BAB 53: BUNUH SAKSI

56 6 2
                                    

SOAL-SIASAT

Pap!

Beberapa keping gambar diletakkan dengan kasar di atas meja. Terkebil-kebil mata Abrar melihat gambarnya dengan Timbalan Menteri Luar Dato' Sharif Din bersama beberapa orang ahli perniagaan asing.

"Cakap! Siapa semua malaun ni!" Suara Zuhal tidak menjerkah. Hanya mendesis di celah bibirnya sahaja.

Abrar cuba tunjuk wajah berani, walaupun dia amat takut melihat wajah lelaki-lelaki di hadapannya. Hanya Zuhal dan Danny yang dia kenal. Lelaki Mat Salleh itu dia tahu Azem. Pernah dia diberitahu oleh kontaknya di Perancis, Azem, bekas pegawai polis negara Kesatuan Eropah, amat kejam kepada musuhnya. Penumbuknya kalau kena di muka, boleh pecah tulang pipi. Seorang lagi berjanggut lebat seperti Taliban. Dia tak kenal.

Tadi matanya ditutup dengan selubung kain oleh Zuhal. Dia terus tidak sedarkan diri dan terjaga di sebuah bilik kosong. Entah di mana dirinya dia tak tahu.

"Ahli perniagaan," jawabnya. "Dato' Sharif minta jumpa. Saya cuma atur perjumpaan itu. Ia sebahagian daripada kerja saya."

Zuhal geram. Dia sudah gali wajah-wajah itu dalam data SNAP, tetapi gagal. Mereka bukan ahli perniagaan. Mungkin dapat perlindungan penguat kuasa atau ahli politik yang korup di negara mereka. "Aku tak peduli apa kerja kau. Aku cuma nak tahu! Siapa orang-orang tu?"

Belum sempat dia menjawab, Danny sudah menekan kepalanya ke meja. "Diorang ahli Mafia Timur Jauh kan?"

Abrar pernah syak mereka bukan ahli perniagaan. Sekurang-kurangnya mereka bukan ahli perniagaan biasa. Tetapi dia tidak boleh mengaku. "Dato' Sharif kata orang-orang tu ahli perniagaan."

"He lied! He used you!" bentak Zuhal.

Abrar terdiam. Dia hanya tahu setelah Dato' Sharif ditangkap. Itu pun setelah diberitahu oleh peguam bela yang mahu dia jadi saksi. Dia terasa bodoh kerana dipergunakan oleh Dato' Sharif. "Sumpah. Saya cuma jalankan tugas."

Danny senyum yang dibuat-buat untuk tujuan mengugut. "Sekejap lagi orang SIU akan datang dan angkut kau sekali."

Abrar tahu apa itu SIU dan kerja mereka. Teknik soal siasat mereka tidak pernah dipertikaikan. "Tapi saya tak tahu apa-apa. Saya cuma jalankan tugas. Tanya Alif. Dia lagi tahu."

Kata-kata Abrar itu buat Danny semakin berang. Semakin kuat kepala Abrar ditekan di meja kaca yang keras itu. "Apa kaitan dengan Alif? Apa yang kau tahu tentang Alif?"

"Dia kenal baik Tan Sri Sabri. Malah seluruh hidupnya dibiayai Tan Sri Sabri."

Zuhal menghela nafas dengan kuat. Dia harus tahu apa maklumat tentang Alif dipegang Abrar. "Apa maksud kau?"

"Alif bekerja untuk Tan Sri Sabri . . . Saya kerja di Kementerian Luar Negara. Saya ada kawan di Perancis. Tentu saya tahu . . . Uhuk-uhuk!" Suara Abrar tersekat-sekat kerana terasa molikul oksigen semakin kurang memasuki paru-parunya.

Danny melepaskan cengkaman tangannya. "Okey. Kau nak libatkan Alif? Tak apa."

Sebaik sahaja tangan Danny tidak lagi mencengkam tengkuknya, Abrar menegakkan badannya. Leher diusap untuk menghilangkan kesakitan. Suasana sepi seketika. Tiba-tiba nyaring suara Danny memanggil seseorang.

"Jonathan!"

Seorang lelaki tinggi lampai, hidung sedikit bengkok memasuki ruang itu. Senyuman terlukis di bibirnya. Bukan senyuman ramah-tamah. Tetapi senyuman jahat yang menaikkan bulu roma Abrar. Dia tahu lelaki itu pegawai SIU.

"Jonathan. Kau boleh guna apa kaedah untuk dapatkan maklumat daripada malaun ni," kata Danny.

"Hey . . . Saya pegawai kerajaan." Abrar cuba menjerit. Tapi suaranya keluar seperti bunyi katak sahaja.

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now