Bab 42

40 7 0
                                        

"RAAZIYA..."

Adyan menegur buat Raaziya tersedar dari lamunannya yang panjang. "Ya?" Dia menoleh, terkebil-kebil memandang Adyan.

"Awak fikir apa? Jauh termenung." Adyan masih fokus dalam pemanduannya. Sesekali dikerling ke arah Raaziya. Sejak masuk ke dalam kereta tadi, perempuan itu hanya membisukan diri dan memandang ke luar tingkap.

"Saya tak fikir apa-apa." Raaziya senyum tawar. Cuma menafikan kenyataan sebenar.

"Awak masih fikirkan kejadian tadi ke?" teka Adyan.

"Sa... saya..."

"It's okay, Raaziya. Awak tak perlu fikir lagi," jawab Adyan lembut. Tangan kirinya naik mengusap kepala Raaziya tanpa sedar. Lepas kahwin ni, tangan dia selalu saja ringan buat hal macam tu.

"Cuma saya pelik. Kenapa pak cik Sulaiman tiba-tiba layan saya dengan baik?" Satu soalan yang sering bermain di benak Raaziya. Dia hairan. Tak pernah-pernah Encik Sulaiman berada di pihaknya. Pasti ada sebab.

Adyan hanya mendengar. Tak membalas. Dia masih fokus memandu.

"Awak akan hantar saya ke rumah sewa saya dulu, kan?" soal Raaziya lagi. Kalau ikut perancangan, memang Adyan nak hantar dia ke rumah sewa dulu. Kemas barang-barang yang ada di sana.

"Yes, atau awak ada nak singgah tempat lain dulu?"

"Tak. Saya nak balik rumah sewa dulu," jawab Raaziya. Dia rasa bersalah terhadap Laila dan Nabil, terutama bila teringat tempahan bunga yang masih menimbun. Seharusnya dia sudah pulang ke Kuala Lumpur sejak kelmarin.

Adyan hanya mengangguk.

SELEPAS menempuhi perjalanan yang panjang, Adyan dan Raaziya tiba di Kuala Lumpur. Destinasi mereka sekarang ialah rumah sewa Raaziya. Tempat yang sudah tidak asing lagi sebab dia pernah singgah menghantar Raaziya sebelum ini.

Di sebelahnya, Raaziya sudah tenggelam dalam lena. Wajah perempuan itu tenang sekali membuat Adyan tak mampu menahan senyum tipis yang terukir di bibirnya.

Mereka berhenti di hadapan rumah sewa Raaziya. "Raaziya..." Adyan tak sampai hati nak kejut. Tapi dia tak ada pilihan lain. Kalau mereka pulang ke rumahnya, mungkin dia akan terus mengangkat Raaziya masuk ke dalam.

Mendengar suara seseorang, Raaziya terus membuka matanya. Laju kepala ditoleh ke arah kerusi pemandu.

"Kita dah sampai."

"Da... dah sampai?" Pandangan dilempar keluar tingkap. Hampir luruh jantung melihat mereka sudah benar-benar di depan rumah sewanya.

"Awak! Sorry saya tertidur." Raaziya tidur mati. Niat nak teman Adyan memandu, tapi dia pula yang terlelap.

Adyan tergelak kecil. Tak terganggu walau Raaziya terlena. Dia sudah biasa memandu sorang, cuma rasa sedikit berbeza apabila ada orang di sebelahnya.

"Masuk dalam. Rehat," arah Adyan lembut. Melihat wajah Raaziya, dia tahu perempuan itu masih dalam keadaan mamai dan mengantuk.

Raaziya hanya mengangguk pelan, rohnya masih belum benar-benar kembali ke dirinya. "Saya masuk dulu," katanya, tangan terhulur ke arah Adyan, ingin bersalam.

Adyan menyambut tangan itu dengan lembut, lalu sekilas mencium tangan Raaziya. "Jaga diri, nanti saya datang lagi jemput awak," ucapnya dengan suara yang tenang.

Raaziya yang tadi masih mamai itu tersentak, lalu kembali sepenuhnya ke dunia nyata. Matanya menatap Adyan, sedikit terkejut dengan tindakan spontan lelaki itu. "Aa... awak pun jaga diri," balasnya perlahan. Sedikit malu.

RAAZIYATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang