BAB 3: THE STALKER

144 18 24
                                    

SUSHI

Amani memandu keretanya menuju ke pejabat. Dia tidak pulang ke rumah. Dia tidak membawa kerjanya ke rumah. Ini kerana di rumah Amani menjadi orang lain. Dia jadi blogger yang bercerita tentang hal ehwal ekonomi semasa. Dia sudah menjadi blogger ekonomi sejak mengambil mata pelajaran perdagangan di tingkatan empat lagi. Tan Sri Adnan menyedari kebolehan Amani menulis mengenai ekonomi dan perdagangan secara santai. Kerana itu Unit Modal Sosial SLY menjadi feeder kepada blog 'IKHWAN SPEAKS' miliknya.

Daripada cerita tentang penjualan kerepek pisang, kini blog Amani turut mengulas tentang produk IT terbaharu. Setiap bulan sejumlah wang akan masuk ke dalam akaun miliknya. Amaunnya bergantung kepada berapa banyak tulisan yang dia sempurnakan berdasarkan maklumat yang diberi oleh Unit Modal Sosial yang terletak di Bahagian Perhubungan Pelaburan SLY. Sebahagian daripada wang itulah yang dia beri kepada ibu bapanya di kampung. Dua abang dan dua kakaknya yang sekolah sehingga tingkatan lima tidak mampu membantu orang tuanya. Selebihnya dia simpan sehingga dapat membuka kedai 'Hiasan Dalaman' Kaisara Living (KARL) miliknya.

Perjalanan yang sejauh kira-kira 15 kilometer itu menjadi lambat kerana ada gangguan trafik. Sebuah lori terbalik di tengah jalan. Perutnya mula berkeroncong. Menyesal pula tidak menerima tawaran untuk makan di penthouse Zuhal tadi.

Akhirnya sampai juga dia di KARL. Tidak jauh dari kedainya ada restoran makanan segera. Amani tidak berapa suka pergi ke restoran itu, kerana masakannya yang berminyak. Tetapi apa nak buat. Dah bermacam-macam lagu bermain di perutnya. Bukan lagi keroncong. Beethoven, Mozart dan Kitaro pun ada.

Baru sahaja dia mahu melangkah menuju ke restoran itu, perjalanannya sudah dihalang.

Siapa lagi, kalau bukan Alif Perwira Nadim?

"Jom kita makan sushi," katanya sambil tersenyum manis, menampakkan sebaris gigi putih yang tersusun cantik. Mencerlung Amani merenung Alif yang difikirnya tak tahu malu itu.

"Di sini tak ada restoran sushi."

Sedikit pun Alif tidak tercuit dengan renungan tajam Amani. Dia mengeluarkan beg sushi yang tadi disembunyi di belakangnya.

"Jeng jeng jeng!"

Amani tercengang. Selain air kedondong asam boi, sushi merupaka kelemahan Amani kedua. Dia gemar makan sushi, walaupun pemergian Abrar ke Jepun menjadi punca keretakan rumah tangganya.

Alif tidak menunggu reaksi Amani seterusnya. Pantas dia menekan loceng untuk memasuki kedai Amani.

Nancy membuka pintu.

Laju langkah Alif menuju ke ruang tamu seperti sudah biasa. Ruang tamu itu tempat Amani berbincang dengan klien yang datang ke kedainya.

"Eh . . . Sushi! Sedapnya!" Nancy tunjuk muka seronok.

Amani mencemik. Dia tahu bila dia sudah kalah. Dua lawan satu. Dia toleh ke kiri ke kanan mencari seseorang.

"Marilah makan sama-sama. Sengaja saya beli lebih untuk empat orang," Alif menyapa ramah, seperti tahu ada seseorang yang dicari Amani.

"Aidil tak ada. Dia pergi ke Post Laju ambil stock," jelas Nancy.

Amani memandang kedua mereka dengan wajah cemberut. Dia percaya, Alif sudah tahu Aidil memang tidak ada. Takkan dia tidak nampak Aidil meninggalkan kedai itu yang terletak di barisan kedai-kedai yang terbuka, bukan di dalam kompleks membeli belah. Aidil bukan sahaja 'kerani pejabat' tetapi bodyguard yang Tan Sri Adnan tempatkan di situ untuk melindungi Amani. Tan Sri Adnan berasa bertanggung jawab melindungi Amani. Bukan kerana Amani pengusaha syarikat hiasan dalaman, KARL, tetapi blogger IKHWAN SPEAKS.

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now