SELAMAT SEKETIKA
ROSTAC, cermin mata Alif dapat membaca laporan boya pengesan cuaca dan arus, yang ditempatkan di laut oleh beberapa negara berdekatan Laut Andaman dan Selat Melaka. Dengan itu Alif mampu mengelak daripada bertembung dengan ekor ribut dan berjaya belayar dengan tenang.
Dalam cuaca mendung, ketika mentari sudah senget ke sebelah barat, kapal Megat Huzir berlabuh dengan selamat. Alif, Megat Huzir, serta semua anak kapal diangkut ke ASHRA untuk mendapat rawatan segera.
Ruslan ditinggalkan di ASHRA untuk menguruskan perihal rawatan Megat Huzir dan anak-anak kapalnya. Semua atas pembiayaan Alif kerana mereka tidak mampu menanggung kos rawatan di hospital swasta yang mewah. Sementara itu, Zuhal, Azem dan Alif bergegas ke pejabat SNAP ASIA kerana masih ada urusan yang menuntut untuk segera dibereskan.
Sebelum itu Zuhal mendapat mesej daripada Akbar yang sangat membimbangkannya.
Misi menyelamat SNAP telah mendedahkan Alif kepada kumpulan Paparazzi yang sedia menjual hasil kerja mereka kepada sesiapa sahaja yang setuju membayar dengan harga yang tinggi.
Bagi SNAP, hubungan Megat Huzir dengan keluarga Sadik menjadi risiko besar yang perlu ditangani segera. Kerja Megat Huzir yang memerlukan dia sering berada di laut lepas turut terdedah kepada bahaya kumpulan lanun yang mungkin diupah oleh The Black Dragon untuk menjadikannya tebusan.
Namun Megat Huzir yang sentiasa ceria itu berkata begitulah asam garam kehidupan seorang nelayan. Dia bertawakal kepada Allah SWT. Nelayan Indonesia, Thailand, Burma, Sri Lanka dan India serta dirinya punya jaringan kerjasama yang unik.
KEJAR PAPARAZZI
Di pejabat SNAP ASIA kumpulan Zuhal meneliti maklumat beberapa paparazzi daripada pelbagai akhbar luar negara. Mereka mendapati bukan hanya akhbar The Paparazzi yang obses dengan Alif.
Status Alif sebagai salah seorang daripada cicit bilioner Indonesia dan persaudaraannya dengan Danny, waris tunggal empayar Jerung, SLY, menjadikannya lebih menarik untuk dijadikan topik bagi melariskan jualan tabloid mereka.
Dalam laporan mereka turut dimasukkan naratif tentang isteri Alif, dengan ditokok tambah agar sedap dibaca. Amani dipaparkan sebagai seorang penganalisis pasaran saham yang terkenal dengan jolokan Dewi Jerung. Amani mengurus dana milik Alif, setelah cubaan menjatuhkan PT ANSARI LESTARI gagal. Perkahwinan Alif dengan Amani dispekulasi sebagai diatur keluarga kerana perniagaan, bukan 'cinta'.
Semua maklumat itu telah ditularkan oleh tabloid di luar negara, bukan hanya dalam gosip selebriti, malah diceritakan juga dalam portal perniagaan.
Alif tahu kandungan dalam beberapa tabloid luar negara itu menyentuh hati Amani yang tidak biasa dengan kehidupan golongan selebriti. Dia kesal kerana tidak berada di samping Amani pada saat gosip paparazzi itu tular.
Zuhal mengutuk dirinya sendiri.
Dia terlalu sibuk mengembangkan syarikatnya, sehingga mengabaikan kebajikan orang di sekeliling yang disayanginya. Kali ini tidak lagi."We've to stop The Black Dragon from exploiting the paparazzi news, at all costs."
"Dia orang akan checkout hari ini untuk jumpa seseorang." Akbar kongsi maklumat yang baru diterimanya.
"Siapa?" soal Zuhal.
"M05," jawab Jonathan yang baru masuk, sambil menutup pintu.
"M05 itu Peguam Kanan yang makan keliling," sambung Akbar.
"That's why I'm questioning why you guys never put these people behind bars, since you know them," Alif yang dari tadi mendiamkan diri mencelah.
"Menjadi peguam, waima untuk penjenayah, bukan satu kesalahan," balas Akbar.
YOU ARE READING
DEWI JERUNG
ActionBLURB Dua insan terjebak di dalam dunia JERUNG. Dalam pertarungan antara para JERUNG, Amani Kaisara Ikhwan bukan pendamai. Dia pencetus gelanggang konfliknya. Yang menang bergaya semakin kaya. Yang kalah melutut minta nyawa. Muncul Alif Perwira Nad...