Bab 9

276 54 0
                                    

"K-Kau... kau ingat nama dia?"

Aku memandang Aiman dan Aira bersilih ganti dan mengangguk kecil. Perkara terakhir yang aku ingat sebelum aku pitam hanyalah nama itu. Nama yang pelik.

"Daen?" Aira bersuara. "Maksud akak, Abang Daen?"

"Abang Daen?" Aku memandang gadis itu.

Dia mengangguk laju. Jelas sekali dia mengenali jejaka yang menjadi kesatriaku hari ini.

"Abang Aiman dengan Abang Daen—" Belum sempat Aira menghabiskan ayatnya, Aiman menekup mulut adik perempuannya itu.

"Er..." Aiman merenungku sementara Aira meronta untuk dilepaskan.

Bukk!

"Aduh!" Aiman mengadu sakit, tunduk memegang kakinya yang dipijak sekuat hati oleh Aira. "Eii, budak ni!" Getus Aiman sambil merenung tajam adiknya yang sudah berlari meninggalkan kami berdua.

"Siapa Daen?"

Aiman bangun perlahan-lahan. Tindak-tanduknya semakin lama semakin mencurigakan. Tambahan lagi, dia seperti tak ingin saling bertatapan denganku. Sesuatu yang sering dia lakukan ketika hendak menyembunyikan sesuatu.

Aku berpeluk tubuh. Tak lekang dari memandangnya. Sementara dia tak mahu memecahkan rahsia, aku pula tak mahu membiarkan dia pergi tanpa memberitahuku siapa jejaka bernama pelik itu. Saling tak ingin mengalah.

"So?" Aku bersuara, menjongket sebelah kening.

Dia menjuihkan bibir. "Kawan."

Kawan? Kawan pun nak rahsiakan ke?

"Man."

"Hm?"

"Kau... tak bengkok... kan?"

"Isy, kau ni! Mulut tu elok sikit!" Dia menjelingku tajam.

"Dah kau yang suspicious sangat! Kata kawan, tapi bukan main berahsia lagi. Macam mana aku tak salah faham?"

Aiman meraup rambutnya. Kalau para peminat dia nampak, mahu tak gila. Aku pun tak faham kenapa perempuan suka sangat tengok lelaki main dengan rambut diorang. Pelik, pelik.

"Mana dia? Kawan kau, Daen."

"Dia—"

Tok, tok!

Ketukan pada pintu mencelah. Aku dan Aiman serentak menoleh ke arah pintu. Afiq yang sepatutnya sedang membawa pesawat menuju ke Chiang Mai kini berada di depan mata. Memerhatikan aku dan Aiman dengan penuh curiga.

"You buat apa kat sini?" Soalku, terkejut.

"Aku yang call dia." Jawab Aiman dingin. "Aku balik dulu." Sambungnya dan meninggalkan kami tanpa menoleh belakang.

Aku faham. Sukar untuk Aiman menerima kehadiran jejaka lain dalam hidupku. Bukan sebab ada perasaan yang terpendam, tapi sebab aku dan dia dah macam adik-beradik. Akan mengambil masa yang lama untuk dia menyesuaikan diri.

"Jiran you cakap you pengsan sebab terkena bola."

Oh. Benda keras tu bola ke?

"Flight you?"

Afiq melabuhkan punggung pada kerusi di samping katilku. Selimut dia tarik sehingga dadaku. Nafas panjang dia helakan.

"Macam mana I nak pergi Chiang Mai kalau tunang I ada kat hospital?" Balasnya perlahan.

Nada kerisauan yang sudah lama tak menyapa telinga membuatkan aku tersenyum. Sedikit sesal kerana dia terpaksa menarik diri dari kerjanya tetapi dalam masa yang sama, lega kerana dia memilihku berbanding kerja.

"Sakit ke?" Tanya Afiq.

Aku mengangguk.

"Bila I boleh keluar? Alah, benjol sikit je. Takkanlah kena duduk dalam hospital?"

Afiq tertawa kecil. "Memanglah benjol sikit je tapi tu kat luar. Tidur jelah sini malam ni. Apa-apa nanti, senang doktor nak pantau."

Aku tak suka duduk lama-lama dalam hospital tapi... aku suka bila Afiq ada.

"Hm. Okay." Aku mengangguk faham.

+

Pukul 8 pagi, Afiq tak lagi kelihatan. Dia sempat meninggalkan nota di atas meja bersebelahan katil, memberitahuku dia perlu menguruskan sesuatu dan akan kembali bersama sarapan pagi.

Alah, aku sakit benjol je. Rasanya kalau tak makan makanan tawar hospital, tak apa kut hehe.

Bosan terperuk di dalam bilik, aku meninggalkan katilku dan menyapa kakitangan hospital. Setelah satu demi satu menghilangkan diri untuk menjalankan amanah mereka dan jarum jam menghampiri pukul 9 pagi, aku mengheret kaki ke bilik.

Afiq tak ada. Aiman pun tak ada. Haih, aku bosanlah!

Langkahku terhenti. Pintu bilik wad aku ditempatkan dibuka dari dalam. Seorang jejaka melangkah keluar. Sangkaku Afiq tetapi...

"Awak ni..."

Aku berundur setapak. Dia merenungku, terbeliak. Tak menjangka kehadiranku di sini. Topeng muka hitam dia tarik ke atas. Memastikan wajahnya seratus peratus terlindung.

"A-Awak ni... s-siapa? A-Awak nak apa?" Aku berundur lagi, kecut perut.

"Aina!"

Aku menoleh ke belakang. "Aiman!" Aku berlari ke arahnya.

Apabila aku menoleh semula ke hadapan, lelaki stalker gila itu sudah melarikan diri. Nafas lega aku hembuskan. Mujurlah Aiman tiba tepat pada masanya.

"K-Kau nampakkan lelaki tadi tu?"

"Lelaki mana? Tak nampak pun." Balas Aiman.

Tipu. Aiman nampak dia.

Aku menjarakkan diri darinya. Berlari masuk ke dalam bilik di mana aku dikejutkan dengan timbunan hadiah di atas katil. Aku mencapai salah satu kotak dan menunjukkannya kepada Aiman.

"I got this yesterday and I left it at the parking lot!" Bentakku.

"So? Maybe... ada yang pulangkan—"

"Yeah. My stalker!"

Aiman menghembus nafas panjang. Frustrasi.

"Kau tak percaya cakap aku?"

"Bukan macam tu—"

"Out."

"Aina..."

Aku menolak hadiah di atas katil sampai jatuh semuanya ke lantai. Aku memanjat katil dan berbaring. Selimut aku tarik sehingga menyelubungi seluruh tubuh. Membelakangi Aiman yang masih tercegat di depan pintu.

Aiman mengeluh perlahan. "I'll come again later." Tuturnya perlahan dan beredar.

"Kau dengan Afiq sama je." 

Stalker-IshWhere stories live. Discover now