Keheningan di perpustakaan kampus hampir membunuhku. Untuk seseorang yang suka suasana riuh-rendah sepertiku, perpustakaan menjadi musuh utama. Duduk dalam perpustakaan pun sebab terpaksa.
Pustakawan di hadapanku menghentikan langkahnya. Dia menuding jari ke arah sebuah rak. Aku mengangguk faham dan membisik terima kasih. Dia meninggalkanku.
Buku-buku masakan terbentang di depan mata. Mungkin jumlahnya ada dalam seratus buah buku... mungkin lebih daripada itu.
Haih, siapa suruh janji nak buatkan kek tiap minggu?
Aku mencapai mana-mana buku berkenaan manisan. Daripada kek sehingga ke biskut raya, semuanya aku tarik dan angkut ke meja berdekatan. Memandangkan musim ujian jauh lagi, tak ramai yang datang berkunjung ke perpustakaan. Meja pun banyak yang kosong.
Baru saja melabuhkan punggung, telefonku bergetar. Ada pesanan ringkas daripada Aiman yang memberitahu dia tak dapat nak temankan aku petang ni sebab khidmatnya diperlukan di makmal.
Nampaknya aku kena tiru resepi ni seorang-seoranglah.
"Aina?"
Aku mendongak. Daenish berdiri di hadapanku. Seperti aku, dia juga kelihatan terkejut.
"Budak muzik pun kena baca buku ke?" Soalnya.
Kalaulah ni bukan perpustakaan, dah lama aku ketuk kepala dia.
Tanpa meminta izinku, Daenish menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Beg dan botol air dia letakkan ke atas meja. Menyelesakan diri sendiri meskipun kehadirannya tak diundang.
Dia mengambil sebuah buku masakan '1001 Resepi Kek' lalu dibelek. Keningnya terangkat. Bertambah bingung.
"Awak nak tukar course ke?"
Aku menarik buku itu dari tangannya. "Saya nak belajar buat kek."
"Oh..." Dia mengangguk faham.
Mungkin kerana melihatku begitu fokus membelek satu demi satu mukasurat buku masakan di depan mata, dia memutuskan tidak menggangguku dan membuat hal sendiri. Sekejap-sekejap, aku mencuri pandang ke arahnya.
Waktu perkenalan kami cukup singkat tapi sepanjang waktu itu, aku rasa aku cukup mengenalinya. Daenish dan 'senyap' tak pernah bersatu. Rasanya ini kali pertama aku melihatnya dalam 'airplane mode'. Tiada bunyi melainkan pen berlaga dengan kertas.
Semakin lama aku melihatnya, semakin tercuit hatiku. Sekali-sekala dia bermonolog sendirian. Yang membuatku terhibur apabila dia menoleh ke arah kerusi kosong dan berbicara seakan ada seseorang di situ. Menerangkan teori yang tertera di buku. Mungkin itu cara untuk dia menghafal.
Tiba-tiba, dia menoleh ke arahku. Dengan pantas aku berpura sedang sibuk. Highlighter di tangan aku jalankan pada buku notaku. Apa yang aku highlight pun aku tak tahu.
"Buat apa tu?"
"Highlight benda penting."
Alih-alih, Daenish merampas highlighter di tanganku. Aku mencodak, mata membundar. Dengan selamba dia mewarnakan belakang tapak tangannya. Lukisan hati berwarna hijau pastel dia tunjukkan kepadaku. Senyum lebar menampakkan barisan giginya.
"Awak buat apa ni?" Aku menahan tawa, merampas semula highlighter milikku.
"Highlight benda penting."
Aku terdiam. Memandangnya tak berkerdip. Dia turut memandangku.
Kenapa... kenapa aku rasa berdebar?
Getaran telefon mematikan renunganku. Aku cuba mencapai telefon milikku tetapi tangan Daenish lebih pantas berbandingku. Dia mengerutkan dahi.
"Siapa ni?" Soalnya sambil melihat skrin telefon.
"S-Siapa?"
Afiq ke?
Daenish menunjukkan skrin telefon kepadaku. Rupanya getaran tadi hanyalah pemberitahuan dari aplikasi Health yang mengingatkanku untuk minum air kosong. Daenish kemudiannya menuding ke arah gadis yang menghiasi skrin laman utamaku.
"Ni." Katanya.
Menyedari siapa yang dia maksudkan, aku cuba untuk merampas kembali telefon tetapi sekali lagi, Daenish bertindak lebih pantas dan menjarakkan telefon dariku. Kerutan wajahnya digantikan dengan senyuman mengusikku.
"Awak ke?"
"Bagi baliklah!" Aku mengetap gigi, memperlahankan suara.
Daenish meneliti gambar tersebut. Semakin lama dia merenungnya, semakin lebar senyumannya. Tak lama kemudian, dia menyengih.
"Ni gambar zaman bila ni? Dengan rambut pendek, baju rock metal, atas sampai bawah all in black—"
Aku berjaya merampasnya semula. Daenish tertawa kecil.
"Awak ke?"
"Kalau saya, kenapa? Suka hati sayalah nak pakai baju apa sekalipun. Tak boleh ke?"
Daenish diam sejenak. Memikirkan sesuatu dengan dalam.
D-Dia merajuk lagi ke?
"Tu gambar lamalah. Masa saya sekolah menengah dulu." Aku bersuara.
"Oh. Awak suka dengar lagu rock ke?"
"Hm."
"Favourite band?"
Aku menunduk. "My Chemical Romance."
"MCR?"
Aku lantas mendongak. "Awak kenal MCR?"
"Mestilah kenal." Jawabnya bangga. "Awak dah tak dengar lagu diorang lagi ke?"
"Eh, taklah! Saya still dengar sampai sekarang."
"Dah tu... kenapa sekarang awak nampak ayu semacam? I mean, don't get me wrong tapi..." Daenish menggaru kepala, tak pasti bagaimana untuk menyudahi ayatnya.
"Sebab Afiq." Jawabku. "Dia suka perempuan yang ayu, sopan and as you can see, perempuan yang pakai baju dengan lambang tengkorak, atas sampai bawah semua warna hitam, selekeh—that's not ayu and sopan."
"Hm... but it's more colourful."
"Hah?"
Hitam colourful dia kata? Budak ni buta ke apa?
"Dia macam ni tahu. Kalau awak pergi tempat orang ramai, then semua orang pakai pakaian yang sama; blouse, dress, tshirt polo, kemeja then tiba-tiba ada someone ni pakai baju rock metal lepastu atas sampai bawah semua warna hitam. Awak tak rasa ke dia interesting?"
Membayangkan situasi itu, membuatkan hujung bibirku terangkat. Daenish mencapai pen hitam milikku. Menconteng satu lagi hati pada tangannya.
"Most of the time, it doesn't matter what colour you're wearing. Everyone has their own colour in the inside. That's what makes you shine." Dia menunjukkan hati berwarna hitam itu kepadaku. "Kalau tunang awak betul-betul suka kat awak, he'll love you for who you are."
Aku melihat sedikit ke kanan tangannya. Hati berwarna hijau pastel bersebelahan hati berwarna hitam. Warna yang kontra tetapi kelihatan padan bersama.
Mahukah Afiq menerimaku seadanya?
+
YOU ARE READING
Stalker-Ish
Подростковая литератураKecantikan dijadikan kayu ukur nilai sesuatu atau seseorang. Semakin indah rupa, semakin tinggi nilainya dan semakin ramai yang mengejar, berfantasi menjadikannya hak milik sendiri. Namun bagi Aina, kecantikan hanyalah satu sumpahan. Aina Arissa, ga...