BAB 22

95 10 17
                                    

Bandaraya Johor Bahru sangat meriah di malam hari. Helmi betul-betul teruja sambil memerhatikan suasana bandar tersebut.

Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu menggenggam erat tangan abahnya.

Gembira tapi takut!

"Adik tak nak makan apa-apa? Tak lapar ke?" tanya Halim.

Helmi menggeleng pantas.

"Adik tak lapar. Adik haus," adu Helmi sambil memuncungkan bibir sedikit. Hilman mencubit pipi adiknya.

"Mengada-ngada betul budak kecil ini!" Dia mengusik Helmi. Halim tergelak kecil sebelum dia terbatuk-batuk.

"Abah?" Helmi memandang ke arahnya. Halim lantas mengukir senyum.

"Abah tersedak. Tak usah risau," ujar Halim, perlahan.

"Kita singgah kedai makan itu dulu lah. Minum-minum sikit. Lepas itu, kita pergi masjid. Solat isyak," sambungnya lagi. Kedua anaknya mengangguk sederum.

Kopi panas itu dihirup perlahan olehnya. Mata masih memerhati gelagat kedua anaknya yang sedang bergurau-senda.

Entah apa yang mereka seronok sangat pun dia tidak tahu.

"Abang, apa beza bulan dengan matahari? Ha, kalau abang pandai, mesti abang boleh jawab!" Nada si kecil itu kedengaran mencabar.

"Bulan muncul waktu malam, matahari muncul ketika siang! Soalan mudah," jawab Hilman. Kedua keningnya terangkat.

Helmi menjeling sekilas ke arahnya.

"Berlagak! Dahlah jawapan salah," kata si adik. Hilman tercengang.

"Jawapannya... Bulan dipanggil moon dalam bahasa Inggeris. Matahari pula dipanggil sun! Kan beza itu." Tubuh Hilman terus berkalih ke arah lain selepas mendengarnya.

"Ada pula jawapannya macam itu? Adik, adik..." Halim yang dari tadi diam itu terus menghambur tawa.

"Abang... Jangan marah-marah." Helmi tersengih-sengih macam kerang busuk.

"Kalau macam itu punya jawapan, jangan tanya abang soalannya!" Hidung kecil itu dipicit. Helmi mengerutkan dahi.

"Sakit!" Dia memukul-mukul tangan abangnya. Hilman ketawa terbahak-bahak melihat hidung adiknya yang mula berwarna kemerahan.

Tenang jiwa Halim melihat situasi seperti itu. Keceriaan anak-anaknya sedikit sebanyak telah berjaya mengusik hatinya untuk berubah.

"Abah. Dah azan." Panggilan daripada Hilman mematikan lamunan Halim. Dia segera membayar minuman tersebut di kaunter.

Bunyi azan yang berkumandang di masjid jamek itu membuatkan mereka mempercepatkan lagi langkah untuk ke sana.

Kesudahannya, ketiga beranak itu menunaikan solat isyak di masjid sebelum bergerak pulang ke rumah.

——

"Sekolah! Sekolah! Tak sabar adik nak pergi... Sekolah!" Helmi bernyanyi riang di ruang tamu sambil terlompat-lompat.

Hilman yang menonton konsert tak berbayar itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dah macam katak puru panggil hujan!

"Yay, yay! Esok sekolah!" Helmi menjadikan alat kawalan jauh televisyen sebagai mikrofon.

Empunya suara kecil itu masih tidak perasan kehadiran abangnya di sisi sofa.

"Ehem!"

Terus nyanyiannya terhenti. Helmi tersipu-sipu malu.

"Bila masa abang ada dekat situ?" Helmi menyorokkan alat kawalan jauh itu ke belakang tubuh.

"Soalan jenis apakah yang tuan hamba utarakan ini?" soal Hilman dengan tawaan halus muncul di bibir.

"Patik sudah berdiri di sini lebih daripada tiga minit. Apa tuan hamba tidak perasan akan kehadiran patik di sini?" Dia melabuhkan duduk di atas sofa.

"Ish, malulah adik! Abang ini!" Dia menghentakkan kaki berkali-kali. Pipi tembamnya terlihat merah.

"Lain kali, jangan buat konsert dekat sini. Pergi masuk dalam bilik. Bising tahu? Abah tengah tidur..." Helmi mula tidak senang duduk.

"Abah tidur? Alamak! Helmi dah buat salah. Kesian abah..." Hilman menepuk kusyen sofa mempersilakan adiknya untuk duduk.

"Abah tak marah. Sedap suara adik." Halim yang muncul tiba-tiba bersuara di belakang mereka.

"Maaf, abah." Helmi menunduk. Halim mengusap lembut kepala anak kecilnya itu.

"Betul-betul tak sabar nak ke sekolah nampaknya anak abah ini," ujar Halim.

"Baguslah... Belajar, sampai masuk universiti. Dapatkan kerja yang baik. Insya-Allah." Kedua anaknya dipandang dengan segaris senyuman bahagia.

"Aamiin..." balas mereka serentak.

——

Buku latihan bahasa Melayu dipandang kosong. Syahidah mengeluh berat.

"Kenapalah cikgu BM tak datang hari ini?" Itu saja yang terlintas di otaknya sejak guru ganti masuk ke kelas tadi.

"Syahidah. Ini tanda nama awak. Saya jumpa dekat tangga." Hilman menghulurkan tanda nama bermagnet itu kepadanya.

Syahidah menilik tudungnya. Tanda nama itu bertukar tangan.

"Terima kasih. Ya Allah... Saya tak perasan benda ini jatuh," kata Syahidah. Hilman menunduk sedikit dan terus ke tempat duduknya.

Rina yang sedang berborak dengan Syeera melihat gerak-geri bekas sahabatnya itu.

"Mengada betul dengan Hilman. Menyampah!" hamburnya. Syeera mencebik bibir.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now