BAB 26

86 11 18
                                    

Hilman memandang abahnya yang sedang bersiap untuk ke masjid itu dengan rasa syukur yang teramat sangat.

"Adik, cepat siap. Kami nak gerak dah ini," laung Halim dari muka pintu.

"Tunggu, abah. Jangan tinggalkan adik!" Sahutan si kecil itu kedengaran dari bilik. Dia lantas berlari ke arah mereka berdua yang sudah lama menunggu.

"Jom, jom." Tangan Hilman dipegang kemas – minta untuk dipimpin seperti kebiasaannya.

Hilman tersenyum kecil.

Mereka berjalan kaki untuk ke masjid bersama-sama.

Setelah imam selesai membaca doa, beberapa jemaah mula pulang ke rumah. Manakala yang lainnya setia menunggu kerana terdapat kuliah maghrib malam itu.

Halim duduk di saf yang ketiga bersama kedua anaknya. Mereka khusyuk mendengar bait-bait ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut.

Sedang elok mendengar suara ustaz itu, tiba-tiba sahaja kepala Helmi terlentok pada bahunya. Halim pada mulanya terkejut juga. Namun selepas itu, dia membaringkan tubuh kecil Helmi itu pada pahanya.

"Tengok adik kamu ini, Man. Orang lain khusyuk dengar ceramah, dia khusyuk tidur dekat sini." Hilman tertawa perlahan. Begitu juga dengan Halim.

Sewaktu pulang, Hilman yang mendukung Helmi setelah berlawan mulut dengan abahnya. Semuanya berpunca daripada abahnya yang ingin mencempung Helmi kendatipun dirinya itu bukan sihat mana.

"Berat juga adik ini!" adu Hilman setelah membaringkan adiknya ke atas katil. Bahunya diusap. Lenguh.

"Abah nak dukung kamu tak bagi," kata Halim.

"Nanti pinggang abah yang sakit. Budak ini nampak saja kecil, tapi berat dia... Bukan main." Hilman duduk di kerusi meja makan. Kopiah putih dibuka dan dilipat dua.

"Lagi dua bulan kamu nak SPM, kan?" Halim melabuhkan duduk di sebelah anak sulungnya.

"Ya, abah. Debaran makin terasa walaupun jauh lagi tarikhnya itu. Cuti sekolah pun belum habis lagi," jujurnya.

"Abah tahu kamu mesti lulus cemerlang punya." Halim cuba menanamkan semangat dalam diri Hilman.

"Aamiin... Doakan Man abah." Senyuman manis terukir di bibir. Begitu juga dengan Halim.

"Selagi abah masih hidup, doa untuk anak-anak abah tak akan pernah putus. Insya-Allah," balas Halim.

——

Maharaja siang yang baru ingin terbit menyinari seisi bentala itu ditatap sekejap-sekejap. Pedih mata tatkala cahaya sinaran itu menyusup masuk ke dalam kornea mata.

Hari pertama persekolahan setelah dua minggu bercuti.

Uniform pengawas yang tersarung kemas pada tubuh menyerlahkan lagi aura ketegasannya. Pengetua dan barisan guru yang berdiri di hadapan pagar sekolah untuk menyambut ketibaan para pelajar dia sapa dengan senyuman mesra serta ucapan salam atau selamat pagi.

Senyum punya senyum, matanya menangkap susuk tubuh seorang pelajar yang sangat dia kenali. Pelajar yang menjadi pilihan hatinya.

Syahidah.

Hilman menunduk sedikit semasa bertembung dengan si gadis.

Syahidah sedang melangkah pantas ke belakang pentas di dewan perhimpunan untuk membantu guru melancarkan majlis perhimpunan.

Hilman berjalan ke kelas untuk meletakkan beg galasnya. Pintu bilik kelas itu dibuka. Kelihatan meja dan kerusi telah disusun seperti hari peperiksaan.

Tiga puluh meja yang tersusun itu dipandang dengan jiwa yang tenang. Kelas itu tampak cantik walaupun masih kosong tanpa sebarang hiasan.

"Ah... Kelas baru!" Dia mencari-cari namanya pada setiap meja.

Mereka terpaksa berpindah kelas kerana kelas lama mereka perlu dibaik pulih untuk peperiksaan SPM nanti.

"Oh, dekat sini rupanya tempat duduk aku. Tak perasan pula." Beg galas diletakkan pada kerusi.

Meja sebelah dipandang sekilas sebelum matanya terbeliak.

"Syahidah? T-Tak mungkin..." Dia menjatuhkan pandangan pada beg berwarna hijau pekat itu pula.

Memang benar, itu adalah beg galas milik Syahidah.

"Akhirnya... Aku dapat duduk sebelah dia!" Pipi kiri ditampar sedikit kuat.

"Ikhtilat, Man. Ikhtilat!" Segera dia beristighfar panjang.

"Kenapa cikgu letak saya dekat sini? Segan lah saya kalau hari-hari macam ini." Tawaan halus muncul di bibir merahnya.

Dia kemudiannya keluar dari kelas lalu menuju ke dewan perhimpunan semula untuk menjalankan tugas.

Sepanjang tempoh perhimpunan, Hilman tidak lepas daripada dipandang oleh Aina. Dia perasan akan itu namun dia hanya buat tidak peduli.

Aina memang begitu. Sejak tahun lepas lagi tidak habis-habis mengganggunya sama ada di dalam kelas mahupun di persekitaran sekolah.

"Hilman, kamu boleh tolong saya tak?" Cikgu Ismail menyoalnya.
Hilman dengan ikhlas mengangguk.

"Nanti selepas tamat perhimpunan, tolong panggil beberapa orang pelajar ini. Saya dah senaraikan nama dan kelas masing-masing," ujar Cikgu Ismail.

"Baiklah, cikgu." Hilman tersenyum manis. Cikgu itu mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi dari situ.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now