BAB 36

90 9 30
                                    

Syahidah tergesa-gesa untuk menghadiri kelas tambahan Sejarah yang akan berlangsung pada pukul 0800 pagi Jumaat itu. Tudungnya yang tidak kemas itu dibetulkan semula sambil melihat cermin.

Senyuman kecil dihadiahkan kepada diri sendiri. Beg sandangnya dicapai dan dia terus membawa diri ke sekolah dengan berjalan kaki.

Bagaskara yang mulai meninggi itu ditatap sekejap-sekejap. Ucapan berbentuk pujian kepada Allah secara tidak sedar terpacul dari bibir mungilnya.

"Syahidah!" Hilman melambainya dari jauh. Syahidah menoleh ke belakang.

Matanya terbeliak sedikit. Dia memerhati warna pakaian yang dipakai oleh lelaki itu.

Sama.

Dia juga mengenakan pakaian berwarna hitam dengan kasut sukan. Liur diteguk kelat.

Ini jikalau diketahui oleh Aina, pastinya dia akan dimarah teruk.

Hilman memberikan salam. Dia membalas salam yang diujarkan dengan perlahan. Wajah sang lelaki tidak dipandang langsung.

"Tak sangka pula sama warna baju," tegur Hilman. Syahidah cuma tertawa kecil.

Dia cuba melajukan langkah bagi meninggalkan Hilman di belakang. Bukannya dia tidak selesa, tapi perasaan takut pada Aina yang akan marah itu melebihi segalanya.

"Syahidah, kenapa awak selalu jauhkan diri daripada saya? Saya ada buat salah ke?" Pertanyaan Hilman dibiarkan tanpa jawapan - hanya untuk seketika.

Syahidah memberhentikan pergerakannya. Dia benar-benar berhadapan dengan Hilman waktu itu.

"Saya tak nak Aina marahkan saya. Dia dah lama suka awak. Saya tak nak jadi perampas," jujur Syahidah. Hilman tercengang.

Perampas?
Sejak bila dia bercinta dengan Aina?

"Awak salah faham ini... Saya mana pernah bercinta dengan sesiapa. Aina itu, saya tak sukakan dia pun." Hilman mempertahankan diri.

"Tapi dia sukakan awak. Dia selalu marah saya sebab awak," kata Syahidah. Dia bukannya mahu membuat Hilman tersinggung, cuma ingin berlaku jujur.

Hilman terdiam tidak berkutik. Dia meneruskan perjalanan.

"Maaf, Syahidah. Saya tak tahu pula awak yang kena marah dengan dia. Betul, saya tak ada perasaan apa-apa pun pada dia," kata Hilman.

Syahidah berjalan di belakang remaja itu. Hujung bibir naik membentuk senyuman manis.

"Tak apa. Kalau Aina marah awak, biar saya yang jelaskan pada dia." Hilman menyambung lagi. Syahidah langsung tidak menjawab selepas itu. Mereka berjalan ke sekolah dengan suasana senyap dan hanya menikmati keindahan pagi tersebut.

-----

Semasa sesi pembelajaran Sejarah, Aina asyik menjeling Syahidah dari jauh. Dia tidak puas hati melihat Syahidah yang memakai pakaian berwarna sama dengan Hilman.

Hatinya panas dengan keadaan itu. Amarah yang menggunung terpaksa ditahan agar tidak terhambur keluar dalam kelas tersebut.

"Aina, kau okey tak ini? Stres semacam saja aku tengok." Soalan Syeera itu dibalas dengan dengusan nafas kasar daripada Aina.

"Si bodoh itu dah betul-betul mencabar aku! Kau tengok, dia dah rancang nak pakai baju warna hitam dengan Hilman. Ish, bencinya!" Pen ditangan diketuk-ketuk pada meja. Geram.

Syeera menepuk belakang Aina. Dia cuba menyalurkan sedikit ketenangan buat gadis itu.

Tamat saja kelas tambahan Sejarah, Aina pun dengan laju meluru ke arah Syahidah dan menolaknya hingga hampir terhantuk pada bucu pintu.

"Kau yang paksa aku, Syahidah!" Tangan Syahidah ditarik dan ingin dipulas. Syahidah cuba melepaskan diri dari diperlakukan sedemikian rupa.

"Lepaskan aku Aina... S-Sakit," ujar Syahidah. Aina sekali lagi menolaknya ke belakang. Kali ini kepala Syahidah benar-benar terhantuk pada bucu pintu.

Dia memegang bahagian yang terhantuk itu perlahan-lahan.

Sakit.

"Kau cabar aku! Kau rampas dia dari aku! Eii, kalau ikutkan hati, nak saja aku bunuh kau perempuan!" Buku yang berada pada pegangannya dijadikan bahan untuk memukul Syahidah.

Syahidah hanya pasrah diperlakukan begitu. Dia tahu, semakin dia melawan, semakin kuat Aina memukulnya.

Sedang Syahidah dipukul oleh Aina, Hilman yang ternampak situasi itu terus berlari dan menghentikan perbuatan Aina. Dia merampas buku yang dipegang gadis itu.

"Kau, Hilman! Kau memang lelaki tak guna! Aku tunjukkan rasa cinta aku pada kau selama ini, tapi ini yang kau balas? Kau pergi dekat perempuan bodoh ini juga." Aina menghamburkan kemarahannya.

Hilman memandang Syahidah yang sedang menunduk ke bawah. Tangan kanan gadis itu memegang kepala yang terhantuk manakala tangan kiri mengesat air mata yang jatuh berderai dari tubir.

"Aku penat! Hari-hari aku tunggu kau balas cinta aku, tapi apa yang kau buat? Kau pinggirkan aku! Kau jahat, Hilman! Kau jahat," sembur Aina. Air mata sudah banyak dirembes keluar. Pipinya bertukar kemerahan.

Hilman kekal tidak berganjak mahupun membalas apa-apa.

"Dari tingkatan tiga, Hilman. Tiga tahun aku tunggu... Tiga tahun itu juga kau sia-siakan aku." Suara Aina mula berubah lirih.

"Aku beritahu semua orang yang aku cintakan kau. Kau buat aku malu, Hilman. Aku malu!" luah Aina sepenuh hati.

"Cukup Aina... Saya tak suruh awak buat semua itu. Saya tak pernah cintakan sesiapa sama ada awak ataupun Syahidah. Saya rapat atau tidak, itu tak penting. Saya anggap awak sebagai kawan. Macam itu juga Syahidah. Tak ada yang lebih dari itu. Saya minta maaf, Aina. Saya masih kekal dengan pendirian saya untuk tidak menaruh hati kepada mana-mana perempuan sepanjang tempoh pengajian saya." Panjang lebar Hilman menutur kata. Aina di hadapannya itu sudah mencebik tidak puas hati.

Hilman berbohong sedikit tentang perasaannya terhadap Syahidah. Dia hanya tidak mahu mengeruhkan keadaan saja.

"Kalau itu yang kau pilih, fine! Tapi aku takkan pernah putus asa untuk buat hubungan macam belangkas antara kau dengan perempuan ini retak!" Sejurus menyepak kaki Syahidah sedikit, Aina berlalu pergi dari situ.

Hilman cuma menghantar pemergiannya dengan lirikan mata. Sesaat selepas itu, dia memfokuskan perhatian kepada Syahidah.

"Awak nak saya minta tolong sesiapa untuk teman awak balik rumah?" Bibir Syahidah yang mengalir daripadanya darah itu ditatap risau.

Begitu kuat pukulan daripada Aina tadi.

"Tak apa. Saya mampu untuk jalan sendiri," jawab Syahidah. Dia bingkas bangun perlahan-lahan dan berjalan dengan berhati-hati.

Dia perlu pulang ke rumah segera agar tiada siapa yang tahu apa yang berlaku terhadap dirinya ketika itu. Jika tidak, pelbagai soalan akan ditanya kelak.

Hilman mengikuti langkah Syahidah dari belakang.

Sedari Hilman berjalan di belakangnya. Syahidah berhenti menapak langkah dan membiarkan Hilman berjalan terlebih dahulu.

"Hilman." Syahidah memanggil nama lelaki itu dengan rasa segan.

"Terima kasih," ucapnya. Hilman mengukir senyuman manis.

"Sama-sama," jawab Hilman. Dia pun berlari laju meninggalkan Syahidah kerana dia tahu gadis itu tidak selesa berjalan dengannya.

"Terima kasih sebab memahami saya, Hilman." Ucapan itu secara tidak langsung muncul di dalam hati. Tidak mampu dia ungkap melalui mulut asbab rasa segan yang terlalu tinggi.

Biarlah hati yang berbicara, daripada lidah yang akan menjadi sebab hati berubah gelap.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now