BAB 40

103 11 28
                                    

Hari ini, hari peperangan di atas kertas soalan akan bermula. Syahidah mula dilanda rasa gementar. Namun rasa gementar itu hilang serta-merta selepas melihat wajah Hilman yang ceria tersenyum ke arahnya.

"Waktu nak masuk dewan peperiksaan, muka itu mesti kena bersemangat. Jangan tunjuk muka takut, muka gementar... Walaupun Idah tak baca buku, tetap bersemangat." Wejangan daripada si abang malam tadi terngiang-ngiang di alam minda.

"Sebab, riak takut, riak risau, tak ada semangat itulah kadang-kadang membuatkan kita mengantuk lepas tengok soalan susah." Syahidah mengukir senyum nipis.

Dia harus kelihatan bertenaga seperti Hilman!

"Good luck, Syahidah," ucap Hilman kepadanya. Syahidah menunduk sedikit tanda berterima kasih.

"Awak pun," balas Syahidah.

Mereka semua masuk ke dalam dewan peperiksaan dengan tenang dan membawa harapan yang besar.

Syahidah duduk di bahagian belakang dewan. Dan disebabkan mereka disusun mengikut urutan nama, dia berada di sebelah Hilman!

"Dia lagi?" bisik hati Syahidah.

"Apakah?" monolog Hilman.

Tidak mahu melayani rasa terkejut, masing-masing melabuhkan duduk di atas kerusi - menunggu apa yang akan berlaku selepas ini.

-----

Hari berganti hari, lagi satu kertas sebelum berakhirnya hari peperiksaan. Atau dalam erti kata lain, orang kata sudah merdeka.

Syahidah bertungkus-lumus menyiapkan jawapan untuk soalan yang terakhir. Hilman pula sudah mula menyemak semula jawapan yang telah ditulis. Masa tinggal lima minit sebelum ketua pengawas peperiksaan mengatakan bahawa masa menjawab sudah tamat.

Usai kertas soalan dikutip oleh pengawas peperiksaan, mereka dibenarkan untuk keluar daripada dewan peperiksaan. Wajah masing-masing menunjukkan sinar keceriaan.

"Cepat awak siap tadi. Hebatnya..." puji Syahidah kepada Hilman. Remaja itu laju menggeleng.

"Saya dah tawakal, Syahidah... Insya-Allah, kita akan berjaya," ujar Hilman. Syahidah menganggukkan kepala tanda setuju.

"Saya nak balik dulu. Tak sabar nak bagitahu abang saya," balas Syahidah. Hilman terhibur dengan keletah gadis itu.

"Samalah saya... Abah saya mesti dah tunggu itu." Hilman berjalan di hadapan Syahidah. Syahidah mengikuti remaja itu dari belakang.

Mereka pulang ke rumah dengan hati dan minda yang lapang. Setelah sekian lama berusaha keras dan bersusah-payah, akhirnya mereka berjaya menamatkan zaman persekolahan selepas menghadapi peperiksaan besar ini.

Laungan salam dilafazkan dengan gembira. Halim membuka pintu dan tersenyum lebar. Tanpa sempat dia menyapa, si anak sulung memeluk tubuhnya dengan erat.

"Abah... Man dah berjaya!" Halim membalas pelukan anaknya. Dia bangga mempunyai anak seperti Hilman.

Walaupun banyak perkara yang telah berlaku dalam hidup, anaknya seorang itu tetap tabah dan cekal hati.

"Tahniah, Man. Abah akan doakan Man dapat keputusan yang baik." Belakang Hilman ditepuk-tepuk.

"Abah nak masak makanan kegemaran Hilman lah. Pergi mandi dulu. Lepas itu, panggilkan adik sekali. Dia tengah buat apa entah dekat dalam bilik itu," ujar Halim. Hilman mengangguk kecil dan menurut arahan abahnya.

Pintu bilik si adik dibuka sedikit. Dia berjalan secara senyap menuju ke arah Helmi dan menepuk bahu adik bongsunya itu dengan kuat.

Terus Helmi menjerit dan bangkit dari tempat duduk kerana terkejut.

"Abang! Ishh!" Mulut dimuncungkan dan kaki dihentakkan tanda protes.

"Marahnya... Abang gurau saja lah. Ini, adik pergilah tolong abah masak dekat dapur. Abang nak mandi, nanti abang datang tolong sekali." Dia memaut bahu adiknya. Helmi menyengguk setuju.

"Abang, nak tanya... Ini siapa?" Skrin telefon memaparkan ruang perbualan di aplikasi WhatsApp. Itu nombor... Syahidah!

"Macam mana telefon abang boleh ada dekat sini? Bagi balik!" Hilman cuba merampas semula telefonnya, namun Helmi pantas menyorokkan ia ke belakang.

"Jawab dulu. Kalau tak, adik beritahu abah yang abang bercinta." Helmi menggunakan teknik ugutan. Hilman buat tak endah dan terus cuba mengambil telefon pintarnya.

"Bagi. Balik. Telefon. Abang," ujarnya sepatah-sepatah.

Melihat roman muka abangnya sudah berubah, Helmi memulangkan telefon Hilman.

"Itu kawan sekelas abang. Abang tak ada masa nak bercinta. Jangan merepek." Nada pertuturan Hilman bertukar dingin. Dia tidak suka jika hal-hal seperti ini disoal. Dan Hilman sangat tidak suka dengan orang yang suka mengugut.

"M-Maaf, abang. Adik terambil telefon abang," ucap Helmi. Tidak mahu menjadi dingin terlalu lama, Hilman memandang wajah Helmi dan tersenyum manis.

"Relaks... Abang tak marah." Ibu jari tangan kanan dihalakan tanda semuanya baik-baik saja. Helmi melepaskan nafas lega.

"Lepas ini, jangan ambil barang orang sesuka hati. Kalau orang lain pun, dia orang akan marah juga. Okey?" Ubun-ubun kepala adiknya diusap lembut.

"Baik, abang!" Helmi menurut.

"Dah, pergi tolong abah sana," arah Hilman. Terus si kecil itu berlari ke dapur.

Sebuah keluhan berat terlepas dari mulut.

"Kenapa aku dingin sangat sejak kebelakangan ini?" Rambutnya diserabutkan.

"Mungkin penat sangat kut," sambungnya. Hilman kemudiannya berlalu ke bilik mandi untuk membersihkan diri.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now