SAIF
Lepas makan Alif masuk semula ke bilik Amani untuk mengambil barang-barangnya yang semalam dikeluarkan dari motorsikalnya. Dia mahu menggodek-godek motorsikal untuk melihat apa masalahnya sehingga ia mogok. Tetapi langkahnya terhenti apabila mendengar suara Amilah dan Subhi sedang bercakap-cakap di luar.
"Kamu basuh pakaian budak tu Milah. Entah-entah rosak." Kedengaran suara Sadik.
"Isy! Idakle Milah basuh jeket kulit ni. Tadi Saif guna bahan apa entah, yang dia selalu guna untuk jaket dia, bagi hilang bau.
"Bau?" soal Alif kepada dirinya.
Alif teringat kelmarin, ketika tin berisi air setan itu tercampak, kerana tangannya terkena bola yang dibaling oleh kanak-kanak yang sedang bermain, ia terpercik ke atas jaketnya.
Alif tepuk dahi.
Kenapa aku tak bau?
Hidung kau tersumbat sebab kau pun telan air setan itu semalam, marah otaknya.
"Hmm . . . Elok le budak tu pergi masjid. Mudah-mudahan dapat hidayah, buang tabiat buruk dia," kata Sadik.
"Kita doakan yang baik-baik saja bang. Muka dah cantik. Gaya hidup kenalah cantik juga."
Kata-kata kedua suami isteri itu membuat Alif terduduk di atas katil.
Jatuh markah dia beberapa gred.
Walaupun dia casual drinker, bukan heavy drinker, tetapi tetap dia teguk air setan itu sekali-sekala. Hampir semua kawan-kawannya peminum arak. Brandy satu pengecualian. Dia serik setelah mendapat aib kerana mabuk teruk pertama kali mencubanya.
Sudah tentu ibu bapa Amani takkan terima peminum arak, fikir Alif.
Alif lihat dompetnya terletak di atas meja kecil di tepi katil itu. Dia buka lacinya. Sepucuk pistol Beretta APX A1 Carry masih berada di situ dalam sarungnya. Mujur malam tadi ia dikeluarkan dari tali pinggangnya dan disimpan di dalam laci. Kalau ditemui Amilah, tentu mereka ingat dia gangster.
Alif buat muka selamba dan keluar dari bilik menuju ke motorsikalnya.
Dia hidupkan enjin. Ia berbunyi dengan cantik seperti tiada masalah langsung.
"Kenapa dengan bike abang?" Kedengaran suara seseorang menegur.
Dia menoleh. Dilihatnya Saif berjalan dari sebuah rumah papan ke arahnya. Agaknya itu rumah sebelah yang disebut Nurul Ain tadi, fikirnya.
"Malam tadi macam tak ada power. Tapi sekarang macam okey pula."
Saif mencangkung untuk melihat enjin motorsikal itu.
"Kau tau pasal BMW bike?" soalnya, tatkala memerhati Saif yang begitu khusyuk menyentuh gajet-gajet pada motorsikalnya.
"Saya kerja kat syarikat jual BMW bike masa belajar di luar negara," jawab Saif tanpa mengangkat muka.
"Kau belajar di mana?"
"Jerman."
"Sekarang kerja di mana?"
"Kait anggur."
"Aik? Kelulusan Jerman tak ada kerja?"
Saif mengangkat muka. "Tiap kali saya minta kerja, dikata saya over-qualified."
"Bidang apa?"
"Aeronautical engineering."
"Patut le kau menganggur. Malaysia tak buat kapal terbang."
YOU ARE READING
DEWI JERUNG
ActionBLURB Dua insan terjebak di dalam dunia JERUNG. Dalam pertarungan antara para JERUNG, Amani Kaisara Ikhwan bukan pendamai. Dia pencetus gelanggang konfliknya. Yang menang bergaya semakin kaya. Yang kalah melutut minta nyawa. Muncul Alif Perwira Nad...