BAB 7

120 10 28
                                    

"Dan juara bagi kejohanan bola tampar MSSD Kota Tinggi kategori perempuan bawah 18 tahun, dimenangi oleh... BENDAHARA VC! Tahniah diucapkan!" Pengumuman keputusan kejohanan itu mengundang tepukan dan sorakan gemuruh yang menggegarkan segenap ruang dewan.

Pasukan BENDAHARA VC naik ke pentas untuk mengambil pingat kejuaraan masing-masing. Syahidah berasa amat bertuah dan bersyukur dengan nikmat kemenangan ini.

Yang lebih bertuahnya apabila pasukan sekolah mereka mendapat johan keseluruhan bagi perlawanan tersebut.

Dari jauh, sudah nampak betapa manisnya wajah pemain-pemain bola tampar itu. Ketua jurulatih merangkap ketua penasihat pasukan mereka iaitu, Cikgu Hanafi sangat bersyukur atas kemenangan yang dicapai oleh pemain-pemainnya.

"Tahniah, semua. Kamu dah membuktikan kepada semua pasukan lain yang sekolah kita merupakan juara bertahan dari dulu lagi. Pencapaian yang tidak pernah mengecewakan bahkan membanggakan kita semua. Oh ya, kita terpilih untuk mewakili daerah Johor Bahru ke perlawanan peringkat MSSJ. Pastikan kamu semua bersedia untuk latihan seterusnya. Good luck and congratulations for your victory!" ujar Cikgu Hanafi dengan teruja.

"Jom, cikgu nak belanja kamu semua makan lepas ini." Cikgu Hanafi melangkah ke keretanya. Beberapa orang pelajar lelaki menaiki kereta beliau. Manakala selebihnya menaiki dua buah van milik sekolah mereka.

——

Ruang kosong di sebelah Jihan dia ingin duduk. Pantas Cikgu Hanafi mencubit lengan Mikael yang selamba itu.

"Aduuhh... Sakit, cikgu. Sakit..." adu Mikael.

"Yang kamu ini tak nampak ke apa? Selamba saja kamu duduk sebelah Jihan. Kamu fikir sweet sangatlah itu!" kata Cikgu Hanafi.

Jihan tersipu-sipu malu sebelum sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepada Mikael. Dah tahu orang tak selesa, dia senang-senang saja nak melabuhkan punggung di sebelah.

Mikael memegang dadanya. Konon menerima kesan akibat jelingan daripada Jihan itu.

"Pergi duduk sebelah Hilman sana. Haih, kamu ini... Ada saja perangai tak betul nak dibuat." Cikgu Hanafi menggeleng kepala.

Mikael tersengih-sengih. Dia pun duduk di sebelah Hilman. Syahidah yang juga duduk berhadapan dengan Hilman itu dari tadi menundukkan pandangan.

Dia sangat tidak suka memandang lelaki dengan lama.

Semuanya berdasarkan ceramah yang dia dengar melalui laman Instagram.

"Dari mata, turun ke hati ke, dari mata turun menjadi maksiat?"

Selepas mendengar kata-kata itu, Syahidah terus berhati-hati ketika berbicara dengan ajnabi. Pandangan akan ditundukkan, berjarak sedikit ketika berbual dan cuba untuk memendekkan masa perbualan.

Wajah Jihan di sebelahnya itu dipandang. Jihan juga sepertinya, kurang selesa berada dekat dengan ajnabi.

Tetapi dia selalu diganggu oleh Mikael yang dikatakan suka kepadanya. Jihan memang tidak pernah melayan perangai Mikael itu.

"Jemput makan semua. Bismillah," ujar Cikgu Hanafi. Mereka pun menjamu selera dengan sopan. Mikael yang terkenal dengan sifat periangnya itu asyik saja menceriakan suasana di meja makan.

"Mikael, kamu ini masa kecil makan apa, ya?" soal Cikgu Suraya.

"Entahlah, cikgu. Mak saya sumbat gula banyak sangat rasanya... Itu yang terlebih aktif." Dia ketawa terbahak-bahak.

Yang lain pun terikut ketawa sekali. Kuat betul aura kelakar pada diri Mikael sehinggakan Hilman yang sejak tadi menahan tawa pun terjebak sekali.

"Dah, dah. Makin lama kamu ketawa, makin lambat kamu sampai rumah." Ujaran dari Cikgu Hanafi membuatkan mereka kelam-kabut menghabiskan makanan mereka.

Usai membayar di kaunter, mereka bergerak pulang ke rumah. Sebelum itu, semestinya mereka mengambil gambar terlebih dahulu.

"Woi, Feroz, buat peace betul-betul lah. Senyum itu, bagi manis sikit. Kita juara kut!" arah Mikael yang sedang memegang kamera. Feroz menjelingnya.

"Suka hati akulah!" balas Feroz.

"Haih, ambil gambar pun bergaduh juga. Astaghfirullahal'azim..." tegur Cikgu Suraya.

——

Pingat emas itu ditunjukkan kepada emak dan ayahnya. Hasratnya untuk melihat wajah teruja mereka selepas dia menunjukkan pencapaian terbaik itu mati tatkala hanya 'hm' saja yang menjadi ucapan menggantikan tahniah.

Syahidah menggagahkan diri masuk ke bilik. Pingat itu dicampak ke atas katil. Dia kecewa benar dengan cara emak dan ayahnya yang langsung tidak kisah dengan kejayaan yang dia capai itu.

Mereka hanya tahu marah ketika dia gagal dalam pelajaran dan memaksanya untuk belajar sepenuh masa. Namun tak pernah memberikan pujian atau apa-apa penghargaan jika dia mendapat keputusan cemerlang.

Syahidah gagal.
Dia gagal untuk membuktikan kebolehannya.
Dia gagal membanggakan emak dan ayahnya.

Mahu saja dia menelefon Syah untuk memberitahu berita gembira itu, tetapi dia tidak ingin mengganggu abangnya pada waktu ini.

Dan waktu itu jugalah rasa cemburunya meluap-luap. Waktu itu jugalah, suatu memori bersinggah di ruangan otaknya.

"Tahniah Aman! Bagus betul. Sijil ini, mak simpankan dulu, nanti kalau Aman dah besar, boleh tunjuk dekat anak-anak Aman."

"Amin, mak ngah mesej, cakap tahniah sebab lulus dalam peperiksaan hari itu."

"Aman, pak long nak belanja Aman pergi tengok wayang minggu depan. Hebatlah Aman, dapat menang pertandingan catur peringkat negeri. Tahniah, tahniah. Baru boleh jadi contoh kepada ahli keluarga."

Macam-macam jenis pujian dan hadiah diberikan kepada kedua mereka. Nama mereka juga dijadikan bahan perbualan dalam kalangan anggota keluarga.

Cuba kalau nama Syah dan dia, nak kata pernah dipuji dan disebut-sebut, memang tidaklah. Tapi kalau untuk dikutuk dan dipersalahkan, semestinya nama mereka berdua yang dijadikan topik hangat dalam keluarga.

Kenapa mereka?

Sebab keistimewaan yang ada dalam diri mereka lebih dari apa yang istimewa dalam diri yang lain.

Mereka cemburu melihat Syah yang kini melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang kedoktoran. Mereka juga cemburu melihatnya yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Mereka iri hati terhadap Syahidah yang sentiasa mendapat nama baik di sekolah. Mereka juga iri hati kerana Syahidah yang disangkakan bodoh itulah yang sekarang ini menjadi top 3 dalam tangga tokoh pelajar cemerlang harapan sekolah.

Masing-masing mempunyai kelebihan yang tidak setanding anak-anak mereka.

Sifat iri hati dan hasad menguasai diri. Tak boleh nampak kelebihan orang, mulalah menunjukkan rasa tidak senang duduk.

Walaupun dengan anak saudara atau sepupu sendiri. Syahidah akur. Dia tidak layak mendapat pujian daripada ahli keluarganya yang lain.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now