BAB 15

97 11 32
                                    

Tubuh Halim yang sedang terbaring di atas katil itu dipandang dengan wajah risau. Dah tiga hari abahnya itu tidak keluar dari bilik. Makan pun tidak lalu.

Hilman bukan tidak mahu mengejut abahnya, tetapi dia takut akan dimarahi.

"Abang, kenapa?" Helmi mengejutkan lamunannya.

"Tak ada apa-apa. Kerja sekolah dah siap belum? Kalau belum, siapkan cepat. Nanti abang tak nak bawa adik jalan-jalan," ujar Hilman sambil tersenyum nakal.

"Dah siap lah. Adik rajin, tahu? Abang itu yang pemalas." Lengan abangnya dicubit kecil. Hilman terkekeh-kekeh ketawa.

Perbualan mereka terhenti apabila terdengar Halim terbatuk-batuk. Hilman segera mendekati abahnya.

"Abah. Abah okey?" Jelas wajah gelisahnya terpampang pada roman muka.

"Air, Man." Suaranya tersekat-sekat. Hilman berlari ke dapur untuk mengambilkan segelas air buat abahnya.

"Abah tak nak pergi klinik ke? Hilman risau sakit itu makin melarat." Dia merenung mata Halim dalam-dalam.

"Tak payahlah. Aku malas. Kalau mati pun tak apa. Lagi bagus. Aku tak payah menyusahkan kau," balas Halim.

"Jangan cakap macam itu, abah." Tiba-tiba saja matanya berair bagaikan ada habuk yang masuk.

"Dah. Keluarlah. Aku nak rehat," kata abahnya lagi. Hilman dengan akur keluar dari bilik tersebut bersama Helmi yang dari tadi senyap di sisinya.

——

Tangan kiri Syahidah yang masih berbalut itu diperhati lama oleh Hilman semasa bertugas.

"Kenapa dengan tangan awak itu, Syahidah?" Hilman bertanya dengan sopan.

"Terkena air panas." Syahidah berbohong.

"Awak dah pergi klinik? Macam mana boleh terkena air panas?" tanya Hilman lagi. Prihatin.

Syahidah tidak menjawab. Dia melarikan pandangan ke tempat lain dan cuba melangkah pergi dari situ.

"Maaf sebab menyibuk. Saya cuma nak tahu," sambung Hilman. Dia tahu Syahidah tak selesa, namun sifat ingin tahunya membuak-buak pula saat itu.

Syahidah mengukir senyuman nipis.

"Tak ada yang penting untuk awak tahu, Hilman. Saya tak pergi klinik. Tak serius pun," kata Syahidah dengan nada yang berhemah. Hilman mengangguk faham.

"Hm, Syahidah. Saya nak tanya satu lagi soalan. Saya janji, ini yang terakhir untuk hari ini." Hilman cuba menahan Syahidah daripada pergi begitu saja seperti selalu.

"Apa?" soal Syahidah, tanpa memandang wajah lelaki di hadapannya itu.

"Saya pelik, Rina dengan Aira selalu rapat berdua walaupun awak ada. Kenapa?" Soalan itu membuatkan iris hazel Syahidah terus menikam biji mata Hilman.

Tapi hanya untuk seketika. Selepas itu, dia mengalihkan pandangan semula. Rasa bersalah mula menguasai diri Hilman.

Syahidah tiba-tiba tertawa kecil. Hilman hairan.

"Biasalah. Dah nama pun sahabat, mestilah rapat. Saya pun rapat juga dengan dia orang. Tak pelik pun. Awak yang pelik." Syahidah menghalakan jari telunjuk ke arah Hilman.

Hilman menggelakkan diri sendiri.

"Salah soalan, Hilman." Dia berbisik perlahan.

"Saya pergi dulu lah. Dah selesai tugas 15 minit awal kita," ujar Syahidah selepas matanya tadi melirik jam dinding yang terletak di dalam sebuah kelas.

Hilman menyengguk sedikit. Setelah itu, masing-masing membawa haluan sendiri dengan arah yang bertentangan.

Seorang ke kantin untuk menemani dua orang sahabat yang menunggu, seorang lagi ke perpustakaan untuk mencari ketenangan dengan membaca buku.

——

Syahidah duduk di sebelah Aira semasa waktu balik. Rina sudah awal-awal pulang ke rumah memandangkan van sekolahnya sudah tiba 5 minit sebelum waktu tamat persekolahan tadi.

Dia berbual-bual dengan Aira sehinggalah perbualan mereka dimasukkan topik berkaitan pembelajaran.

"Aku takutlah, Idah. Bagi aku, semua subjek susah. Kalau aku tak lulus SPM nanti, mak abah aku mesti marah, lepas itu bandingkan aku dengan adik beradik yang lain. Macam mana ini, Idah? Kau tak ada tips-tips berguna untuk belajar ke?" Aira menatap wajah Syahidah dengan perasaan malu yang menebal.

Dia malu sebab tidak sepandai Syahidah. Dia juga malu sebab dapat rakan yang hebat dan dikenali oleh seluruh warga sekolah.

Mana tidaknya, Syahidah merupakan salah seorang daripada tiga pelajar terbaik sekolah mereka.

Kadang timbul perasaan cemburu dalam diri Aira pada rakannya itu. Syahidah itu, walaupun tidaklah secantik dirinya, tetapi dia mudah disenangi oleh semua pihak sekolah.

Perwatakan yang baik hati serta prihatin menambahkan lagi rasa selesa untuk orang lain berhubung dengannya.

Aira benci perasaan cemburu itu namun dia tidak boleh lari daripada bertemu dengan ia.

"Aira, kau tak boleh asyik cakap susah, susah... Kalau asyik cakap susah, bila kau nak berjaya? Kau kena yakin, Aira. Aku tahu kau boleh," ujar Syahidah. Senyuman manis menghiasi bibir delimanya.

"Kau bolehlah... Kelas depan. Aku ini budak kelas belakang, tak pandai." Aira menunduk. Syahidah menepuk belakang rakannya itu dengan lembut.

"Tiada istilah kelas depan atau belakang, Aira. Kau hanya perlu usaha dan doa. Lakukan yang terbaik untuk capai matlamat yang kau dah rancang. Aku tak tahu sangat tips-tips untuk belajar, cuma adalah beberapa. Nak? Tapi kau kena konsisten lah," pesan Syahidah. Aira mengangguk tanda mahu.

"Pertama sekali, pasang niat yang betul dan ikhlas. Lepas itu, bina jadual waktu. Tapi pastikan kau ikut jadual itu. Jangan culas. Jadual yang kau buat itupun kena rancang betul-betul. Kalau banyak belajar pun, stres sangat. Banyak rehat pun tak boleh juga. Jadi kena balance lah waktu rehat dengan belajar," tutur Syahidah.

"Kalau aku kan budak kelas belakang, tak ada ke tips yang lagi mudah?" soal Aira. Syahidah menggeleng kecil.

"Kenapalah kau suka menggunakan alasan kelas belakang, Aira?" Syahidah bermonolog dalaman.

"Aira, janganlah guna alasan kelas belakang itu lagi. Kau kelas belakang atau depan, itu semua tak penting. Yang nak bezakan kau ini betul-betul nak berjaya adalah dengan kerajinan dan usaha yang berterusan. Lagi satu..."

"... Kelas belakang atau kelas depan bukan penentu kejayaan." Syahidah menyambung ayatnya yang terhenti itu.

"Dahlah, Idah. Buang masa saja aku tanya kau. Kau memang sengaja nak merendahkan aku, kan?" Aira menjeling sekilas ke arah Syahidah.

Syahidah terdiam.

"Mana ada. Kau sahabat aku, tak mungkinlah aku nak rendahkan kau," kata Syahidah, ikhlas. Tangannya yang memaut bahu Aira ditepis kuat.

"Sudahlah. Baik aku tanya Rina, dia saja yang layak nasihatkan aku. Kau berlagak," hambur Aira. Syahidah kaku dan terpempan.

Aira terus bangkit dari tempat duduknya dan berlalu pergi meninggalkan Syahidah yang diam tak berkutik di situ.

Syahidah hanya menghantar Aira pergi dengan pandangan mata.

Dia tidak percaya dengan situasi sekarang ini.

Pertama kalinya dia dilayan sebegitu oleh Aira.

"Salah ke apa yang aku cakap tadi?" Syahidah berbisik perlahan. Dia masih terkejut dengan perubahan sikap Aira.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now