BAB 12

103 9 30
                                    

Kakinya yang masih terasa sakit itu disentuh. Hilman mendesis kesakitan. Baru saja tadi selepas tiba di rumah, dia ditolak oleh abahnya semasa lelaki itu tergesa-gesa keluar dari rumah.

"Tepilah! Aku dah lambat ini!" kata abahnya selepas melihat dia terjelepuk di tepi pagar rumah.

Hilman mengeluh berat sambil beristighfar.

"Abang dah solat?" Pertanyaan Helmi dibalas dengan gelengan kecil daripada Hilman.

"Bangun, dan pergi solat sekarang!" marah si kecil itu. Hilman tertawa halus.

"Budak comel ini nak marah abang dia pula..." balas Hilman. Helmi memuncungkan mulutnya persis seekor angsa yang sedang marah.

"Cepat... Lepas itu, abang kena masak. Helmi lapaaaarr." Dia menghentakkan kakinya ke lantai.

Lapar sungguh nampaknya.

"Baiklah, tuan." Hilman bangun dari sofa lalu menuju ke bilik. Dia membersihkan diri terlebih dahulu sebelum menunaikan solat zuhur.

Lantaran itu, dia terus ke dapur untuk memasak makan tengah hari. Fikirnya ingin memasak tomyam sayur memandangkan ia merupakan makanan kegemaran Helmi.

Beberapa jenis sayur seperti lobak merah dan jagung mini dimasukkan ke dalam periuk kecil yang berisi kuah tomyam.

Setelah memastikan semua sayur tersebut telah masak dengan sempurna, barulah Hilman menutup api dan meletakkan periuk kecil itu ke atas meja makan.

"Helmi, jom makan sama-sama!" Dia melaungkan nama adiknya yang sedang menonton televisyen dengan kelantangan suara yang tinggi.

Dia menanti balasan daripada Helmi, namun hampir seminit tunggu pun tidak bersahut langsung panggilannya. Hilman datang ke arah adiknya dan mencubit lengan kecil itu dengan lemah-lembut.

"Sakit..." adu Helmi.

"Daripada tadi abang panggil dekat dapur, tak datang-datang. Tadi kata nak makan," ujar Hilman, geram. Adiknya tersengih-sengih.

"Dah pekak, eh?" perli Hilman sambil berjalan masuk ke dapur semula. Kerusi meja makan ditarik lalu punggung dilabuhkan di atasnya. Helmi pula menggeleng laju. Dia membuntuti langkah abangnya.

"Lauk kesukaan Helmi! Terima kasih abang," ucap Helmi, teruja. Hilman tersenyum manis.

Kakinya yang terseliuh tadi diusap-usap. Masih sakit.

Sedang mereka menikmati makanan, pintu rumah dikuak kasar. Terpacul wajah berang Halim.

"Kenapa pula ini?" bisik hati Hilman.

"Hilman! Kau sini!" arahnya. Hilman dengan akur mencuci tangannya lalu pergi mendapatkan abahnya.

"Ya, abah? Kenapa?" soal Hilman, sopan.

Pak!

Satu tamparan dihadiahkan oleh Halim kepada anak sulungnya itu. Hilman terkejut dengan tindakan abahnya.

"Sakit, abah." Dia menggosok pipinya yang ditampar itu.

"Kau... Mana duit aku? Kau curi, kan?" Satu lagi tamparan menyinggah ke pipi kirinya pula.

Padu.

Sehingga pipi Hilman bertukar kemerahan.

Adiknya yang sedang makan terus mencuci tangan dan memeluk erat tubuh Hilman.

"Abah, janganlah pukul abang," rayu Helmi.

"Kau diam!" Terhinjut bahu Helmi dengan sergahan tersebut.

Helmi menunduk. Air mata mula bertakung dalam empangan.

"Abah, Hilman tak buat..." ujar Hilman, perlahan.

Kepalanya Halim tunjal dengan kasar.

"Hilman tak curi duit abah. Betul, abah," katanya lagi.

Ingin saja dia menangis di situ, tetapi dia tetap menahan tangisan itu daripada terkeluar.

"Abah jahat." Helmi membalas. Halim ingin menarik bahagian leher baju anak bongsunya, tetapi sempat dihalang oleh Hilman.

"Abah, jangan apa-apakan adik. Dia tak salah," kata Hilman dengan nada yang masih sopan walaupun hakikatnya dia agak marah.

Tetapi, asbab orang yang berada di hadapannya ini adalah seorang bapa yang masih menanggungnya di dalam rumah ini dan masih memberikannya keperluan yang cukup untuk hidup, dia tahan segala amarah yang menggunung.

Halim mengatur nafas sebelum terbatuk-batuk sambil memegang dada.

"Abah." Hilman terus membantu abahnya duduk di atas kerusi. Tangan Halim bergetar hebat.

"Adik, ambilkan air suam. Abah tak sihat ini," ujar Hilman. Helmi yang menuruti arahan abangnya lantas mengambil segelas air suam di dalam jag.

Dia menghulurkan gelas itu kepada Hilman. Hilman menyuruh abahnya minum air tersebut perlahan-lahan.

"Abah, nak Panadol?" tanya Hilman. Akan tetapi, soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan. Halim bingkas bangun dari duduk lalu masuk ke biliknya.

Hilman mengikuti langkah Halim dari belakang.

"Abah tak nak makan apa-apa? Hilman dah masak." Dengan lembut Hilman menyoal. Halim menggeleng kepala. Wajah anaknya langsung tidak dipandang.

Hilman terdiam seribu bahasa dan berlalu pergi dari situ. Dia mengemas meja makan lalu berehat di dalam bilik.

——

"Kak Idah. Nak pinjam telefon sekejap boleh?" soal Aman. Hanya jawapan tidak boleh yang meniti di bibir Syahidah.

Mana mungkin dia akan berikan telefon pintarnya suka-suka pada Aman itu. Silap hari bulan, penuh ruang storan telefonnya kerana banyak permainan video yang dimuat turun oleh adiknya itu.

"Bolehlah... Aman nak cari maklumat dekat Google saja." Lengan Syahidah digoyangkan.

"Tak boleh!" tegas Syahidah.

"Idah! Bagi sajalah. Mak tahu, kamu mesti ada sorok apa-apa dalam telefon itu. Kamu ada teman lelaki, kan?" Azilah menyerkap jarang. Syahidah pantas menafikan kata-kata tersebut.

"Astaghfirullah, mak. Bila masa Idah ada teman lelaki apa semua ini. Idah tak nak bagi Aman pinjam, sebab nanti dia download game apa semua. Penuh storan telefon Idah mak." Syahidah menutur dengan sopan.

"Diamlah kau. Aman, pergi ambil telefon mak. Tak apa, nanti suruh ayah kamu belikan telefon baru. Tak usah minta pada kakak kamu lagi. Dia itu kedekut!" ujar Azilah. Aman menjelirkan lidah kepada Syahidah.

Syahidah hanya bersabar dengan sikap adik-adik dan mak ayahnya.

"Sabar Idah... Sabar..." bisiknya di dalam hati dengan tenang.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now