BAB 1: PERKENALAN

253 26 23
                                    

Sesungguhnya sakit hati itu kita yang menciptanya;

Justeru, kita juga yang harus mencipta penamatnya.

NARATOR: AMANI

Namaku Amani Kaisara Ikhwan. Pemilik sebuah syarikat hiasan dalaman (KARL). Usiaku 29 tahun. Sudah dua tahun aku menjanda.

Ketika di kampus, bersama bekas suamiku Abrar, kami  digelar 'Perfect Couple', 'Most Beautiful Couple', 'Most Loving Couple' dan entah apa lagi gelaran. 

Aku dan dia berkahwin semasa kami di tahun akhir. Di sanalah bermula hilangnya gelaran itu.

Apabila pengajian kami tamat, aku bekerja di sebuah syarikat hiasan dalaman. Abrar pula bekerja sebagai pegawai tadbir dan diplomatik. Mulanya tiada masalah kerana dia bekerja di Putrajaya. Lepas setahun dia ditugaskan di Eropah. Sukanya dia.

Aku terpaksa berhenti kerja kerana mengikut dia. Aku gunakan kebolehanku melakar desain hiasan dalaman lalu menjual hasil lakaranku ke mana-mana syarikat dan majalah. 

Dua tahun kemudian, kami kembali ke tanah air. Aku mencari kerja dalam bidang yang sama. Sambil itu diam-diam aku kumpul duit kerana ingin membina syarikat sendiri.

Tiba-tiba dia kena tukar ke Jepun. Sekali lagi aku diminta berhenti. Kali ini aku enggan, kerana aku sudah mula mahu membuka syarikat sendiri.

Akhirnya dia pergi seorang diri.

Aku terbang ke Tokyo sebulan sekali.

Tetapi hubungan kami semakin hambar. Cinta jarak jauh amat sukar dipertahankan.

Akhirnya mahligai yang kami bina dalam usiaku 22 tahun, hancur berkecai dalam usia 27 tahun.

Kami berpisah secara baik. Tiada orang ketiga. Tiada masalah perebutan harta atau anak. Keluargaku dan keluarganya menerima hakikat kami sudah tidak serasi. Sekali sekala bila pulang bercuti, dia cari aku. Bawa hadiah. Itu sahaja.

Bohonglah kalau aku tidak ditimpa kemurungan dengan perpisahan ini. Tetapi, buat apa terus bersedih? Abrar dengan egonya, takkan mahu mengalah. Begitu juga aku, dengan egoku.

Kehidupan aku selesa. Tak kaya raya. Tapi selesa.

Tiba-tiba aku bertemu dia.

Alif Perwira Nadim. Umur 30 tahun. Seorang lelaki yang sempurna.

*****

Wajahnya mirip orang Eropah Selatan. Tinggi lampai. Rambutnya dipotong pendek,  berwarna cokelat. Anak mata warna hazel. Hidung mancungnya dipagar dengan bibir nipis dan lekuk di kedua pipinya.

Semuanya tentang dia sempurna daripada segi fisikalnya.

Macam mana aku jumpa Alif?

Sudah beberapa hari aku nampak seorang lelaki memakai hud mengekori aku. Cuak juga aku. Sebab selalu aku terpaksa pergi sendirian ke rumah klien untuk berunding tentang kos, lakaran dan sebagainya. Maklumlah syarikat kecil. Aku tak mampu menggaji ramai pekerja.

Mana tahu entah-entah stalker dari musuh syarikat milik Tan Sri Adnan yang tahu identiti kedua aku.

Hari itu aku sengaja memilih berjalan merentasi satu taman. Aku sengaja nak mengumpan dia. Aku sudah tahu dia akan mengekori aku. Sampai di tengah taman aku bersembunyi di sebalik pokok. Dia terpinga-pinga, macam mencari aku. Apa lagi, aku terajang dia sampai terjatuh. Aku memiliki tali pinggang hitam taekwondo. Lalu terbuka hudnya, dan terpampang wajahnya.

DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now