BAB 16: KONTRAK MAUT

124 7 2
                                    

TAK BOLEH PUTUS

Zuhal melihat beberapa imej di telefon bimbitnya. Dua orang kelihatan terbaring di jalan raya. Motorsikal mereka kelihatan seperti selonggok besi buruk akibat bertembung dengan sebuah trak. Mengikut laporan dalam berita online itu, terjadi tembak-menembak sebelum itu dengan seorang lelaki dan perempuan. Kedua mereka melarikan diri dengan motorsikal berkuasa tinggi.

Perempuan yang disebut dalam berita itu kini sedang duduk di sebelahnya. Wajahnya cemberut sejak dibawa masuk oleh Ruslan. Zuhal senyum melihat wajah itu. Teringat di zaman kanak-kanak. Entah kenapa dia sangat melindungi Iman daripada disakat oleh Danny. Sebaliknya, dia  sangat suka mengusik Amani. Sementara Danny pula yang melindunginya. Selalunya usikan akan menjadi duel Taekwondo. Mak Teh atau Puan Sri Mariah sering terpaksa meleraikan mereka bila sudah berguling-guling di atas lantai atau di atas rumput. Mana-mana sahaja asalkan boleh bergelut. Sering kali juga Iman akan datang menolong Amani. Lalu Zuhal diserang oleh dua orang budak perempuan. Begitulah hari-hari di zaman kanak-kanak yang mereka lalui.

Dalam usik-mengusik itu, dialah yang mengajar Amani Taekwondo, sehingga mendapat tali pinggang hitam dan menang beberapa anugerah. Amani tidak mahu mengaku kalah dalam seni mempertahankan diri, walau bertarung dengan orang yang lebih besar saiznya.

Amani pukul Zuhal dengan beg tangannya kerana geram melihat senyumannya yang sukar dimengerti maknanya itu. Zuhal cuba menepis, sambil ketawa.

"Kamu tak boleh putus dengan dia," kata Tan Sri Adnan yang duduk di hadapan Amani. Sejak dari tadi hati tuanya tercuit melihat gelagat kedua 'anak-anak' angkatnya yang seperti budak-budak itu. Mendengar kata-kata Tan Sri Adnan, 'pertarungan' kecil itu serta-merta berakhir.

"Kenapa tak boleh pak long?" soal Amani. Dia letih melayan karenah Alif.

Tak bolehkah Alif jadi manusia normal? fikirnya.

"Akbar di LINE 2, papa," kata Danny yang dari tadi asyik memanggil Akbar. LINE 2 ialah Secured Video Conference (SVC) tempatan dengan SIU. Akbar sedang online.

Perhatian Tan Sri Adnan beralih ke arah skrin di hadapan Danny.

Mereka sebenarnya sedang berada di bilik rahsia di basement TERATAK MARIAH. Mereka masih menggunakan fasiliti bilik itu jika kes melibatkan urusan keluarga, bukan syarikat.

Wajah semua yang ada di situ turut dihadapkan ke arah skrin.

Selepas mukadimah bertanya khabar Akbar terus kepada laporannya mengenai insiden yang baru terjadi.

"Menurut maklumat, pembonceng telah ditembak. Kemungkinan motorsikal itu hilang kawalan ketika pembonceng terjatuh. Lalu ia melencong ke tengah jalan dan dilanggar oleh sebuah trak."

"Mati?" Tan Sri Adnan mahu pengesahan. Dia harap orang itu hidup.

"Mati ditembak dan dalam kemalangan itu," jawab Akbar. "Polis akan buat PC esok."

"Lokal atau warga asing?" soal Zuhal.

"Kedua-duanya warga asing. Masuk guna pas pelawat tapi overstay," jawab Akbar.

Kalau tak ada Tan Sri Adnan di situ, sudah tentu keluar maki hamun daripada mulut Danny.

"Kami tahu kamu tak boleh bocorkan maklumat polis. Tapi kamu boleh kongsi maklumat daripada SIU dengan kami kan?" soal Tan Sri Adnan.

Akbar mengangguk. "Dua orang yang mati itu ada tatu The Black Dragon.

"Maknanya diorang diarah oleh Zhou Weng?" soal Danny.

"Tak semestinya. Mungkin Tan Sri Sabri. Menurut risikan SIU, dia sudah berada di Malaysia."

"Nampaknya orang-orang Zhao Weng sudah ramai berkeliaran di negara ini." Tan Sri Adnan menyuarakan kebimbangannya.

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now