BAB 32

91 11 22
                                    

Ruang Dewan Kuliah Hang Tuah itu dipenuhi dengan ramai ibu bapa dan pelajar terpilih yang hadir ke Majlis Perjumpaan Ibu Bapa Pelajar Permata SPM SMK Laksamana Tahun 2022. Syahidah duduk di meja yang paling belakang.

Bersendirian.

Senyuman diberikan kepada ibu bapa atau guru-guru yang lalu di hadapan mejanya.

Luaran saja nampak ceria, dalam hati?

Hanya Allah saja yang tahu.

Dia melihat Hilman yang baru sampai bersama abahnya duduk di meja yang berada di hadapannya. Gembira saja Syahidah lihat mereka.

"Idah, ibu dan ayah awak mana?" soal Cikgu Shida. Syahidah menggeleng kecil.

"Ibu dan ayah saya balik kampung. Ada urusan keluarga di sana," ujarnya.

Dalam hati, dia beristighfar panjang kerana telah menipu seorang guru. Cikgu Shida kemudiannya duduk di kerusi yang disediakan khas untuk para guru.

Majlis itu dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu negaraku dan lagu sekolah. Kemudian, barulah disertai dengan ucapan tuan pengetua.

Sementara majlis itu berlangsung di dewan, ada seseorang yang sedang tertanya-tanya kepada pengawal keselamatan di hadapan pagar sekolah.

"Bang. Assalamualaikum. Maaf ganggu. Saya nak tanya, majlis permata SPM itu diadakan di mana ya?" soal Syah. Helmet ditanggalkan daripada kepala.

"Waalaikumussalam. Dewan Kuliah Hang Tuah. Rasanya dah mula majlis," kata pengawal itu. Syah menyengguk tanda faham dan tersenyum nipis kepada pengawal tersebut.

Dia cepat-cepat memarkir motosikal di lot parkir yang kosong. Lantaran itu, Syah berlari ke arah dewan sekolah.

Pintu utama dewan dibuka sambil nafasnya tercungap-cungap. Dr. Johari yang ternampak kelibatnya di situ menghentikan ucapan.

"Maaf." Syah mengangkat muka. Dr. Johari terkejut sebentar.

"Kita ada tetamu istimewa hari ini. Kejap lagi bolehlah saya panggil dia untuk beri ucapan," kata Dr. Johari. Syah menunduk segan. Dr. Johari tergelak kecil.

"Tak apa, Syah. Kamu boleh ambil tempat," sambungnya lagi.

Syah senyum sedikit dan berjalan ke belakang setelah ternampak Syahidah yang sedang menundukkan kepala.

Syahidah bermain dengan jarinya. Air mata keluar setitis demi setitis ke pipi. Syah melabuhkan duduk di sebelahnya. Terus dia memusingkan kepala memandang wajah Syah.

"Ab-Abang?" Terkejut dia saat melihat gerangan itu di sisi.

"Haish, menangis pula dia." Tangan kanan naik menyeka mutiara jernih yang mengalir itu dengan lembut.

"Kenapa abang datang? Susah-susah saja," ujar Syahidah. Syah tertawa perlahan.

"Untuk Idah, tak ada apa yang susah. Dah, pandang depan. Fokus! Kejap lagi abang nak tengok keputusan peperiksaan Idah." Syah mengalihkan pandangannya daripada melihat Syahidah.

Terharu hati seorang Syahidah ketika itu.

Sedari tadi Hilman memusingkan kepala untuk curi-curi pandang Syahidah. Halim yang perasan anaknya itu menatap wajah Syahidah lama-lama pantas menepuk paha Hilman sedikit kuat.

"Apalah kamu ini? Pandang pelajar perempuan pula!" bisik Halim, perlahan. Hilman tersengih-sengih.

——

Kad laporan Syahidah ditunjukkan oleh Cikgu Siti kepada Syah. Syah tersenyum lebar.

"Keputusan Syahidah sangat cemerlang. Banyak mata pelajaran yang dapat markah tinggi. Dia dah menggantikan tempat kamu pula, Syahir," kata Cikgu Siti.

"Alhamdulillah... Saya bukannya hebat mana pun cikgu. Siapa-siapa pun boleh ambil tempat saya bila-bila masa saja." Syah merendah diri. Roman muka Syahidah dipandang sekejap-sekejap.

"Syahidah ini rajin... Kerja sekolah saya tak pernah dia tak siapkan, tau. Kamu? Pernah sekali tak siapkan." Cikgu Siti sengaja mengungkit kisah lama itu.

"Oh, waktu itu saya betul-betul lupa! Saya ingat lagi, cikgu Matematik Tambahan bagi 50 soalan untuk disiapkan sampai saya lupa nak buat latihan yang cikgu bagi," jelas Syah. Syahidah di sisi tertawa kecil. Begitu juga dengan cikgu tersebut.

"Awak tandatangan di ruang ini." Syah mengambil pen pada kocek baju kemejanya lalu menurunkan tandatangan di atas kad laporan tersebut.

"Tahniah, Syahidah. Usaha lebih lagi untuk SPM yang dah nak dekat ini. Buktikan pada abang awak yang awak pun boleh lawan dia." Cikgu Siti memberikan kata-kata semangat.

"Terima kasih, cikgu. Saya akan usaha sungguh-sungguh. Cikgu doakan juga ya," balas Syahidah. Vermilionnya melengkung manis.

"Sama-sama. Mestilah cikgu doakan anak murid cikgu," ujar cikgu itu.

Mereka berdua setelah itu bergerak pulang. Namun begitu, Syah tidak terus ke rumah malah dia singgah ke sebuah restoran yang menjual pelbagai jenis ais krim.

"Pilih saja ais krim apa yang Idah nak. Abang belikan." Syah memberikan lampu hijau kepadanya. Syahidah melihat kesemua jenis ais krim pada menu.

"Betul ini, abang?" tanya Syahidah sekadar untuk memastikan.

"Ya, dik. Takkan abangmu yang kacak ini hendak menipu? Buang masa dan tenaga saja," ujar Syah. Dia memilih ais krim yogurt buah-buahan.

"Masuk bakul, angkat sendiri." Syahidah memilih dua jenis ais krim yang dah lama dia inginkan.

"Anggap ini hadiah untuk Idah," kata Syah. Tangan kanan mencubit pipi adiknya sedikit. Syahidah senyum kecil.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now