BAB 25

99 12 19
                                    

Dua bulan sebelum peperiksaan SPM...

Wajah itu dipandang lama.

"Haih... Dah besar panjang budak kecil ini." Syah berbicara di dalam hati.

"Idah. Esok, teman abang pergi satu tempat ini boleh?" pintanya pada si adik.

"Pergi mana?" Syahidah menyoalnya tanpa menjawab persoalan yang diberi tadi.

"Adalah. Nak teman ke tak nak?" Syah menongkat dagu. Syahidah mengangguk laju tandanya mahu.

Keesokan harinya, Syah membawa adiknya ke kedai buku. Syahidah punyalah teruja sehinggakan dia terus melangkah masuk ke dalam kedai tanpa menghiraukan Syah yang berada di belakang.

Syah menggeleng kecil sambil tertawa.

"Sampai hati tinggalkan abang jalan seorang diri dekat belakang..." Sengaja dia memaparkan wajah murung. Adiknya itu tersenyum tanpa rasa bersalah.

"Abang nak beli apa?" Syah menepuk dahi.

"Soalan langsung tak munasabah. Beli bukulah, dik... Takkan beli sayur kut. Astaghfirullahal'azim," ujar Syah.

"Alaa... Orang tanya saja. Itu pun nak marah. Inilah kaum lelaki." Syahidah memeluk tubuh.

"Dah. Jom, ikut abang." Tangan kecil adiknya ditarik sambil kaki diatur ke tingkat atas kedai tersebut.

Buku-buku yang berada di hadapannya ditilik lama. Nampak saja satu buku yang dia rasa sesuai, terus ditarik masuk ke dalam pegangan.

Syahidah pula hanya memerhatikan setiap perbuatan abangnya.

Lelaki itu menyuruhnya untuk berada di situ sementara dia membelek-belek buku yang diinginkan. Syahidah dilanda angin kebosanan.

"Abang... Bagilah Idah pilih buku yang Idah nak. Buku-buku yang abang ambil ini tak kena dengan citarasa Idah lah," bentak Syahidah setelah lebih sepuluh minit mengikuti abangnya.

Syah tergelak kecil.

"Buku yang tak kena dengan citarasa Idah inilah yang Idah kena hadap suatu hari nanti." Syah membalas tanpa melihat muka adiknya.

"Kenapa pula? Itu kan buku perubatan, tak ada kena-mengena dengan Idah." Matanya kejap-kejap melihat ke arah novel-novel baharu yang disusun rapi di dalam rak.

"Kenapalah dengan adik abang hari ini? Kata nak jadi doktor, mestilah Idah kena baca buku-buku ini," kata Syah. Entah kali ke berapa dia menggeleng kepala akibat melayankan gelagat adiknya.

Bibir merah Syahidah membentuk bulat sedikit.

"Maaflah, abang. Idah blur sikit hari ini." Dia menggaru kepalanya meskipun tidak gatal.

"Yalah... Idah nak beli novel? Ambillah seberapa banyak pun, abang belanja Idah." Dia dah nampak sinar cahaya kegembiraan pada muka manis adiknya itu.

Silau mata!

Syahidah pantas mengatur jejak ke rak yang menempatkan novel-novel kegemarannya.

Dia mengambil lima buah novel yang dah lama diinginkan. Syah melopong mulut melihat adiknya.

"Biar betik?" Syah menutup semula mulutnya yang ternganga luas tadi.

"Abang turun bawah sekejap, ya? Nak ambil beberapa alat tulis." Syah mencuit bahu Syahidah.

Dia hanya mengangguk kecil.

Selepas beberapa minit, Syahidah turun ke aras bawah.

Sekali lagi Syah tercengang.

"Tadi bukan main sampai lima buku. Tengok-tengok tinggal satu saja dekat tangan. Mana yang lain?" soal Syah.

"Tak apalah, abang. Mahal sangat lah. Koyak dompet abang nanti. Ini pun dah memadai untuk Idah." Ujaran itu menyentuh hati seorang abang. Syah tersenyum manis.

"Abang tak kisah pun kalau Idah nak ambil banyak." Syah meletakkan buku-buku dan alat tulis ke atas meja kaunter. Buku yang berada pada tangan adiknya juga diletakkan sekali.

"Idah tak nak jadi adik yang menyusahkan abang dia." Syahidah mengalihkan pandangan ke luar kedai.

Tidak mahu memandang wajah abangnya. Dia takut air matanya menitis di dalam kedai itu pula.

"Terima kasih, cik." Syah menguntum senyuman nipis pada penjaga kaunter tersebut.

"Sama-sama," balas wanita itu.

"Idah, jom." Plastik yang berisi novel itu dihulurkan kepada adiknya.

"Terima kasih banyak-banyak, abang!" ucap Syahidah dengan penuh penghargaan.

"Sama-sama, Idah yang kecil tak besar-besar!" jawab Syah.

Syahidah memandang abangnya atas bawah.

"Dia pun kurus tak gemuk-gemuk, ada hati nak kata kita kecil?" Syahidah memeluk tubuh dan memalingkan muka.

"Comel!" puji si abang, ikhlas.

"Naik cepat. Kalau tidak, abang tinggal." Helmet dipakaikan pada kepala adiknya.

"Berani abang nak tinggalkan Idah? Makan tak kenyang, mandi tak basah, hidup tak tenang nanti, baru tau!" kata Syahidah.

"Fuh, sampai begitu sekali, ya?" Syah tertawa besar.

"Mestilah! Ini Nur Syahidah, tahu? Sekali dia mengamuk, jenuh abang nak pujuk."

"Cakap besar." Syah memulakan pemanduan. Syahidah hanya mencebik di sebalik visor helmet.

"Biarlah." Balasan itu menimbulkan tawa halus daripada Syah.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now