Jari lenguh mendail nombor telefon Abel sepanjang perjalanan dari dorm ke dewan kuliah. Panggilan telefon masuk ke mel suara. Sekali, dua kali tak jawab, tak apalah. Ini berkali-kali, masih tak dijawab. Risau dibuatnya.
Masa solat Subuh tadi, Abel masih terlantar di katil. Berdengkur halus. Lepas aku pulang dari joging keliling taman, batang hidung dia pun langsung tak nampak. Telefon berkali-kali, nak ajak pergi kelas sama-sama. Alih-alih, masuk ke mel suara.
Satu lagi, beberapa hari ni, aku perasan Abel jarang sangat bercakap dengan aku. Dengan orang lain, tak tahulah pula. Dia ada masalah ke? Nak juga tanya, tapi dia asyik mengelak. Susahlah macam ni.
"Dia ke?"
Aku mendongak dari terus merenung skrin telefon. Untuk beberapa saat, pandanganku dan seorang gadis bertemu. Pandangan dikalih, berbisik kepada rakannya.
"Tengok rupa pun, dah tahu dah."
Aku berpaling ke kanan. Dua orang gadis lalu di sebelahku. Menoleh ke belakang hanya untuk melemparkan senyuman sarkastik kepadaku.
Kenapa semua orang pandang aku semacam?
Jangan-jangan...
3 tahun lalu...
Keputusan SPM diumumkan hari ini. Tiga hari selepas tarikh kelahiranku yang ke-18. Harap-harap, keputusan yang aku dapat jadi hadiah hari jadi terbaik untuk aku. Mesti Umi dengan Abah gembirakan kalau keputusan aku cemerlang?
Haih, tak sabarnya nak tunjuk kat diorang!
"Weh! Tengok tu! Emilia."
Aku? Diorang tengah borak pasal aku ke?
"Cuti panjang ni, makin gemuk pula aku tengok. Ini mesti masa cuti, tidur, makan je kerjanya."
Kepala aku tundukkan. Hujung baju kurung aku genggam kuat sehingga renyuk. Sesaat menahan nafas, terasa semput.
"Macam manalah nasib dia kat universiti nanti? Mesti kena pulau."
"Mestilah! Siapa je yang nak berkawan dengan budak gemuk? Tak ada class."
Bahang renungan semua di situ terasa. Bagaimana mereka memerliku, meninggalkan komen sarkastik dan senyuman sinis mereka, semuanya terasa meskipun mata tak menyaksikan.
Hina sangat ke budak gemuk macam aku?
"Em!" Hannah menepuk bahuku. "Slownya kau jalan. Termenung jauh pula tu. Fikir pasal apa?" Soalnya sambil menyamakan langkah denganku.
Aku melihat ke sekeliling. Masih ada segelintir yang mencuri pandang ke arahku.
"Hannah."
"Hm?"
"Kenapa semua orang pandang aku semacam?" Bisikku sambil tertunduk.
YOU ARE READING
Oxytocin
Teen FictionSekuntum bunga perlu mengharungi lebatnya hujan dan teriknya matahari sebelum mengembang, melebarkan kelopak harum semerbaknya. Itulah falsafah yang Emilia Rose pegang. Yakin bahawa suatu hari nanti, gadis bertubuh gempal sepertinya juga akan menja...