BAB 33: PERDAMAIAN

102 14 2
                                    

KEMAAFAN

 Amani sedikit keliru apabila bangun esok paginya.

Kenapa aku tidur dalam sleeping bag?

Tetapi setelah mata benar-benar dicelikkan, baru dia sedar dirinya berada di dalam pejabatnya. Telefon bimbit dicapai.

Argh! . . . Tak ada bateri rupanya.

Matanya terus mencerap angka-angka Roman pada jam di dinding pejabat.

Alamak! Subuh hampir habis.

Cepat-cepat dia membersihkan diri dan solat subuh. Lepas solat subuh baru mandi. Hanya ada pakaian kasual yang disimpan di pejabat itu. Sengaja dia simpan kerana dia sering berjogging bermula dari barisan kedai ke tasik tidak jauh dari situ.

Setelah mengemas diri seadanya, tanpa mekap, dia mahu segera balik. Mandi berendam air panas. Tetapi ketika membuka roller shutter penutup kedainya, dia nampak sepasang kasut but dan kaki. Sudah banyak kali dia melihat kasut but yang sama.

Alif.

Penutup kedai terus dibuka. Pemilik kasut but itu tersenyum manis dan melangkah masuk. Mereka berdiri berpandangan. Sama-sama kesipuan.

Detik itu terganggu apabila Alif meletakkan warmer bag berisi mangkuk tingkat yang dibawanya, di atas meja kopi di situ.

Ketika Alif berpaling, Amani perasan lebam di pipi dan dagunya

Melihat wajah Alif, Amani mahu menangis.

Dia mahu memeluk lelaki ini. Mahu menghilangkan parut luka semalam. Betul. Bukan dia tak pernah berpelukan dengan Abrar, walaupun belum ada surat nikah. Tetapi itu dulu. Di zaman jahiliahnya.

Tetapi dengan Alif?

Dia takut tidak dapat mengawal dirinya.

Melihat wajah Amani yang macam orang nak menangis Alif terus memeluknya. Bukan pelukan dari belakang yang mencengkam jurus Tempur Tanpa Senjata KRAV MAGA  yang pernah dipelajarinya. Tetapi pelukan kali ini lembut dan membelai penuh kasih sayang yang membuat Amani semakin mahu menangis. Muka dan tubuh Amani melekap di dada Alif, kerana sebelah tangannya berada di belakang tengkuk Amani dan sebelah di pinggang.

Amani tolak Alif dengan lembut, yang terus melepaskannya. Lantas Amani berpaling, membelakangkan Alif. Segumpal tisu di atas kaunter dicapai. Air mata disapu, dan hidung dihembus.

"If crying makes you feel better, just let go," pujuk Alif.

Sebenarnya Alif sudah biasa melihat situasi yang sedih, keliru dan kehilangan di kalangan mangsa peperangan pada sepanjang operatif sebagai ahli PMC. Mereka dilatih bagaimana menangani trauma mangsa perang.

"I'm okay now," kata Amani.

Sebenarnya dia jauh daripada okey.

Kali ini perempuan di hadapannya bukan mangsa perang berdarah. Sekadar seorang yang berperang di dalam hati sendiri. Sekali lagi Alif tarik Amani masuk ke dalam pelukannya. Amani terasa kucupan Alif di ubun-ubunnya, walaupun di balut dengan tudung.

"Ini tak boleh jadi," kata Alif. Hati berharap. "Kita kena kahwin cepat."

Segera Amani sedar di mana kedudukannya. Dia rungkai tangan kekar Alif. "Abang bawa apa tadi?"

Alif tahu Amani sedang cuba mengalih perhatian. Dia tahu Amani juga terkesan.

"Mak Teh buatkan sarapan," jawabnya. Kenapa suara aku lain?

Amani menyibukkan dirinya membancuh kopi. Aidil dan Nancy tiba sekejap lagi, jam 9.00 pagi.

Mereka bersarapan bersama-sama tanpa berkata-kata. Alif tak tahan dengan suasana yang serba kekok itu.

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now