Bab 39

38 5 0
                                        

RAAZIYA meneruskan langkahnya. Dari jauh, dia sudah dapat melihat rumah kayu separuh batu milik Encik Sulaiman. Tak dapat menebak apa yang bakal menantinya kekal.

Sisa-sisa air mata diseka buat kali terakhir oleh Raaziya. Muka yang agak sembam jelas menujukkan perit di hati, sukar untuk disembunyikan lagi.

Kalau diikutkan perancangannya, petang ini dia akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur semula. Hanya tinggal setengah hari saja lagi untuk bertahan di rumah Encik Sulaiman. Dan semuanya akan kembali seperti biasa.

Sebelum melangkah masuk ke dalam, Raaziya menghela nafas perlahan. Cuba mencari kekuatan di dalam diri. Ada sesuatu yang bakal singgah di pendengarannya nanti.

"Balik pun kau."

Baru beberapa langkah, suara sinis itu buat Raaziya terhenti. Sudah dapat diduga pasti akan ada sindiran menyambut kepulangannya. Dia cuma diam, menanti apa yang bakal menyusul selepas sindiran itu.

"Kau dari mana?" soal Encik Sulaiman, matanya tajam memandang Raaziya. Dia sengaja mahu menduga jawapan dari gadis itu, walaupun dia sudah dapat mengagak.

Raaziya mengetap bibir, cuba menyusun kata sebelum menjawab.

"Ziya pergi melawat kubur ibu ayah," jawab Raaziya perlahan, malas nak beralasan. Suaranya serak, masih terasa lelah lepas menangis di kubur tadi. Dia tunduk, menyorok wajah sembam dari pandangan Encik Sulaiman.

"Tadi ada orang datang ke sini cari kau," Encik Sulaiman bersuara pendek, malas hendak memanjangkan perbualan. Dia menjeling sekilas ke arah Raaziya untuk melihat reaksi gadis itu.

"Siapa, pak cik?" Raaziya angkat kepala. Jantungnya tiba-tiba berdetak laju. Pelbagai persoalan yang sedang bermain di benaknnya.

"Bakal suami kau."

Raaziya kerut kening. Kurang pasti siapa yang dimaksudkan oleh Encik Sulaiman.

"Adyan."

Raaziya terkelu, mindanya ligat berfikir. Adyan? Bila Adyan datang ke sini? Tak sangka, lelaki itu akan datang seawal ini. Padahal baru semalam Adyan memberitahunya.

"Bila dia ke sini, pak cik?" soal Raaziya perlahan, cuba menyorok debaran di hatinya.

"Kau dah pergi kan kursus kahwin hari tu?" tanya Encik Sulaiman untuk kepastian. Soalan Raaziya diabaikan. Pandangannya masih tajam dan serius.

Raaziya tergamam, tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pak ciknya itu.

"Malam ni kau bersiap cantik-cantik," Encik Sulaiman berkata dengan nada tegas. "Kita akan pergi ke pejabat agama. Aku akan kahwinkan kau dengan lelaki tu."

"Maa... malam ni?" Raaziya terkedu, seluruh tubuhnya terasa kaku memikirkan keputusan drastik yang bakal mengubah hidupnya.

"BARU nampak batang hidung kau, abang," tegur Daniyal sambil menghampiri dari jauh. Hari ini baru sempat dia jumpa Haris, abang sulungnya, selepas berminggu-minggu lelaki itu pulang ke rumah.

"Biasalah, Dani. Aku bukannya boleh duduk diam," balas Haris sambil tersenyum dan laju memeluk adiknya. Walau duduk serumah, mereka tetap jarang bertentang mata sebab masing-masing boleh dikatakan agak sibuk dengan kehidupan.

RAAZIYATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang