Suasana riuh-rendah di dalam dewan kuliah beransur reda setelah kaki melangkah masuk. Kutukan yang disuarakan lantang diperlahankan. Berbisik antara satu sama lain seraya memandangku dengan jijik. Tidak pun cuba menyelindungkan perilaku mereka.
"Em!" Hannah melambai.
Senyum aku paksa jua untuk muncul. Membalas lambaiannya dengan longlai. Tatkala pandangan jatuh pada gadis yang duduk di sebelah Hannah, senyumanku memudar. Tangan perlahan-lahan jatuh. Menggenggam erat tali beg. Mungkin akan meninggalkan bekas pada tapak tangan.
Diri aku gagahkan untuk melangkah ke hadapan. Dengan setiap anak tangga yang aku daki untuk ke barisan ke-7, bisikan mereka semakin jelas.
"Perempuan tak tahu malu."
"Muka je cantik. Perangai... hmph!"
"Perempuan murahan, memang ramai yang kejar. Nak hairan kenapa?"
"Kenapalah Arasy boleh suka kat perempuan macam dia ni? Tak ada kelas langsung!"
Di anak tangga keempat, langkahku terencat. Kepala terasa berat. Begitu jua bahu. Mata aku pejam seketika. Bisikan mereka...
5 Tahun Lalu...
Waktu pelajaran sampai ke penghujungnya. Bunyi nyaring loceng bergaung kemudian diikuti pula dengan bunyi heretan kerusi. Aku mengeluarkan buku-buku yang aku simpan di dalam laci meja. Menyusun satu-persatu ke dalam beg sekolah.
Pintu kelas diketuk. Borak kosong rakan sekelas yang lain mati. Rasa ingin tahuku dirangsang. Lantas aku menoleh ke arah budak lelaki yang mengatur langkah merapatiku. Titisan peluh membasahi dahi dan rambutnya. Kemeja sekolah yang membaluti tubuh atletiknya dibiarkan tak berbutang. Tangan memegang bola oren.
"Dah nak balik ke?" Soalnya sambil tersenyum lebar.
Aku mengangguk. Anak mata ke tanda namanya. Arasy Daniel. Nama seindah rupa. Patutlah jadi kejaran wanita.
"Alah, janganlah balik dulu! Awal lagi kut."
"Kalau tak balik, nak buat apa?" Alisku naik.
"Hari ni kitorang ada basketball match. Kau tak nak datang tengok aku main ke?" Arasy tersenyum herot.
Dia datang ke kelas aku semata-mata nak ajak aku tengok dia main basketball? Pfft! Dia ingat aku terlupa ke pasal basketball match dia? Aku siap tulis kat kalendar lagilah.
"Hm... okay! Tapi aku nak bersihkan kelas dulu." Jawabku.
"Okay! Aku tunggu kat bawah tau?"
Aku mengangguk. Arasy berlalu pergi. Anak mataku mengekorinya sehinggalah dia hilang dari pandangan mata.
"Aku rasa, tiap hari Arasy datang kelas kita semata-mata nak tengok Si Debab ni je."
Senyumanku luntur.
"Kau rasa, Arasy suka kat dia ke?"
"Perempuan tak ada kelas macam dia, kau rasa sesuai ke dengan Arasy? Memang taklah."
5 tahun kemudian, aku masih mendengar hal yang sama. Bagaimana dengan perubahan masa, mereka kekal sama? Umpama klon.
"Em?" Hannah mencelah.
YOU ARE READING
Oxytocin
Teen FictionSekuntum bunga perlu mengharungi lebatnya hujan dan teriknya matahari sebelum mengembang, melebarkan kelopak harum semerbaknya. Itulah falsafah yang Emilia Rose pegang. Yakin bahawa suatu hari nanti, gadis bertubuh gempal sepertinya juga akan menja...