Adly mendengarnya dengan penuh rasa tidak percaya dengan cerita sebenar disebalik kewujudan kampung songket itu. Menurutnya lagi, Puan Zalia tahu akan itu daripada surat yang diberikan oleh bapa angkatnya iaitu Shazman sebelum lelaki itu membunuh dirinya sendiri di rumah milik Melati.
Puan Zalia menatap keadaan di luar rumah yang semakin gelap. Malam ini adalah malam bulan pernama. Dia tiada pilihan lain lagi melainkan mengharapkan bantuan daripada Adly untuk membantunya mencari kawan-kawannya yang lain.
Dia tahu masih terlalu awal untuk mempercayai cerita Puan Zalia namun dalam masa yang sama dia tidak mahu meletakkan kawan-kawannya dalam keadaan yang bahaya. Puan Zalia mengusap lembut kepala Iman yang masih tidak menyedarkan diri.
Namun baru sahaja dia ingin melangkah pergi, Iman dengan tiba-tiba memegang tangannya. Tidak mahu Puan Zalia pergi. Gadis itu menangis kerana menahan sebak. Dia telah mendengar segalanya apa yang diceritakan Puan Zalia kepada Adly.
Entah kekuatan dari mana dia perolehi, Iman bangun dari posisinya yang berbaring lalu memeluk Puan Zalia dengan erat. Tidak menyangka akan bertemu dengannya. Tapi ada satu hal yang masih belum mereka ketahui. Kalau difikirkan, Adly masih terasa aneh dengan hal yang diceritakan oleh Puan Zalia. Seolah-olah masih ada lagi perkara yang belum diberitahu oleh Puan Zalia kepadanya.
Iman memang ingin mengikuti mereka namun dihalang oleh Puan Zalia untuk memastikan keselamatan kedua anak gadisnya tidak terancam. Puan Zalia mula bertolak dengan Adly dan membawa beberapa peralatan untuk langkah berjaga-jaga.
"Puan Zalia, boleh saya tanya sesuatu?"soal Adly sambil bergerak ke kawasan hutan yang dimasuki oleh kawan-kawannya yang lain.
Puan Zalia mengangguk. Seperti biasa, wajahnya masih sahaja tetap dingin, mungkin masih geram kerana membawa masuk Iman ke tempat itu.
"Kenapa saya tengok Iman saja yang jadi macam tu? Kenapa saya tengok Kasturi tak jadi macam Iman?"soal Adly yang membuatkan langkah Puan Zalia terhenti.
Matanya bertentangan dengan mata Adly. Lupa akan kutukan yang berlaku dalam keluarganya. Rasa sedih memikirkan nasib Iman. Dia tahu cara untuk menghentikan sumpahan namun sampai sekarang dia masih belum menemui benda yang perlu dia musnahkan untuk menamatkan sumpahan itu.
Namun semua itu ada risiko. Hanya sang ibu yang boleh memecahkannya dan bukan orang lain. Setelah itu, kutukan itu akan berakhir namun satu perkara yang pasti sang ibu akan mati setelah memecahkan benda itu.
"Sebab Iman adalah anak pertama. Dalam keturunan kami, setiap kali kami ada anak pertama dan merupakan seorang perempuan, usianya tidaklah begitu panjang. Genap usianya 24 tahun di hari kelahirannya, gadis itu akan pergi buat selama-lamanya"jelas Puan Zalia yang mula bergelingan dengan air mata.
"Puan kenal dengan Encik Fuad?"soal Adly yang teringat akan hal yang diucapkan oleh Syafiq kepada dirinya dan juga Ameer.
Kali ini wajahnya bertukar suram mendengar nama itu disebut oleh Adly. Kerinduan mula muncul buat lelaki itu. Setelah sekian lama dia sekali lagi mendengar nama lelaki itu disebut. Kini, dia faham. Pasti antara orang yang datang pasti ada yang dihantar oleh lelaki itu untuk melindungi Iman.
Sejak dari kecil Fuad dipelihara oleh keluarga angkat yang berada. Jadi dia tidak dapat melihat Fuad membesar di hadapan matanya sendiri sebagai kakaknya. Memang agak sedih namun jelas itu semua untuk kebaikan Fuad.
"Macam mana keadaan dia sekarang?"soal Puan Zalia kepada Adly.
Adly tahu Puan Zalia akan bertanya tentang itu tetapi rasa serba salah untuk memberitahunya. Hal ini masih lagi belum selesai dan andai kata Puan Zalia tahu bahawa lelaki itu telah pergi mengadap Ilahi pasti perkara itu menjadi sebagai satu beban yang berat untuk Puan Zalia.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kampung Mati
HororSekumpulan pelajar telah ditugaskan untuk menjalankan kajian di sebuah kampung tertentu. Setiap ahli kumpulan ditentukan oleh pensyarah mereka. Hal itu menyebabkan mereka tidak dapat bergandingan dengan sahabat mereka. "Sekarang aku dah pilih kampun...