Ketukan lemah pada pintu membuatkan aku dan Hanis serentak menoleh. Hanif menjenguk ke dalam. Lantas alisku ternaik. Sambil berdehem, dia menolak pintu seluasnya lalu masuk ke dalam dan menutup rapat semula pintu.
"Saya nak cari buku." Beritahunya tanpa perlu aku bertanya lagi.
"Oh." Aku mengangguk faham. "Kita stop kat mana tadi?"
Perhatianku kembali kepada Hanis. Meskipun begitu, hujung mata tidak dapat tertahan dari mengekori gerak-geri Hanif yang perlahan-lahan menuju ke barisan rak buku.
Kepala aku geleng sedikit, mengejutkan diri sendiri daripada terus leka. Aku menjelaskan hukum tatabahasa kepada Hanis kemudian memberinya latihan. Sepanjang masa itu, Hanif masih berada di dalam bilik yang sama. Entah buku apa yang dicarinya tak kunjung jumpa.
Dia ni tak nak keluar ke? Lamanya dia kat sini.
Dek tertanya-tanya, aku akhirnya menoleh ke arah barisan rak buku. Ternyata, Hanif juga menoleh serentak ke arahku. Anak matanya membesar. Laju-laju melarikan pandangan. Buku dibuka di tangan dia baca dengan mata kerap terkebil.
Kantoilah tu renung orang. Kalau rasa bersalah, minta maaf ajelah. Nak buat alasan cari buku konon.
Bunyi tombol pintu dipulas sekali lagi membuatkan aku menoleh ke arah pintu. Kali itu, kakak kepada Hanis dan Hanif pula yang masuk ke dalam. Dulang berisi teko teh dan cawan serta biskut cip coklat diletakkan ke atas meja.
"Wah, apa ni? Akak buat sendiri ke?" Tangan Hanis menyambar biskut yang masih hangat itu lalu menggigitnya. "Ah, panas, panas!" Lidah dijelirkan kemudian tangan mengipasnya.
"Padan muka. Siapa suruh gelojoh sangat?" Omel Dr. Hashima. "Emilia jemputlah makan sekali." Dia tersenyum ke arahku pula.
Aku mengangguk. "Terima kasih."
"Tapi akak tak jamin sedap tahu? Dah lama tak baking. Baru hari ni dapat cuti. Itu pun sehari je. Kalau tak sedap, sorry." Katanya, masih dengan senyuman manis itu.
Mengambil masa beberapa saat untukku menyedari dia membahasakan dirinya sebagai 'akak'. Namun setelah menyedari, senyuman malah bertambah lebar. Terasa kehadiranku dialu-alukan berbanding hari-hari sebelumnya.
"Eh! Go on. Akak nak sambung baking lagi. Hanis belajar rajin-rajin tahu? Jangan tahu makan je." Sempat lagi dia berpesan sebelum meninggalkan kami berdua.
"Kenapa dengan kakak saya tu?"
Oh. Terlupa pula Hanif masih ada. Bukan berdua. Tapi bertiga.
"Kenapa dia tiba-tiba layan awak baik semacam? Buang tabiat ke apa?" Sambung Hanif dengan riak kelirunya.
"Tak baiklah cakap macam tu." Tegurku.
Sebenarnya, aku pun tak tahu kenapa Dr. Hashima—maksud aku, Kak Shima layan aku baik semacam. Mungkin sebab aku dah luahkan semua kat dia? Atau... mungkin sebab dia kasihan kat aku?
"Kak. Hanis nak pergi toilet kejap. Dah terkucil dah ni." Beritahunya kemudian bergegas ke bilik air sebelum aku sempat mengatakan apa-apa.
Maka tinggallah aku dan Hanif berdua di situ.
Hanif menarik kerusi. Melabuhkan punggung pada kerusi yang diduduki Hanis sebelum pergi. Pandangan aku rendahkan. Entah mengapa gemuruh untuk menatapnya. Mungkin sebab dah lama tak duduk semeja.
"Awak ada cakap apa-apa kat Kak Shima ke?" Soalnya.
"Kenapa?" Aku masih menunduk. Berpura menyemak buku kerja Hanis.
"Tak adalah. Pelik je sebab dia tiba-tiba layan awak dengan baik. Bukan nak burukkan kakak sendiri tapi awak pun mesti perasan cara dia layan awak masa awak mula-mula datang sini."
Pen merah di tangan aku genggam kuat. Mendongak dan menatapnya, seluruh badan terasa dingin. Tapak tangan berpeluh. Terlalu gemuruh.
"Ada." Tuturku.
"Apa dia?"
"Saya beritahu kakak awak, saya takkan suka kat awak. Yang saya ikhlas nak setakat berkawan je dengan awak. You know, just in case she's worried." Aku mengerling pintu yang tertutup rapat. "Mungkin lepas saya dah cakap macam tu, dia lega sikit?" Sambungku.
Hanif diam sejenak sementara aku pula hampir menggigil dingin menunggu jawapan daripadanya. Dia hanyut dalam fikiran sendiri tetapi air mukanya kekal kosong. Sukar untuk ditafsirkan.
"Baguslah tu." Hanif tersenyum kecil.
Dia lega sebab... aku sekadar nak berkawan dengan dia?
Mestilah dia lega. Kenapa pula aku nak berharap lebih?
"Eh, shoo, shoo! Ini tempat oranglah!" Hanis kembali dan menghalau abangnya.
Hanif bingkas bangun. Sempat lagi menjeling adiknya itu. Jeling-jeling manja.
"Nak rehat kejap atau nak sambung?" Tanyaku kepada Hanis.
Dia menilik jam tangannya, menghitung masa yang berbaki. "Rehat kejap, boleh?"
"Okay." Aku bersetuju.
Alih-alih, Hanif meletakkan tangannya ke atas kulit buku di hadapanku. Menghadiahkan senyuman manisnya kemudian pergi bersama buku berkenaan bidang kimia di tangan.
Sehilangnya dia dari pandangan mata, aku menunduk. Pada kulit buku tadi, tertampal sekeping kertas kuning dengan tulisan Hanif di permukaannya.
I miss you when you Ar
Ar? Apa benda pula Ar ni? Kalau AI aku tahulah.
"Hanis. Apa maksud Ar eh?" Soalku kepadanya setelah menyembunyikan kertas tadi di bawah meja.
"Ar yang Hanis tahu... satu je. Argon kat Periodic Table Chemistry tu."
"Oh. Argon?"
I miss you when you Ar?
Argon?
I miss you when you Argon?
I miss you when you Are Gone?!
"Kenapa akak gelak? Jawapan Hanis salah ke?" Tegur Hanis.
"Eh, tak adalah!" Nafiku.
Aku tunduk. Membaca mesej yang Hanif tinggalkan pada sekeping kertas kuning itu.
I miss you when you are gone.
Hanif, Hanif.
YOU ARE READING
Oxytocin
Teen FictionSekuntum bunga perlu mengharungi lebatnya hujan dan teriknya matahari sebelum mengembang, melebarkan kelopak harum semerbaknya. Itulah falsafah yang Emilia Rose pegang. Yakin bahawa suatu hari nanti, gadis bertubuh gempal sepertinya juga akan menja...