PERSEDIAAN
Setiap bilik tetamu di ASHRA dilengkapi dengan jakuzi untuk dua orang. Penghuninya boleh memilih air apa yang ingin dijadikan mandian, sama ada air aromaterapi, air kombinasi silika dan sulfur (air hot spring truan) atau air panas biasa. Panggil sahaja pekerja untuk menyiapkannya. Amani memilih air silika dan sulfur kerana dia perlu mendetoksifikasi tubuhnya dengan segera. Air aromaterapi untuk tidur yang lena.
Amani tidak mahu tidur.
Dia mahu berdepan Alif, dengan emosi yang tenang. Alif baru dikenalinya. Apa tabiat sebenar lelaki itu belum terserlah.
Baru sahaja Amani mahu menyarung tudung, pintu biliknya diketuk.
"Amani, ini mak su - seorang."
Amani menarik nafas lega. Yang datang bukan Zainab atau Puan Sri Mariah. Cempaka yang berdiri di pintu mendepangkan kedua tangannya. Mereka terus berpelukan.
"Alhamdulillah, Amani selamat," kata Cempaka sambil mengusap-usap belakang Amani. "Azem dah cerita macam mana kamu jatuh ke dalam laut."
"Amani okey mak su. Pak su macam mana? Dia pun terjun ke dalam laut mencari Amani dengan Abang Zuhal di dalam gelap."
"Ah, dia dah biasa buat kerja macam tu. Sekarang dia terjun ke atas katil pulak, dengan Nejla. Hahaha."
Amani hanya tersenyum. Tak sangka Azem yang bertubuh sasa itu boleh menjadi seorang ayah dan suami mithali.
"Masa tu Amani dah pasrah. Kalau mati pun, matilah . . . Tiba-tiba Abang Zuhal dengan pak su muncul," jelas Amani setelah menceritakan semula apa yang dilaluinya.
Cempaka menyentuh rambut Amani yang dipotong pendek paras atas bahu sebelum pergi mengikut operasi RIP. "Berbaloi ke?"
Amani menyentuh rambutnya yang sudah jadi bob. "Rambut boleh panjang balik. Tapi Alif perlu pembelaan. Tak adil dia menerima musibah ini."
Cempaka mengangguk. "Amani nak ke mana ni? Dah cukup berehat ke?"
Amani tidak menjawab. Sudah tentu Cempaka tahu ke mana dia nak pergi. Pada masa yang sama, Amani sudah tidak sabar untuk mengetahui apa tujuan Cempaka datang ke biliknya. Cempaka menarik Amani untuk duduk di atas katil. Sedetik nafas keras dilepaskan.
"Amani kena bersedia."
Bersedia untuk apa?
"Alif sekarang bukan seperti dahulu lagi."
Sudah keluar tanduk ke?
"Mak su. Amani tahu dia buta. Tapi itu bukankah sementara?"
Cempaka mengeluh kecil. Dia sudah cuba memujuk Alif, tetapi gagal. "Mulanya mulut dia saja yang bising. Lepas itu dia mengamuk. Habis peralatan hospital bertaburan. Kini dia membisu. Selain doktor, dia hanya mahu Iskandar melayannya."
"Nanti Amani pujuk dia."
"Dia tak bagi Saif datang jumpa dia lagi. Brandy, kawan baiknya dia halau. Ibunya juga dia minta pergi . . . Dia tak mahu semua yang rapat dengannya melawatnya."
Amani faham. Alif pasti tidak mahu dikasihani oleh mereka yang menyayanginya. Bagaimana kalau aku pun dia halau?
"Tapi lebih membimbangkan, dia seperti hilang keyakinan diri. Dia sangat agresif," jelas Cempaka.
Amani tunduk. Hanya orang yang kehilangan pancaindera memahaminya. Amani sedar Alif menyimpan sifat agresif kerana pengalaman lepasnya. Sudah tentu pengalaman itu terpahat di dalam mindanya dan menjadikan hatinya keras dan kering.
YOU ARE READING
DEWI JERUNG
ActionBLURB Dua insan terjebak di dalam dunia JERUNG. Dalam pertarungan antara para JERUNG, Amani Kaisara Ikhwan bukan pendamai. Dia pencetus gelanggang konfliknya. Yang menang bergaya semakin kaya. Yang kalah melutut minta nyawa. Muncul Alif Perwira Nad...