BAB 19: DUNIA ALIF

105 11 0
                                    

HARI KEDUA

Selepas sarapan, masing-masing bersiap untuk pergi berkayak ke pulau kecil di tengah tasik. Zainab yang teruja dengan kehidupan baharu anaknya, mengikut sekali bersama Tan Sri Adnan dan Puan Sri Mariah serta cucu mereka, Zain dan anak Cempaka, Nejla, menaiki bot yang dipandu Asri, bodyguard mereka. 

Pelik perangai orang kaya. Di rumah mereka ada kolam renang, tetapi mencari laguna di pulau di tengah tasik. Pulau kecil itu kini sudah dibeli oleh Puan Sri Mariah. Pengunjung pusat peranginan AMAN MARIAH boleh pergi berkelah dan mandi manda di laguna di situ tanpa bayaran, kecuali sewa kayak. Pusat Peranginan itu tiada kolam renang tetapi memiliki bilik sauna lelaki dan perempuan, selain sebuah gimnasium mini, serta tukang urut tradisional yang perlu ditempah.

Maknanya, pengunjung ada pilihan untuk menjalani pemuliharaan kesihatan tubuh badan.

Zuhal dan Iman sudah bersiap-siap untuk melihat bunga seroja yang menjadi sumber inspirasi Iman untuk berubah.

"Engkau tak ikut Alif?" soal Zuhal, tatkala melihat Alif relaks sahaja.

Alif menoleh ke arah Amani sebelum menjawab. "Tak Abang Zuhal. Amani tak ikut. Jadi saya stay di sini." 

Malam tadi Puan Sri Mariah sudah beri tazkirah, Zuhal dan Danny mesti dibahasakan 'Abang' kerana usia mereka lebih tua. Ini dapat merapatkan tali silaturrahim di antara saudara mara.

"Korang berdua masih ada banyak masa," kata Zuhal tanpa menjelaskan maksudnya. Kenyitan mata diberi kepada Amani, sebelum berlalu.

"Jom kita jalan-jalan ke taman. Saya nak cakap dengan awak," kata Alif setelah semuanya bertolak, mendayung kayak masing-masing.

Amani mahu balas, 'cakap di sini sahaja,' tetapi tak jadi. Dia pun sudah mendapat 'tazkirah' daripada Puan Sri Mariah secara peribadi supaya melayan Alif dengan baik. Nampaknya mereka belum berpuas hati dengan 'layanan' Amani selama ini. Bersungguh-sungguh keluarga itu mahu Alif kembali kepada mereka.

"Dia sahaja saudara Danny di sebelah arwah Fatonah." Begitulah antara hujah Puan Sri Mariah.

Tan Sri Adnan kaya harta, tetapi tidak kaya saudara-mara.

Mereka berjalan dengan senyap menuju ke taman mini Jepun berhampiran bangunan resort itu. Alif sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak memulakan ayat-ayatnya.

Takut.

Perasaan takut yang tidak pernah hadir dalam dirinya sejak dia menjadi dewasa.

Kata-kata Zainab sebelum bertolak ke pulau kecil itu menikam terus ke dalam jantungnya. Kata-kata seorang ibu yang dirinduinya selama ini.

"Tak baik ke sana sini bawa perempuan bukan mahram."

Ibunya tak tahu, dia bukan setakat 'bawa' perempuan. Malah sudah banyak kali 'terlanjur' dengan perempuan. Sudah tak boleh dikira dengan jari.

"Kalau Alif suka, ibu boleh pinangkan."

"Alif tak tahu entah dia suka ke tidak." 

"Tadi ibu tengok dia layan kamu dengan baik. Ibu suka dia. Keluarga dia pun, kata Kak Mariah, orang kampung yang sangat baik. Kuat agamanya."

Alif duduk di atas batu di tepi terusan air buatan manusia di taman itu. Amani masih berdiri. 

"Please sit down. Saya takut awak pengsan."

"Kenapa pula sampai pengsan?"

"Bila dengar apa saya cakap nanti."

Amani terus duduk. Sudahlah tengah period. Kalau betul-betul pengsan, malunya!

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now