BAB 12: TENANG YANG HILANG

101 11 7
                                    

ABRAR

Face it Amani! Don't let anyone spoil your holiday!

Esoknya, Amani turun sarapan agak lewat. Sengaja dia lewatkan kerana mahu semua tetamu hotel sarapan dahulu. Lebih-lebih lagi, dia tidak mahu bertembung dengan Abrar - dan teman wanita yang tidak diakuinya. Panggilan telefon Abrar pada malam tadi ibarat sebuah ketenangan yang hilang.  

Amani mengambil bubur nasi, kopi dan duduk di penjuru cafe. Tiba-tiba sebuah piring berisi omelette cheese diletakkan di hadapannya. Amani mendongak.

"Abang Abrar?"

Dia senyum. Abrar sedikit berisi. Tidak lagi kurus seperti di zaman universiti dan ketika mereka masih bersama. Berisi - bukan tembam. Agaknya sekarang dia sudah senang, fikir Amani.

Abrar mengambil tempat di hadapannya. Amani mahu pindah tempat duduk. Tetapi dia tahu kalau dia berbuat begitu, dia akan memalukan Abrar. Dia tetap lelaki yang pernah dicintainya setengah mati satu ketika dahulu. Dia tetap bekas suaminya.

"Mana girlfriend abang?"

"Amani, abang kan dah bagi tahu, dia bukan girlfriend abang."

"Okey . . . Dia adik tiri abang kot?" sindir Amani.

Abrar mengeluh. "Dia anak pemaju."

"Abang bukan duduk dalam Kementerian Pertahanan yang ada banyak projek."

"What are you insinuating Amani?"

'Tak ada apa-apa."

"Abang tak akan rasuah. Tak akan ambil duit haram," tegasnya.

"Baguslah kalau abang masih berpendirian begitu. Jangan bagi makan anak bini duit haram."

"Amani, abang jumpa Amani bukan nak cakap pasal kerja."

Sungguh. Perpisahan mereka adalah kerana kerja. "Jangan cakap apa-apa hal kita. Amani tak minat."

Abrar mengeluh lagi. "Abang tak patut dengar hasutan Kak Ruby."

Kak Ruby, kakak Abrar yang sejak awal tidak setuju Abrar berkahwin dengan Amani. Status tidak sama. Amani cuma anak angkat tukang masak. Inilah pertama kali Abrar mengaku dia terpengaruh dengan hasutan Kak Ruby, kononnya Amani sengaja menggugurkan bayinya.

"Dua tahun ini abang banyak berfikir . . . Abang dah buat salah pada Amani."

"Apa pun salah abang, Amani dah maafkan. Kita tak ada hubungan lagi."

Seorang pelayan bertanyakan sama ada mereka mahu tambah kopi.

"No!" ujar Amani.

"Yes." tegas Abrar.

Nampaknya Abrar masih mahu meneruskan 'rundingan'. Amani renung omelette di hadapannya. Selalunya dia amat gemar omelette cheese. Tetapi kali ini makanan itu dirasanya tawar.

"Amani sudah ada orang lain?" soal Abrar.

Amani geleng.

"Lelaki 'Mat Salleh' itu?" sambung Abrar.

Amani angkat muka. Mana dia tahu tentang Alif? Kecuali Alif sendiri yang memberitahunya.

"Let the best man wins. You're mine," kata Abrar.

Terkejut Amani. Tidak pernah Abrar mengeluarkan kata-kata yang begitu keras. Dia seorang gentleman. Tutur katanya lemah lembut. Maklumlah, dia Setiausaha Kerajaan yang mengendali hubungan dua hala dengan negara asing. 

"Abang akan ditempatkan di sini, di dalam Kementerian," kata Abrar setelah melihat Amani mendiamkan diri.

Patutkah aku kembali kepadanya? Inikah jalan keluar untuk aku supaya tidak diganggu Alif lagi? Bagaimana kalau Kak Ruby pula yang terus mengganggu?

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now