BAB 52

130 11 10
                                    

Pulang saja daripada mengambil keputusan peperiksaan tadi, Hilman dijemput oleh Bukhari untuk ke hospital.

"Hebatlah kau ini, Hilman. Tahniah!" Ucapan itu diberikan dengan ikhlas. Hilman menunduk segan. Perlahan dia mengucapkan terima kasih kepada Bukhari.

Bukhari menguntum senyum nipis.

"Adik kau mesti cari kau dekat sana." Ujaran Bukhari mengingatkan Hilman tentang Helmi.

"Harap dia okeylah..." Hilman mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Kelihatan beberapa motosikal sedang berlumba-lumba di atas jalan.

Mat rempit jalanan.
Makin diberi amaran dan peringatan, makin menjadi-jadi sifat degil mereka dalam melanggar undang-undang jalan raya.

Hilman termenung sehinggakan tidak sedar bahawa mereka sudah sampai di hospital.

"Hilman, kalau ada apa-apa, beritahu aku ya? Aku nak balik terus ini," pesan Bukhari.

"Okey, abang. Terima kasih sebab tolong hantarkan," ujar Hilman. Bukhari sekadar tersenyum sahaja.

Pintu kereta ditutup dan Hilman hanya menghantar pemergian kereta tersebut dengan pandangan mata.

Dia bergerak ke lif untuk pergi ke wad di mana Helmi berada. Sekali lagi dia terserempak dengan Laila dan anak perempuannya. Kali ini, dia hanya diam dan terus berjalan tanpa menegur mereka.

Dia tahu, tiada guna dia melakukan semua itu kerana si ibu tidak akan mengakui dia sebagai anak.

Katil Helmi dituju.

"Assalamualaikum..." Ucapan salam dilafazkan sebagai pembuka bicara. Helmi menjawab salam abangnya dengan gembira.

Mereka berbual seketika hingga Helmi sudah mengantuk kesan daripada ubat selsema yang diberikan oleh jururawat tadi.

Sementara si adik masih tidur, Hilman pergi ke bahagian unit rawatan rapi pula untuk melawat abahnya. Mujurlah dia sudah dibenarkan masuk.

Kekura tangan kanan abahnya yang berbalut dipegang dengan berhemat. Perlahan-lahan titisan air mata turun membasahi pipi.

"Abah... Hilman dah dapat keputusan SPM. Hilman berjaya, abah. Man dapat 9A+. Abah bangunlah. Man dengan adik rindu abah..." Tangan abahnya diusap lembut.

Wajah Halim terhalang dek kerana alat bantuan pernafasan yang terpasang.

Hilman menyembamkan muka di sebelah tangan abahnya.

"Man risau tengok keadaan abah macam ini," kata Hilman.

Tangan Halim mengusap kepala Hilman dengan perlahan. Terkejut si anak selepas diusap begitu.

Dia mengangkat kepala dan menatap abahnya.

"Abah!" Semakin deras air matanya tumpah. Dia tersenyum lebar tatkala melihat Halim sudah sedar dari 'tidur' yang lama.

"Man nak panggil doktor untuk periksa abah dulu ya?" Hilman ingin bangun namun lengannya dipegang Halim.

"Tak apa. Abah dah sedar sejak pagi tadi." Hilman kembali duduk di atas kerusi.

"Abah, Man minta maaf sebab tak ada pagi tadi. Man pergi am-" Halim mencantas kata-kata anaknya terlebih dahulu.

"Abah dengar apa yang Hilman cakap tadi. Alhamdulillah. Anak abah hebat. Cuma abah yang patut minta maaf sebab tak dapat teman kamu ambil keputusan." Halim menutur kata. Seketika dia terbatuk kecil. Hilman kelihatan sedikit risau namun dia menenangkan anaknya dan berkata bahawa dirinya tidak apa-apa.

"Abah, doktor kata..." Ah, Hilman tidak mampu menyambung ayatnya. Halim tersenyum di balik alat bantuan pernafasan itu.

"Abah tahu. Abah tahu yang abah dah tak boleh jalan macam dulu. Tak boleh kerja macam dulu. Abah akan susahkan Hilman lepas ini." Ayat terakhirnya itu mengundang gelengan laju daripada Hilman.

"Hilman tak akan anggap abah menyusahkan walaupun sekali. Man akan jaga abah baik-baik sampai abah sihat. Adik pun. Abah jangan banyak fikir yang bukan-bukan, okey?" Halim mengangguk tanda faham.

"Adik macam mana? Harap kecederaan dia tak seteruk abah," tanya Halim.

"Adik dah sedar beberapa hari lepas. Tak teruk sangat. Tulang kaki dia retak. Lepas itu, ada luka-luka dengan kecederaan kecil dekat anggota badan yang lain," balas Hilman.

"Alhamdulillah." Halim lega dengan berita tersebut.

"Abah rehat ya... Hilman akan sentiasa doakan abah cepat sembuh. Kalau abah dah sihat, baru boleh balik rumah," kata Hilman, berniat untuk menceriakan abahnya.

Halim mengangguk kecil.

Dia kagum dengan anaknya seorang itu. Sanggup menjaganya ketika sakit.
Dan yang paling membuatkan isi hatinya sebak, ialah anaknya itu tetap memberikan kata-kata yang dapat menyejukkan hati.

Tak sampai beberapa minit, Hilman sudah terlena di sisinya. Halim mengusap ubun-ubun kepala anak sulungnya itu.

"Kesian anak abah. Penat sebab jaga abah," bisik Halim perlahan. Dia mengubah arah pandangan kepada kedua belah kakinya.

Nikmat berjalan di atas muka bumi sudah hilang. Terselit juga rasa syukur kerana Allah SWT menarik nikmat itu. Mungkin ia boleh membuatkannya lebih berusaha untuk mengubah diri menjadi insan yang lebih baik.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now