NEW BEGINNING
Pandangan Amani dilontarkan ke arah dua sosok tubuh yang kini berdiri di tepi tasik. Riak wajah mereka tidak kelihatan kerana menghadap tasik biru yang airnya mengalun lembut diulit sentuhan bayu pagi. Mereka bercakap dengan suara perlahan, umpama dua orang perisik yang sedang berkonspirasi.
Aku akan membina sebuah masjid dengan lelaki itu. Semoga kali ini ia kukuh, sekukuh Masjid Nabawi. Kali ini aku dapat restu dengan rela hati daripada Abah dan Emak serta Ibu Alif. Bukan rela paksa seperti ketika aku kahwin dengan Abrar dahulu.
Amani mengusap air matanya yang mendesak mahu menitis.
"Kak Amani cintakan Abang Alif, kan?" Suara Iman memotong fikirannya yang bertali arus.
Amani berpaling ke arah pemilik suara yang lunak itu. "Bagi akak, cinta itu keramat. Sangat kompleks. Jalannya bersimpang-siur. Natijahnya, ada baik, ada buruk. Pendeknya Kak Amani taknak lagi berfikir tentang cinta."
"Sorry, Iman buat akak sedih."
"Manusia, tua-muda ramai yang keliru pasal cinta. Tarikan individu disangka cinta."
Iman masih bertegas. "Tapi Kak Amani dah nak nikah dengan Abang Alif?"
"Kali ini akak nak kahwin sebab tanggungjawab. Akak tak mahu buat kesilapan macam dahulu. Masa tu akak kahwin demi cinta. Tapi, bila bunga cinta itu sudah pudar, apa jadi?"
Iman mengusap-usap perutnya. "Iman harap cinta Iman dan cinta Abang Zuhal tidak akan pudar."
"InsyaAllah. Abang Zuhal macam dinding yang kukuh. Dingin tapi teguh berdiri, melindungi penghuninya."
"Tapi . . . Kenapa Kak Amani tak jatuh cinta dengan Abang Zuhal?"
Amani ketawa mengekek. "Tak sempat kot? Masa Abang Zuhal pergi ke US, akak baru 13 tahun. Tak tahu apa-apa. Akak memang 'slow' bab cinta ni."
"Iman rasa macam ada 'crush' pada dia masa tu . . ."
"Oh please! Iman baru lapan tahun."
"Tapi masa tu Iman sangat suka dia. Macam obsess . . . Kemudian, satu rumah tipu Iman, masa tu. Konon dia cuma pergi study."
Amani senyum simpul. "Kalau dia tak pergi, agaknya belum SPM, Iman dah kahwin dengan dia. Sekarang anak dah berderet."
Mereka ketawa.
"Mommy nikah dengan Daddy masa usia dia baru masuk 16 tahun. Masa tu Daddy dua kali ganda usia Mommy."
"Ikut undang-undang di Malaysia pun perempuan Islam boleh kahwin dalam usia 16 tahun, dengan izin. Tapi kalau hubungan seks bawah 16 tahun, walaupun suka sama suka masih dikira rogol."
Terus fikiran Iman merentas waktu semasa usianya lapan tahun. Ketika itu dia tak tahu apa yang telah berlaku. Tetapi dia ingat Mak Su Eka tak pernah lagi senyum selepas satu kejadian.
Hanya apabila dewasa baru dia tahu. Kes Mak Su Eka tidak pernah dibicarakan. Dia diberitahu abang-abang 'angkatnya' selesaikan mengikut undang-undang rimba. Kerana itu Abang Zuhal kesayangannya dan Abang Danny terpaksa pergi demi keselamatan mereka.
Iman membuang pandangan ke arah Zuhal. "Banyak perkara terjadi masa Iman kecil."
Amani turut menyusuri pandangan Iman, sebelum kembali kepada perempuan yang lima tahun lebih muda daripadanya itu. "Mujur Iman diserahkan pada Abang Zuhal, bukan penyangak."
"Allah melindungi Iman."
Amani mengangguk. "Ya . . . Taman itu memang tempat Abang Zuhal berlatih seni pertahanan diri dia."
YOU ARE READING
DEWI JERUNG
ActionBLURB Dua insan terjebak di dalam dunia JERUNG. Dalam pertarungan antara para JERUNG, Amani Kaisara Ikhwan bukan pendamai. Dia pencetus gelanggang konfliknya. Yang menang bergaya semakin kaya. Yang kalah melutut minta nyawa. Muncul Alif Perwira Nad...