memerhatikan mereka, aku menyedari sesuatu. Banyak komen yang dilontarkan kepadanya tetapi—hanya komen terakhir yang meninggalkan kesan. Matanya—berkaca.

          "Esok, aku nak kau bagi semuanya. Kau dengar tak ni?"

          Mahu tak mahu, dia mengangguk.

         "Ini bukan buli tahu? Aku cuma nak tolong kau diet je. Kalau duit kau banyak, macam mana kau nak dietkan? Asyik beli makanan je."

          Dia menggenggam erat jarinya. Bibir menggeletar.

          "Betul tak apa aku cakap? Jawablah gemuk!"

          Nafas dia tarik dalam. "B-betul."

          Senyuman puas terukir di bibir mereka bertiga. Berpaling dari budak lelaki yang melutut pada tanah walhal dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
          
           Pandangan mata kami bertemu saat aku menghampirinya. Mahu lari ke mana? Dia di keliling dinding dan tembok. Satu-satunya jalan keluar, melalui tempat aku berdiri.

           "Awak... okay ke?" Tanyaku kepadanya.

           Dia teragak-agak untuk menjawab. Aku mengekalkan arah pandanganku. Memujuknya untuk bersuara dan akhirnya, dia membalas dengan anggukkan. Aku memberanikan diri untuk melangkah lebih dekat dengannya.

          "Nah!" Gula-gula karamel dari dalam poket baju kurung sekolah aku hulurkan kepadanya.

          "A-apa ni?"

           "Gula-gula."

           "Kenapa a-awak bagi saya gula-gula?"

          "Saya dengar, makan benda manis boleh gembirakan kita. Tapi—saya makan apa-apa pun, tetap gembira. Asalkan dapat makan."  Selorohku, mahu menghiburnya.

           Dia tertawa. Lawak hambarku menjadi kali itu. Aku menyuakan gula-gula karamel lebih dekat kepadanya. Sambil tersenyum polos, dia mengambilnya dari tapak tanganku.

           "Arasy?" Aku membaca tanda namanya. "Nama awak Arasy?"

           Dia mengangguk.

           "Saya Emilia. Panggil Em."

           Abel sengaja melanggar bahuku. Mungkin kerana aku terlalu lama mengelamun sendirian tanpa memutuskan tatapan mata di antara aku dan jejaka tinggi lampai di hadapanku. Mata Abel bulatkan. Menyuruhku menjawab soalan jejaka itu.

          "Kita kenal ke?" Ulang jejaka itu lagi.

          Aku mengerling rakan-rakannya yang berdiri di belakangnya. Berbisik antara satu sama lain sambil memandangku. Tidak pun mencuba untuk menyelindungkan hal itu.

           Diorang... tengah judge aku ke?

           "Muka you—familiar. Kita pernah jumpa kat mana-mana ke?" Tambahnya lagi.

           Familiar? Muka aku familiar?

           Aku memejam rapat mataku untuk seketika. Kata-katanya tiga tahun lalu terngiang-ngiang di telinga.

           "Aku tak fahamlah! Kita elok aje berkawan. Aku pun dah selesa dengan kau. So kenapa kau nak—kenapa kau—selfish sangat?"

           Riak wajahnya malam itu masih segar dalam ingatan. Matanya yang berkaca, buku jarinya yang pucat dek menggenggam tangan terlalu erat—dan amarahnya yang menggelegak kerana aku. Aku ingat bagaimana bencinya dia terhadapku malam itu. Sejarah hitam itu aku semat kemas dalam benak agar aku tidak pernah lupa siapa aku dan siapa dia yang sebenarnya.

          "Tak." Aku bersuara. "Saya tersilap orang. Ingatkan awak kawan saya tadi."

          "But you did get my name right."

          "Did I?" Aku menjongketkan sebelah alis. "Sorry. Saya tak ingat pun saya panggil awak dengan nama apa tadi."

          "Er..."

          "Abel, jom."

          Aku memaut lengan Abel dan mengheretnya pergi dari situ. Sejauh yang mungkin dan berharap takdir kami tidak akan bersilang lagi.

OxytocinWhere stories live. Discover now