BAB 42

84 12 31
                                    

"Ini hari terakhir kita jumpa dekat sekolah, kan? Lepas ini tak ada lagi tugas pengawas, tak ada lagi waktu belajar sama-sama, tak ada lagi pergi dan balik sekolah dekat lorong yang sama, tak ada lagi kebetulan pakai baju warna sama..." Hilman sengaja berhenti di situ.

"Betul itu. Ini yang orang kata, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Dan semua orang harap perpisahan itu bersifat sementara. Tapi, kadang-kala harapan mereka tak selamanya jadi kenyataan," tutur Syahidah.

Hilman mengulum senyum manis.

"Lepas ini, awak ada rancang nak buat kerja sambilan ke?" tanya Hilman. Syahidah mengangkat bahu.

"Saya nak tanya abang saya dulu," jawab Syahidah.

"Kenapa tanya abang awak pula? Bukan kena tanya mak ayah dulu ke? Macam pelik saja." Hilman mengerling ke arah Syahidah sekejap.

"Sebab... Entah lah. Saya lebih selesa beritahu abang saya berbanding mak dengan ayah. Paling penting sebab abang saya lebih memahami saya," balas gadis itu. Hilman meng'oh'kan apa yang dikatakan olehnya.

"Awak pula, Hilman?" Giliran Syahidah pula menyoal.

"Saya memang dah kerja dengan Abang Bo," ujar Hilman.

"Ayah awak bagi pula ya?" Hilman menyengguk.

"Mula-mula memang abah saya tak bagi. Dia marah. Abah kata nanti orang sekeliling kata dia tak boleh sara anak-anak. Tapi, akhir-akhir abah saya bagi juga sebab Abang Bo yang minta izin suruh saya tolong dia dekat kedai," jelas Hilman.

"Hilman, kalau saya tanya awak soalan ini, awak jangan ambil hati ya? Saya tak pernah nampak ibu awak datang sekolah teman awak. Kenapa ya?" Sejurus soalan tersebut dinyatakan, hujung bibir Hilman ternaik membentuk senyuman nipis.

Dia tidak marah dan itu membuatkan Syahidah lega.

"Mama dan abah saya bercerai. Saya dengan adik tinggal dengan abah." Hilman menjawab dengan tenang. Dia tidak kisah kerana baginya soalan tersebut tidaklah begitu sensitif.

Memang betul mama dan abahnya bercerai, jadi perlu ke dia menipu dan terlalu ambil hati. Kalau dulu, dia memang agak sensitif dengan soalan seperti ini. Mungkin kerana waktu itu dia tidak tahu perkara sebenar yang berlaku kepada abahnya sebelum bercerai.

"Maaf, Hilman," ucap Syahidah.

"Tak apalah... Saya tak kisah." Botol air dikeluarkan dari poket beg. Dia membuka penutup botol dan meneguk air untuk menghilangkan rasa haus setelah membaca basmalah.

"Terima kasih, Hilman. Sebab jadi kawan saya." Secara tiba-tiba mulutnya mengucapkan kata-kata tersebut.

Hilman berhenti meneguk air dan menutup botol air semula.

"Saya pun nak ucapkan terima kasih, Syahidah. Dan maafkan saya sebab selalu buat awak rasa tak selesa. Kalau ikutkan hati, memang berat untuk saya terus terang fasal ini. Tapi secara jujurnya, saya sebenarnya s-" Nampak saja wajah berang Aina, Hilman berhenti daripada meneruskan ayatnya.

"Sebenarnya kau suka dia kan Hilman? Geramnya aku tengok! Daripada tadi aku menghendap dekat tepi pintu itu semata-mata nak dengar apa yang kau orang bualkan. Kata jaga batas, tapi batas mana yang kau jaga itu Hilman?" Alis mata Aina ternaik.

"Sudahlah itu, Aina. Malulah orang lain tengok." Syeera cuba menahan Aina daripada membuat huru-hara di dalam kelas itu.

Pelajar lain mula menumpukan perhatian kepada mereka.

"Suka hati akulah! Dia orang ini dah melampau! Sampai depan orang lain pun dah reti nak berbual mesra," hambur Aina dengan lantang.

Hilman dan Syahidah masih senyap. Mereka tidak mahu membalas kata-kata Aina.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now