Telefon di tangan berkali-kali aku nyalakan. Di ruang pemberitahuan hanya ada satu mesej. Mesej terakhir aku terima daripada Hanif lima minit yang lalu.
"Haih, orang bercinta ni! Langsung tidak boleh berpisah." Keluh Abel sambil memeluk tubuh.
Aku menghentikan langkahku. "S-siapa yang b-bercinta?" Bibir muncung sedepa.
"Eh, aku tiada pun cakap orang tu kau!" Kedua-dua tangan dia angkat, memasang riak tak bersalahnya. "Tapi... siapa makan cili—"
"Ah, tak ada, tak ada! Tak rasa pedas pun!" Cantasku laju dan mengundang jelingan Abel. "Eh, tadi kau kata kau nak pergi jumpa kawan lama kaukan?"
Dia mengangguk. "Kau okaykah ni pulang rumah sendiri?" Belum sempat aku menjawab, Abel menyambung, "Eh, mestilah okay! Abang Anepkan ada!" Bahuku dicuit.
Kalau sehari tak sakat aku, tak sahkan!
Hampir dua minit berada di situ, barulah aku menyedari kehadiran bau cat baharu di sekelilingku. Menoleh ke belakang, dinding yang dulunya dihiasi dengan mural flora kini disaluti cat putih. Beberapa orang pelukis mengembalikannya ke warna asal sebelum mengecatnya semula dengan mural yang baharu.
"Untuk Festival Kebudayaan tu ke?" Soalku kepada Abel.
"Yup."
"Eh, dik, dik, dik!"
Splash!
Aku tunduk memandang kaki. Cat putih tercalit di mana-mana pada seluar denim yang aku kenakan. Sama seperti reaksi Abel, rahangku hampir jatuh ke lantai.
"Y-you okay ke?" Tangan seseorang diletakkan ke atas bahuku.
Menoleh sedikit ke sisi, wajah Arasy muncul di depan mata. Alisnya bercantum, meneliti jeans yang dilunturi cat.
"S-sorry! Minta maaf sangat-sangat." Seorang lagi jejaka muncul di hadapanku setelah mendaki turun tangga yang digunakan untuk mencapai bahagian atas dinding. "Aduh!" Dia menggaru kepala melihat keadaanku ketika itu. "Saya... saya bayar ganti rugi. Awak beritahu je berapa—"
"Haa, baguslah kalau reti mau ganti rugi! Buat kerja pun tidak betul!" Abel mencerlungnya tajam.
Mungkin takut melihat Abel dan menyedari itu terjadi atas kesalahannya, dia menundukkan kepala. Haih, aku nak marah pun, rasa kasihan pula. Abel ni pun, agak-agaklah nak marah anak orang macam tu. Entah-entah orang ni lebih tua dari dia. Kan kurang sopan macam tu.
"Tak apa. Lagipun jeans ni dah lama dah." Sampukku.
"Bang." Arasy bersuara. Aku hampir terlupa dia masih di sini. "Ada turpentin tak?"
"Ada, ada!" Dia mengangguk laju.
"Boleh pinjam? Saya nak bersihkan seluar dia."
"Tak payahlah." Sampukku lagi. "Nanti lepas dah basuh, bersihlah."
"Mana boleh hilang kalau basuh macam tu aje." Sangkal Arasy.
Telefon berdering. Aku memeriksa telefonku, berharap ianya panggilan daripada Hanif. Tetapi sebaliknya, deringan itu daripada telefon Abel. Beberapa saat kemudian, dia menamatkan panggilan dan memandangku dengan riak bersalah.
"Kawan kau ke? Tak apalah. Pergilah. Aku okay ajelah." Aku melakarkan senyuman kecil kepadanya.
Abel mengangguk faham. Setelah memberi amaran keras kepada jejaka cemerkap tadi untuk lebih berhati-hati, dia berlalu pergi.
![](https://img.wattpad.com/cover/197635715-288-k827638.jpg)
YOU ARE READING
Oxytocin
JugendliteraturSekuntum bunga perlu mengharungi lebatnya hujan dan teriknya matahari sebelum mengembang, melebarkan kelopak harum semerbaknya. Itulah falsafah yang Emilia Rose pegang. Yakin bahawa suatu hari nanti, gadis bertubuh gempal sepertinya juga akan menja...