USAI mandi, Raaziya cepat-cepat bersiap ala kadar. Awal pagi ini, Raaziya bercadang untuk pergi ke tanah perkuburan. Ingin ziarah kubur ayah dan ibunya. Kalau difikirkan semula, boleh tahan agak lama juga dia tidak menjejakkan kakinya di sana.
Rindu, tak usah dicakap.
Baju kurung cotton menjadi pilihan Raaziya pada awal pagi itu. Selesai bersiap, terus diri dibawa ke luar dari bilik. Nafas sudah ditarik dalam-dalam terlebih dahulu.
Dua hari, Raaziya hanya terperuk di dalam bilik sejak kejadian tempoh hari. Kalau lapar, dia akan senyap-senyap seludup masuk ke ruang dapur. Memang niatnya mahu mengelakkan diri dari bertembung dengan semua penghuni di rumah ini.
Ruang tamu kelihatan kosong. Tiada sesiapa. Sekali lagi Raaziya tarik nafas lega. Kalau boleh, memang dia tak nak sesiapa sedar dengan ketiadaannya di rumah nanti.
Kaki pantas saja dipanjangkan ke pintu utama. Selepas semuanya kelihatan selamat, Raaziya keluar dari rumah. Cepat-cepat kedua belah kakinya disarungkan ke dalam selipar yang ada di tepi tangga.
Laju saja Raaziya meninggalkan halaman rumah kayu Encik Sulaiman. Dia hanya berjalan kaki ke tanah perkuburan. Lokasinya tak berapa jauh, dan tak juga dekat.
PUAN SHIDA sedang sibuk menjemur pakaian di belakang rumah. Selesai saja membancuh air teh panas pagi ini, dia terus mengeluarkan pakaian-pakaian dari mesin basuh untuk dijemur di luar.
"Awal kau bangun hari ni, Tiqah."
Puan Shida terkejut beruk melihat anak daranya yang sedang berdiri tegak di pintu belakang rumah. Tak pernah-pernah dia nampak Atiqah bangun seawal ini. Kebiasaannya matahari terpacak atas kepala baru nak bangun. Itu pun sebab Encik Sulaiman selalu bising.
Mendengar saja sindiran Puan Shida, Atiqah menguap besar. Masih rasa mengantuk. Tapi entah kenapa dia tak boleh nak sambung tidur semula.
"Salah ke Tiqah bangun awal, mak? Bangun lambat salah, bangun awal pun salah. Lepas tu, nak bangun bila?" bebel Atiqah yang sedang berjalan menghampiri pangkin di belakang rumah. Dia terus merebahkan punggungnya di atas itu.
Puan Shida hanya mampu menggelengkan kepalanya. Tak ingin berhujah panjang lagi. Kalau dihujah, pasti ada saja jawapan yang bakal dia terima nanti.
"Ayah mana? Tak nampak pun." Mata Atiqah memantau kawasan sekeliling. Mencari-cari kelibat Encik Sulaiman yang tak tahu ke mana. Selalunya suara orang tua itu yang paling bising awal-awal pagi macam ni.
"Ayah kau pergi kebun. Nanti balik la orang tua tu." Puan Shida menjawab. Tangan masih setia menyidai pakaian-pakaian di ampaian. Tinggal beberapa helai saja lagi.
"Raaziya?" Nama Raaziya tiba-tiba dipetik oleh Atiqah. Dua hari, dia tak bertembung dengan gadis itu. Mereka tak pernah bersua muka sejak kejadian tempoh hari di ruang tamu.
Hatinya masih berbara sakit apabila mengingati yang tangan gadis itu naik menghingap di pipinya. Bukan sekali, tapi dua kali!
"Mak tak tahu." Puan Shida angkat bahu. Entah, dia sendiri pun kurang pasti dengan keadaan Raaziya sekarang. Malas nak ambil tahu selepas kejadian tempoh hari. Dia juga ikut panas hati. Tak pasal-pasal saja anak gadisnya kena makan penampar dengan gadis itu.
Dasar anak tak tahu malu!
Untuk sekian kali, Atiqah menguap panjang. Tangan naik memegang kedua-dua belah pipi. Ditepuk-tepuk perlahan. Mengantuk tapi dia tak boleh nak sambung tidur semula.
"Kalau dia tak ada, lagi aman rumah ni," sambung Atiqah lagi. Jelas masih ada rasa tak puas hati.
"Ha... Tu ayah kau balik dah." Dari jauh, Puan Shida melihat motosikal Encik Sulaiman yang sedang menghala ke halaman rumah.
ANDA SEDANG MEMBACA
RAAZIYA
RomanceTo my Raaziya: "You're so beautiful. Like a flower." From your future love, Adyan Khaleed.
