ANAK
Sadik mendongak merenung buah rambutannya yang sudah membesar. Dia mengeluh beberapa kali. Lepas itu dia kembali duduk di dangaunya.
"Milah tengok abang beberapa kali mengeluh. Duduk, berdiri, duduk balik . . . Kenapa?" tegur isterinya yang baru siap menjemur kain.
"Buah rambutan kita tu . . ."
"Dah kenapa buah rambutan tu?"
"Lebat sungguh buahnya tahun ini."
"Dah lebat buahnya kenapa abang mengeluh? Patut bersyukur le."
Sadik membuka kopiah yang dipakainya. Dia garu-garu kepala. Dipakai semula kopiah itu. Itulah perangainya bila gelisah sejak muda lagi. "Awak ingat anak kita tu balik ke tidak?"
Amilah duduk di sebelah suaminya. "Isy! Apa kaitannya buah rambutan lebat dengan anak kita balik atau tidak?"
"Selalu kalau musim buah dia balik."
"Abang ni mesti tengah terkenangkan bekas menantu kita tu kan?" Amilah meneka. "Sudah le bang. Dah jodoh dia setakat itu saja. Apa kita boleh buat?"
"Eh, tidaklah . . . Abang terkenangkan Amani. Macam mana hidup dia seorang diri di tengah bandar raya tu."
Amilah senyum. "Abang. Dah dua tahun dia hidup sendiri."
"Betul. Tak ke dia teringin nak berpasangan semula? Rasanya anak kita tu tidak buruk rupanya. Ramai yang nakkan dia."
"Abang ni . . . Jodoh, ajal dan maut di tangan Tuhan. Tak ada kaitan dengan cantik atau huduh."
"Kamu ni pandai juga berbasa-basi ye Milah."
"Eh . . . Walaupun Milah ni sekolah sampai tingkatan tiga sahaja, tidak bermakna Milah ni bodoh. Cuma tak ada peluang saja."
"Betul. Masa tu nak pergi sekolah punya le siksa. Kena naik sampan, berulang-alik. Bila sekolah petang, pukul sepuluh pagi dah bertolak dari rumah. Dah Isyak baru sampai ke rumah. Letih sungguh."
"Syukur kita sekarang dah senang ye bang? Walaupun tak jadi jutawan macam Adnan, tapi kita tidak le melarat," jawab Amilah, sambil memicit-micit bahu suaminya.
"Budak-budak sekarang beruntung. Dah ada jalan raya. Tak macam zaman kita dahulu," katanya sambil matanya menyorot ke arah sebuah MPV yang memasuki halaman rumah mereka.
MPV itu berhenti di bawah pokok. Dua orang kanak-kanak melompat keluar dari MPV itu.
"Atok! Opah!" Mereka menjerit serentak.
"Lambat sungguh kamu balik Along. Mak dah risau," tegur Amilah kepada lelaki yang memandu MPV itu.
"Lambat balik abah, emak. Cikgu panggil ibu bapa sebab nak cerita prestasi budak-budak. Lepas seorang, seorang," kata Subhi a.k.a. Along, bapa kepada dua orang kanak-kanak itu. "Terpaksa along datang semula lepas solat Jumaat."
"Nah!" Kata Adam, anak yang tua berusia 10 tahun, menghulurkan kad penilaiannya kepada Sadik. "Adam dapat nombor tiga."
"Eh, kenapa tak dapat nombor satu?" soal Amilah.
"Abang lemah Bahasa Inggeris!" jawab adiknya Nurul Ain, yang baru tahun pertama.
"Pandai saja le kamu." Adam menafikan.
Sadik merenung kad itu. "Memang markah kamu dalam Bahasa Inggeris lemah. Kamu kena baca banyak buku Bahasa Inggeris. Bukan asyik main game sahaja."
"Main game boleh cerdaskan otak," balas Adam. Terus kepalanya disekeh oleh bapanya sendiri. Dia menggosok-gosok kepalanya sambil tersengih.
"Sudah. Mari masuk. Makan." Ibu mereka, Sakinah memanggil dari pintu rumah.
YOU ARE READING
DEWI JERUNG
AcţiuneBLURB Dua insan terjebak di dalam dunia JERUNG. Dalam pertarungan antara para JERUNG, Amani Kaisara Ikhwan bukan pendamai. Dia pencetus gelanggang konfliknya. Yang menang bergaya semakin kaya. Yang kalah melutut minta nyawa. Muncul Alif Perwira Nad...