BAB 45: GELAP

59 5 0
                                    

MIMPI ALIF

Aku terjaga dalam bilik kecil yang gelap. Tangan dan kakiku terikat dengan pita. Mulut aku juga ditutup dengan pita. Mataku cuba membiasakan diri dengan kegelapan itu. Akhirnya aku dapat melihat keadaan bilik itu. Ia seperti sebuah bilik stor kerana terdapat beberapa kotak kayu juga disimpan di situ. Bilik itu bergoyang-goyang. Lalu aku sedar, rupanya aku berada di dalam sebuah kapal yang sedang belayar.

Plak!

Cahaya menerpa memasuki ruang stor itu. Seorang lelaki bertubuh tegap berdiri di pintu. Di belakangnya seorang perempuan berkulit putih. Perempuan itu melemparkan senyuman ke arahku.

"Buka ikatannya Sabri."

Lelaki yang disebut namanya Sabri itu membuka pita yang mengikat tanganku. Segera aku menarik pita yang menutup mulutku.

"Ibu! Tolong Alif ibu!"

Pang!

Kuat lelaki itu menampar mulutku.

"Sudah! Jangan pukul lagi. Aku tak mahu dia jadi cacat!" kata perempuan itu.

Aku renung tajam wajah perempuan itu.

"Damien . . . Aku Alison. Nenda kau. Jangan takut. Nenda cuma nak bawa kau balik ke Perancis. Nak masukkan kau ke sekolah yang bagus."

Baru aku tahu perempuan itu nenek aku, Alison, yang ibu pernah sebut. Aku tak mahu ikut Alison. Aku mahu ikut Ibu.

Lelaki bernama Sabri itu menolak kepalaku ke belakang. Kedua pipiku dipicit sehingg mulutku terbuka. Kemudian dia tuang sejenis cecair ke mulutku. Aku cuba meluahkankan air pahit itu. Tetapi tangan besarnya terus hinggap ke pipiku. Akibatnya hanya sebahagian sahaja dapat kuluahkan. Selebihnya aku tertelan juga.

Akhirnya wajah Alison dan lelaki bernama Sabri itu menjadi kabur dan hilang . . .

Gelap.

Tiba-tiba aku nampak cahaya. Terpancar wajah seorang perempuan Melayu. Tetapi dia bukan Ibu. Tubuhnya lebih tinggi daripada ibu.

Dia seorang perempuan Melayu yang punya sepasang mata yang sangat cantik! Dia memandangku dengan wajah hiba, sebelum berpaling.

Aku kenal dia. "Amani!"

Dia terus berjalan meninggalkan aku.

"Amani!"

*****

Alif tersentak. Dia mendapati dirinya masih berada di tempat yang gelap.

"Alif . . . Syukur! Kamu dah sedar." Dia terdengar suara ibunya. Maknanya dia sudah terjaga. Tetapi dia tidak nampak di mana ibunya. Malah, dia tidak nampak apa-apa pun.

"Ibu! Kenapa Alif duduk dalam gelap ini?"

"Sabar Alif. Ibu panggil doktor."

Alif raba matanya. Tiada apa yang mengganggu di situ.

Panik.

Kenapa aku tidak nampak apa-apa? Aku buta?

"Ibu! Alif butakah ibu?"

Alif terasa tangan lembut ibunya memegang lengannya. Dia abaikan dan terus bangun untuk turun dari katil. Tetapi dia tidak dapat berdiri. Langsung dia jatuh terduduk di atas lantai.

"Alif juga lumpuh ibu! Oh! Nooo!"

Alif menumbuk-numbuk lantai. Kehampaan, kesedihan, ketakutan bercampur baur.

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now