BIMBANG
Tan Sri Adnan duduk di kerusi malas dengan mata tertutup sambil memicit-micit dahinya. Pendedahan Akbar buat kepalanya sakit memikirkan apa yang harus dilakukannya. Kali ini dia buntu.
Dia sudah berjanji dengan arwah Ummu Fatonah untuk menjaga waris Johnson, jika ada. Itu pesanan ibunya, Ning Rahmahwati yang membawa wasiat bapa mereka, Radin Ansari . Kata arwah Ummu Fatonah, bapa saudaranya Johnson suka main judi dan menyebabkan terdapat beberapa keping tanah mereka tergadai. Kerana itu semua geran tanah dan dokumen tentang aset mereka dipegangnya.
Tan Sri Adnan amat kasihan dengan Ummu Fathonah yang dalam usia amat muda terpaksa menanggung beban amanah ibu bapanya - apabila mereka pergi dengan tiba-tiba.
Dia menikahi Ummu Fathonah yang baru menginjak usia 19 tahun. Bagi gadis seusianya, mereka sedang merancang untuk membina kerjaya dengan mengikuti perbagai kursus di Institusi pengajian Tinggi. Tetapi Ummu Fathonah tidak memiliki kesempatan itu kerana dia harus melarikan diri daripada pemburu yang mahu membunuhnya.
Bukan Tan Sri Adnan mahu berpoligami. Tetapi itu sahajalah caranya untuk melindungi Ummu Fathonah.
Menerusi hubugan baik arwah bapanya, Dato' Muaz, Danny berjaya dibawa ke Malaysia apabila Ummu Fathinah meninggal dunia. Kebetulan, Puan Sri Mariah yang sakit meroyan akibat keguguran kali ketiga, menganggap Danny yang masih bayi itu anaknya.
Semuanya sudah menjadi sejarah keluarga itu.
Kini semua maklumat mengenai harta arwah Radin Ansari atau lebih dikenali sebagai Haji Ali (moyang Danny dan Alif) berada di tangan peguam Tan Sri Adnan. Yang mana milik Johnson, akan diserahkan kepada Alif. Milik Ummu Fatonah diberi kepada Danny. Semua itu mereka bincang dalam mesyuarat tadi. Kerana itulah waris Johnson perlu dicari, supaya semuanya nampak telus sebelum harta itu dapat dibahagi-bahagikan kepada Danny dan waris Johnson.
Tetapi apa yang didengarnya tentang Alif, di luar jangkaannya. Daripada risikan yang didapati Akbar, Alif mahu menghancurkan syarikatnya. Puncanya hanya Alif yang tahu. Mungkin juga Tan Sri Sabri dan nenek Alif, Alison Durand sudah menghasutnya.
"He's a professional hacker. He's dangerous."
Kata-kata Akbar itu masih tersimpan di cuping telinga Tan Sri Adnan.
Bagaimana aku nak jinakkan budak ini? soalnya di dalam hati. Aku senang saja kalau nak balas balik dan hancurkan dia. Tetapi dia satu-satu saudara Danny yang terdekat.
Tiba-tiba terasa satu tangan kecil meraba-raba mukanya. Dia membuka matanya. Zain tersengih.
"Atok sakit, sini?" soalnya, sambil jari-jari kecilnya memicit-micit dahi Tan Sri Adnan.
Tan Sri Adnan senyum. Mujur ada Zain sebagai penghibur hatinya.
Zain mencium dahi Tan Sri Adnan.
"Kiss," katanya.
Tan Sri Adnan mencium pipi Zain.
"Minum, papa," sapa Lila ambil meletakkan secawan teh lemon dengan madu, kegemaran Tan Sri Adnan.
Lila mengambil Zain dan didudukkan di atas ribanya. Tak sampai lima saat Zain turun dan berlari ke dapur dikejar pengasuhnya a.k.a nanny.
"Tadi Abang Danny kata dah jumpa saudara sebelah ibunya," kata Lila. "Abang Danny kata budak tu bermasalah."
"Betul. Dia diasuh neneknya yang dibayar Tan Sri Sabri," jawab Tan Sri Adnan.
"Jadi, papa nak buat macam mana?"
"Budak tu nampak minat pada Amani."
"Salahkah papa?"
"Bukan . . . Papa takut niat dia lain. Cuma nak perguna Amani untuk merosakkan SLY."
YOU ARE READING
DEWI JERUNG
AksiBLURB Dua insan terjebak di dalam dunia JERUNG. Dalam pertarungan antara para JERUNG, Amani Kaisara Ikhwan bukan pendamai. Dia pencetus gelanggang konfliknya. Yang menang bergaya semakin kaya. Yang kalah melutut minta nyawa. Muncul Alif Perwira Nad...