BAB 59: CAHAYA BAHARU

199 5 0
                                    

BUKAN MIMPI

Belanda. Sebuah negara yang terkenal dengan kincir angin dan  novel sejarah The Black Tulip karya Alexandre Dumas

Aku baca buku itu bukan kerana aku minat sastera. Tetapi aku mahu belajar sesuatu daripadanya. Kerana aku tidak belajar apa pun daripada orang-orang yang bagi aku makan sehingga aku dewasa.

Termasuk 'dia'.

Aku nampak dia berdiri di bawah pohon ceri berlatarbelakangkan taman tulip yang indah berwarna warni - amat ceria dan amat berlawanan dengan wajah kejungnya.

Kakiku melangkah ke arah lelaki itu.

Tanpa bertanya khabar, dia terus menyergah, "Apa maklumat yang kau dapat?"

Aku serahkan kotak kecil yang mengandungi 3 keping kad memori SD.

"Semua maklumat tentang Ikhwan ada di sini?" Dia seolah-olah tidak percaya kepada aku.

Geram aku. Lalu aku mengangguk sahaja, tanpa kata.

Ya. Hampir semuanya. Tapi tidak semuanya. Wajah subjek yang dia mahu aku intip di dalam bilik pejabatnya aku simpan, untuk jamuan mata aku sendiri.

Dia membolak-balik kotak itu. "Ingat! Kau capai kejayaan hari ini kerana aku."

Sungguh angkuh! Aku tak balas dakwaannya. Dia senyum senget sekilas sebelum berpaling pergi.

Ketika itu juga seorang perempuan muda menghampiri aku. Perempuan Melayu. Perempuan paling cantik berbanding ratusan yang pernah aku lihat sebelum ini. Perempuan yang imejnya dalam kad SD yang aku pegang, sedang menyalin pakaian dalam bilik pejabatnya.

Dia mengusap dan mencium pipiku bagai kelembutan bayu.

"Sleep well, my King," bisiknya sebelum bergerak meninggalkan aku.

Aku mendengar diriku turut berbisik. "Amani, I love you . . . Please don't leave me."

Dia menoleh seketika ke arahku sebelum melangkah pergi. Aku mengejarnya. Tetapi dia semakin jauh! 

Aku menjerit, "Amani!"

*****

Alif tersentak. Keliru.

Di mana aku?

Tangannya menyentuh sofa tempat dia terbaring, berwarna kelabu.

Sekejap! Aku buta. Tapi kenapa mata aku nampak warna sofa ni?

Alif pejamkan matanya, kira satu hingga tiga dan buka semula. Dia nampak siling yang putih cerah dan dinding biru muda bilik itu.

Sungguh! Dia bukan lagi berdiri di sebuah taman bunga tulip di negeri Belanda.

Wajah diraup berkali-kali. "Alhamdulillah. Oui je peux voir." (Ya, aku boleh melihat).

Matanya menyorot ke segenap ruang bilik dan mendarat di atas sosok seorang perempuan yang sedang tidur. Sebentar tadi, perempuan pemilik kuasa superego itu berjaya menyelinap ke dalam minda tidak sedarnya dan menghalau Id daripada terus menjalankan kerja jahatnya. 

Dia milik aku. Takkan aku nak lepaskan dia untuk orang tua tu?

Wajah isteri yang kelihatan pucat dan sedikit cengkung, direnung dengan perasaan cinta bersalut hiba.

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now