BAB 15: BYE ALIF

85 11 2
                                    

SATU AMARAN

Alif perhati Amani turun dari kereta e-panggilan.

Dia tak naik kereta sendiri. Bijak. Lagi mudah kerja aku, fikir Alif.

Kali ini mereka bertemu di lokasi yang Amani pilih. Ia tempat makan di kawasan terbuka dan terdapat banyak gerai. Suasananya hiruk pikuk, dengan karenah orang ramai - dewasa dan kanak-kanak. Alif memang tidak biasa dan tidak selesa dengan ruang makan seperti itu. Dia fikir, mungkin Amani sengaja menduganya.

Alif hantar mesej gambar gerai untuk menunjukkan lokasinya. Amani dilihatnya menjeling telefon bimbitnya dan terus menuju ke arahnya. Beberapa pasang mata lelaki menyorot langkah Amani. Alif terasa kesakitan di hujung hatinya.

Amani memakai hijab. Tidak lagi kelihatan rambut panjangnya. Tetapi lelaki-lelaki mata keranjang itu seolah-olah melihat Amani tidak memakai apa-apa. Teringin Alif cungkil biji mata mereka seorang demi seorang.

Alif tarik kerusi yang dekat dengan dia, 90 darjah. Seorang pelayan lelaki menghampiri mereka.

"Abang nak order dah?" soal pelayan itu dengan ramah.

Ada sekeping kertas saiz A4 berlaminat, agak lusuh di atas meja.

"Sotong kangkung di sini sedap. Awak nak cuba?" soal Amani.

Alif geleng kepala.

"Terbaik bang," kata pelayan itu mempromosi jualan gerai itu.

Amani perasan wajah Alif tidak gembira."Nasi goreng okey?"

"Bolehlah," jawab Alif, tanpa riak teruja.

Amani pesan sepiring sotong kangkung dan nasi goreng cina untuk Alif. 

"Tak mahu carrot," kata Amani.

Alif senyum kerana Amani ingat dia tak suka lobak merah. Tetapi jelas senyuman itu hambar.

"Terima kasih kerana sudi datang," katanya.

Amani hairan kenapa Alif seperti berbudi bahasa, dan nampak sangat muram. Takkan diuji makan di gerai sudah gagal?

"Anything wrong Alif?"

Alif geleng.

"You look subdued."

Sekali lagi Alif senyum segaris. Dia bukan subdued. Dia boleh diibaratkan sebuah gunung berapi yang dalam keadaan tertutup dan nampak tidak aktif. Namun jauh di bawah permukaannya di dalam bumi, gas, abu, dan batu cair yang panas sedang menjolok-jolok untuk memuntahkan lahar.

Alif merasa dirinya semakin hampir ke arah satu aturcara kemusnahan. Cuma dia tidak tahu kemusnahan apa.

"Taknak komen ke? Amani pakai hijab?"

Kata-kata Amani membawa Alif kembali dari Gunung Pelée yang pernah meletus dan membunuh 30,000 penduduk pulau Martinique, tanah jajahan Perancis itu.

"You look beautiful, pakai apa pun," jawabnya dengan senyuman yang jelas tidak sampai ke matanya.

Sah. Dia memang ada masalah, fikir Amani.

Makanan pun tiba.

Amani terus terjah sotong kangkungnya. Bagaimanapun dia toleh juga ke arah Alif yang dilihat bermain-main dengan nasi gorengnya. "Kenapa? Tak sedap ke?"

Alif geleng kepala. Baginya, ini bukan masa untuk eksperimen tekak Perancisnya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, kerana terasa ada sesuatu yang tidak kena dengan suasana hiruk pikuk medan selera itu.

"Amani, lepas ini boleh tak awak ikut saya pergi ke tempat yang agak tertutup. Saya nak cakap dengan awak."

"Cakap sajalah di sini."

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now